Hormati Ramadan Izreen Azminda cuti panjang



KERJAYA sebagai anak seni memerlukan tuntutan kerja lebih masa yang kadang kala menyebabkan seseorang selebriti itu tidak mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Namun dalam tempoh masa tertentu seperti Ramadan contohnya, kebanyakan selebriti mula memperlahankan karier seni dan memilih untuk berehat.

Begitu jugalah kisahnya dengan pelakon yang semakin meningkat naik, Izreen Azminda.

Memilih untuk menolak segala tawaran lakonan pada bulan Ramadan, jelas Izreen, dia sudah terlalu banyak bekerja pada bulan sebelumnya.

Justeru, dia mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga, terutamanya anak tunggal tercinta, Muhammad Adrian Umar, 2.

"Izreen rasa dah puas bekerja dari awal tahun dan tiba masanya untuk bercuti panjang sehingga hari raya nanti.

"Selain berehat, dapat juga Izreen luangkan masa bersama anak dan keluarga. Orang tak ada suami, jadi tidak ada komitmen besar untuk Izreen lakukan sepanjang bercuti," ujarnya sambil berseloroh kepada Zass.


Tidak hanya berehat, Izreen berkata, tempoh sepanjang bercuti digunakan untuk mengisi beberapa program Ramadan.

"Izreen dilantik menjadi duta program Ramadan TV3 dan akan ada beberapa program mereka yang akan Izreen ikuti.

"Tapi tidaklah setiap hari. Selain itu, Izreen berhasrat untuk menunaikan solat tarawih bersama keluarga," katanya.

Tidak berasa sunyi mahupun kurang dengan status sebagai ibu tunggal, Izreen berkata, dia kini menikmati detik bahagia bersama keluarga, teman rapat dan lebih penting, zuriat tercinta.

“Izreen bukan mahu mendabik dada, tetapi Alhamdulillah walaupun hidup sendiri kini, tetapi Izreen bahagia.

“Izreen suka apabila ada yang melihat Izreen bahagia dan gembira sekarang, kerana itulah yang Izreen lalui,” jelasnya.

Di tanya hubungan dengan bekas suaminya, Muhammad Riza Baharudin, 32, Izreen berkata, dia masih berkawan baik dengan lelaki itu, bahkan bekerjasama dengan Riza baru-baru ini.

“Izreen dengan Riza masih berhubung dan berkawan baik, bukan kerana anak semata-mata, tetapi juga sebagai rakan dalam satu industri.

“Riza sekarang sudah menjadi pengarah dan Izreen ada bekerja di bawah arahannya baru-baru ini dan Alhamdulillah Izreen rasa lebih mudah kerana Izreen tahu apa yang dia mahu. Malah kerja juga lancar,” katanya.


Persiapan sederhana

Dalam pada itu, diusik berkenaan persiapan rayanya, Izreen berkata, dia hanya membuat persiapan secara sederhana dan melebihkan persiapan buat anaknya.

"Seperti biasa Izreen akan berhari raya di kampung di Kedah. Untuk persiapan, Izreen beli baju yang sudah siap tetapi tidaklah sampai 10 pasang.

"Apa yang penting persiapan untuk anak. Izreen ringkas sahaja kerana biasa kalau hari raya memang Izreen akan ke dapur potong lemang dan ketupat.

"Jadi kalau pakai baju glamor sangat tak sesuai pula," ujarnya sambil ketawa.

Tambah Izreen dia tidak akan bercuti pada panjang pada hari raya nanti, memandangkan dia bakal terlibat dengan pementasan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada bulan Oktober nanti.

"Izreen akan terlibat dengan sesi latihan untuk pementasan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck selepas hari raya nanti.

"Tetapi Izreen tidak pasti pada hari raya ke berapa sesi latihan akan dimulakan. Apa yang pasti Izreen memang teruja untuk menyertai pementasan teater berkenaan," katanya.

Di tanya mengenai Riza dan anaknya, Izreen berkata, untuk tempoh empat tahun, hak penjagaan ke atas Adrian diberikan kepadanya dan Riza hanya dibenarkan untuk datang melawat.

"Hubungan Riza dengan ibu saya masih baik sampai sekarang. Bahkan kadang-kala dia akan datang menziarahi ibu saya.

"Sama jugalah halnya dengan Adrian, kalau dia rasa mahu beraya dengan anak, datanglah ke rumah. Kalau tak pun, tak mengapa," katanya.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan seninya, Izreen berkata, drama lakonannya, Eksperimen Cinta sedang ditayangkan di TV3 kini dan ada beberapa drama dan telefilem lakonannya akan disiarkan pada musim perayaan nanti.

“Antara telefilemnya adalah Pesan Dari Tuhan, Bukan Wanita Sempurna dan satu lagi judul terpaksa saya rahsiakan sehingga ia akan ditayangkan kelak.

"Apa yang pasti, ia adalah gabungan daripada Hati Perempuan dan Kerana Terpaksa Aku Relakan,” katanya.

Previous Post Next Post