Ifa Raziah tangguh bedah untuk amal



UMUM sedia tahu bahawa penyanyi Ifa Raziah sepatutnya menjalani pembedahan bagi rawatan susulan ketumbuhan pada payudaranya. Namun dia membuat keputusan untuk menangguhkannya demi menjayakan kerja amal pada bulan Ramadan ini.

Menerima tawaran menyanyi di restoran terkenal Kelantan Delighs Subang Jaya, Ifa sebenarnya mempunyai fokus yang lebih besar dengan harapan dapat membantu golongan yang lebih memerlukan.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya lalui hari ini. Walau pun diuji dengan pelbagai perkara, saya masih utuh berdiri dan kekal dalam industri. Sebab itulah saya nak sangat berbuat amal di bulan puasa ini. Lagi pun sejak menyertai program Gegar Vaganza saya belum berkesempatan buat majlis kesyukuran.

“Kalau diikutkan saya sepatutnya jalani pembedahan untuk buang baki ketulan tapi saya masih trauma dengan pembedahan yang pertama. Jadi saya tangguh dulu. Kebetulan dapat tawaran menyanyi. Alhamdulillah rezeki. Dapatlah beli kelengkapan beraya anak-anak dan berbuat apa yang patut di bulan penuh berkat ini,” kata Ifa.


Pada 1 Julai akan datang, Ifa akan menganjurkan program derma makanan kepada gelandangan bersama pengurusan Kelantan Delights. Sebanyak 100 bungkus makanan akan diedarkan kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur.

Selain program amal tersebut, Ifa juga aktif menyertai program melibatkan anak-anak yatim yang disusun pihak pengurusan sepanjang sebulan khidmatnya di restoran tersebut.

Ifa bergandingan dengan Fazli Zainal dan Linda Eva menghiburkan pengunjung restoran berkenaan selama 25 hari dan akan bercuti raya di rumah mentua di samping menganjurkan rumah terbuka seperti tahun sebelumnya.

Lebih istimewa Ifa juga memasak sajian gulai kawah untuk pelanggan Kelantan Delights. Pengunjung bertuah berpeluang memenangi wang tunai RM888 apabila menyertai peraduan mencari kapsyen untuk gambar dan selfie paling menarik.

Dalam pada itu, Ifa bakal muncul dalam drama raya berjudul Suamiku Encik Beruang bergandingan dengan Abam Bocey pada hari raya kelima di saluran Astro Ria.

Previous Post Next Post