Izzue Islam Nafi Isteri Buat Hal Di Lakosi Kerana Adegan Bersentuhan



Pelakon Izzue Islam menafikan tuduhan isterinya Awin bertindak tidak profesional dengan mengarahkan penggambaran sebuah drama dihentikan gara-gara terdapat adegan bersentuhan suaminya dengan artis wanita lain.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 25, berkata, apa sahaja yang berlaku ketika di set penggambaran adalah atas arahan pengarah dan mengikut skrip yang sudah dipersetujui bersama.

"Awin tidak pernah minti hentikan penggambaran, begitu juga saya kerana hak sepanjang penggambaran adalah atas kuasa pengarah dan ia adalah mengikut skrip yang kami setujui.

"Perkara tentang bersentuhan itu kami sudah jelaskan awal-awal lagi dan pengarah selalunya yang akan tukar babak tersebut bukan saya atau Awin yang memandai-mandai," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran telefon bimbit baharu jenama Vivo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.



Izzue dan Awin

Izzue diminta mengulas tentang tuduhan kononnya terdapat kekecohan di set penggambaran drama apabila isterinya, Awin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin, 33, bertindak meminta penggambaran dihentikan akibat tidak berpuas hati babak bersentuhan suaminya dengan pelakon wanita.

Dalam pada itu, Izzue berkata, sejak mempraktikan syarat tersebut, dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah melibatkan pengarah dan pelakon-pelakon lain.

"Isu ini tidak perlu timbul lagi kerana semua pihak sudah jelas dan apa-apa tawaran selalunya mereka sudah maklum tentang syarat itu, barulah kami setuju," katanya.

Sementara itu, Awin pula berkata, dia kesal dengan tuduhan sedemikian dan mengakui sukar baginya untuk menjelaskan pekara tersebut kepada pihak-pihak lain.

Jelasnya, status sebagai pengurus yang juga isteri kepada Izzue membuatkan orang beranggapan lain.

"Orang terus bercakap tentang perkara ini kerana mereka melihat saya yang bercakap tentang syarat itu kepada produser. Kalau saya bukan isteri dia atau saya pengurus dia sahaja mungkin orang akan faham dan boleh terima," ujarnya.

Bagaimanapun Awin berkata, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya mengurus suaminya itu biarpun sering ditomah dengan pelbagai tanggapan negatif.

Previous Post Next Post