Izreen Azminda Selesa Hidup Solo, Fokus Pada Anak



Meskipun perkahwinan Izreen Azminda terkubur di pertengahan jalan, sikapnya serta bekas suami, Muhammad Riza Baharudin,32, professional apabila Izreen telah bekerjasama di bawah pengarahan bekas suaminya itu.

“Saya dan Riza masih berkawan baik, bukan kerana anak semata-mata, tetapi juga sebagai rakan dalam satu industri. Riza sekarang sudah menjadi pengarah dan saya ada bekerja di bawah arahannya baru-baru ini dan Alhamdulillah saya rasa lebih mudah kerana saya tahu apa yang dia mahu malah kerja juga lancar”

“Bukan sahaja dengan Riza, saya juga tidak ada masalah bekerjasama dengan Botak (Johan Asa’ari) dan ada digandingkan bersama dalam satu telefilem baru-baru ini,” jelasnya.

Bagaimanapun Izreen juga tidak menolak sekiranya ditakdirkan dia menemui jodoh lagi, tetapi buat seketika ini dia lebih selesa dengan kehidupan solo bersama puteri sulungnya.


“Siapalah saya untuk menolak ketentuan Illahi. Andai suatu hari nanti, Allah takdirkan saya bertemu jodoh, saya terima. Tapi kini biarlah saya nikmati hidup sendiri, tanpa komitmen dengan mana-mana lelaki”

“Walaupun ada yang mendekati, tapi masih belum ada yang berjaya mencuit pintu hati saya kerana saya sudah tebalkan hati untuk memberi fokus terhadap anak dan karier terlebih dahulu,” tambahnya lagi.

Kehidupannya yang lepas tidak mahu diungkitkannya kembali dan apa yang penting sekarang ini, dia cukup bahagia bersama keluarga tercinta.

“Saya bukan mahu mendabik dada, tetapi Alhamdulillah walaupun hidup sendiri kini, tetapi saya bahagia. Bahagia kerana saya tidak lagi mempunyai komitmen besar melainkan anak sahaja.
“Saya suka apabila ada yang melihat saya bahagia dan gembira sekarang, kerana itulah yang saya lalui,” katanya sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Izreen turut menasihati wanita lain di luar sana yang melalui nasib sama sepertinya untuk bangkit dari kenangan lalu dan memulakan hidup baharu.

“Saya berharap kekuatan dan kebahagiaan saya menjadi inspirasi buat wanita lain di luar sana. Hidup kita sekali sahaja, masa muda kita juga sekali. Jadi jangan bazirkan masa untuk meratap kegagalan yang berlaku, sebaliknya jadikan kegagalan itu sebagai inspirasi untuk anda bangkit dan meneruskan kehidupan,” tambahnya lagi.

Previous Post Next Post