Keindahan Ramadan Najwa Mahiaddin



ERTI Ramadan Najwa semakin bermakna dengan kehadiran suami tercinta, Idris. Suasana bersahur, berbuka dan tarawih bersama menjadi momen paling indah dalam rumah tangga yang baru dibina itu.

SEJAK bergelar isteri kepada Idris Koh Keng Hui pada 26 Mac lalu, jarang benar kisah kehidupan Najwa Mahiaddin ditebarkan kepada khalayak. Mengakui masih Najwa yang seperti yang dikenali selama ini, lebih tiga bulan menjunjung amanah bergelar isteri orang, hari-hari yang dilalui disifatkannya tidak banyak berubah secara total.

Cuma, apa paling ketara, kemuliaan Ramadan kali ini sangat berbeza. Jika selama ini, kemeriahan ibadat puasa dinikmati bersama keluarga, tahun ini menyaksikan pengalaman pertama Najwa, 29, menjalani ibadah puasa bertemankan lelaki tercinta bergelar suami.

Kisah Ramadan Najwa terakam lebih bermakna memandangkan, tahun ini menjadi detik pertama Idris menjalani ibadat puasa sebagai Muslim.

Popular dengan lagu Seri Mersing, Najwa sempat ditemui dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Sony Music di The Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ironi, status sebagai anak orang kenamaan menyebabkan peluang untuk bertemu Najwa dalam majlis keraian seperti itu dikira suatu kesempatan terbaik bagi mendekati perkhabaran terbaharunya.

Mendalami kisah Ramadan kali ini, Najwa tersenyum bahagia. Akuinya, suasana sambutan Ramadan kali ini lebih indah. Manakan tidak, jika dahulu dia hanya dikelilingi keluarga tercinta, namun kini istilah keluarga bahagianya membawa satu lagi dimensi baharu.


“Kali ini, suasananya sangat berbeza, setiap kali berbuka dan bersahur, di sebelah saya ada ‘orang baharu’.

“Ini merupakan tahun pertama saya menyambut Ramadan sebagai isteri. Saya dapat merasakan banyak kelainan terutama menyediakan persiapan bersahur, berbuka dan solat tarawih.

“Sikap suami pula sangat menyenangkan. Sepanjang bersahur, dia tidak cerewet dan makan apa sahaja yang dihidangkan. Bezanya, dia masih belum biasa untuk makan nasi pada awal pagi seperti diamalkan dalam masyarakat Melayu. Untuk mengalas perut, dia hanya mengambil makanan sihat seperti buah-buahan, berbeza dengan saya yang tidak boleh, jika tidak mengambil nasi,” ujarnya sambil ketawa.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman berpuasanya, Najwa berkata, segalanya berjalan dengan lancar. Biarpun ini merupakan tahun pertama suaminya berpuasa sebagai mualaf, namun hakikatnya, Idris sudah pun mengamalkan amalan berpuasa sejak lima tahun lalu.

“Sehingga hari ini, perjalanan puasa Idris berjalan dengan sangat lancar kerana sebelum berkahwin dengan saya, dia sudah faham maksud puasa dan sedikit sebanyak tentang agama Islam.

“Tidak banyak yang perlu saya bantu suami dalam menjalani ibadah puasa kerana tahun ini merupakan tahun kelima dia berpuasa pada bulan Ramadan, bezanya kali ini dia menunaikan puasa sebagai salah satu kewajipan seorang Muslim,” ujar Najwa ceria.

Menjelang Syawal

Masih dalam emosi teruja dan bahagia berkongsi pengalaman berpuasa di samping suami tercinta, kesempatan bertemu pelantun lagu Got To Go tidak mahu dipersia-siakan tanpa diusik dengan cerita Syawal.

Kata Najwa, keseronokan menyambut ketibaan Ramadan masih belum puas dinikmati. Lantaran itu, dia belum terfikir tentang persiapan Syawal.

“Saya dan suami masih belum memikirkan tentang persiapan raya. Ia masih terlalu awal untuk dibincangkan buat masa ini. Saya masih seronok menjalani ibadah puasa bersama suami dan keluarga, jadi saya tidak mahu ‘bunuh’ suasana gembira ini dengan persoalan tentang raya.

“Apa-apa pun, tahun ini semuanya merupakan pengalaman pertama saya daripada segala segi iaitu puasa dan raya sebagai seorang isteri.

“Sudah tentu pakaian raya kami akan sedondon, namun pemilihan warna masih belum difikirkan. Apa yang penting, tahun ini kami sekeluarga akan menyambut Aidilfitri di kampung halaman ibu dan ayah di Muar, Johor. Ibu bapa saya berasal dari sana, jadi tiada masalah untuk berebut pulang beraya ke destinasi mana.

“Suami juga tiada masalah dengan sambutan Aidilfitri. Pastinya setiap tahun kami akan menyambut raya bersama keluarga saya. Perhubungan kami juga tidak akan menghalang Idris menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya, jadi setiap tahun juga saya akan meraikan Tahun Baharu Cina dengan keluarga mentua,” jelasnya sambil ketawa kecil.

Karier

Selain kisah bahtera perkahwinan yang baru dilayari, ibadah puasa dan persiapan menjelang Aidilfitri, rutin karier Najwa masih juga berjalan seperti biasa. Terkini, dia sedang merangka untuk mempromosi album terbaharunya berjudul Aurora.

“Alhamdulillah, album berkenaan sudah pun dilancarkan. Saya juga baru sahaja melancarkan versi terbaharu klip video lagu yang berjudul Seri Mersing.

“Dalam perancangan lain, jika tiada aral melintang saya mahu bawa album Aurora menjelajah ke seluruh negara dengan membuat promosi ke beberapa bandar utama.

“Semuanya masih dalam peringkat awal perancangan. Saya mencari mencari penaja dan lokasi persembahan yang sesuai untuk promosi album berkenaan,” ujarnya yang bakal menampilkan single terbaharu berjudul Sama Saja tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Najwa juga baru sahaja pulang dari Singapura selepas dijemput membuat persembahan penutup Sukan SEA ke-28 di negara republik itu. Peluang yang julung kali itu disifatkan sebagai satu penghargaan apatah lagi membawa nama Malaysia di mata pihak luar.

Pada persembahan penutup yang berlangsung pada 16 Jun itu, Najwa bergandingan dengan vokalis Monoloque, Loque mendendangkan sebuah lagu baharu berjudul Lahirnya Lagenda yang mendapat sentuhan Loque.

Menariknya, selain rentak moden, lagu berkenaan turut mengandungi elemen prosa Melayu klasik iaitu syair.

“Siapa yang tidak teruja dan seronok apabila dipilih mewakili Malaysia. Saya anggap ia pengalaman paling berharga selama menjadi anak seni apabila mewakili negara pada majlis penutup acara sukan bertaraf serantau itu,” tuturnya gembira.

Previous Post Next Post