Kesabaran Fahrin, kerinduan Elena



“Tiada kata harus kulafazkan, untuk menyatakan cintaku padamu. Hembusan rindu antara benua, ternyata syahdu membelai.”

Bait-bait lagu Cinta Antara Benua nyanyian Arni Nazira itu sesuai menggambarkan kehidupan selepas berkahwin pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad, 36, dan isterinya, Elena Hani Eleas, 37.

Tatkala pasangan lain berkongsi rasa bahagia, menyambut bulan Ramadan bersama-sama, Fahrin terpaksa mengorbankan rasa itu dek kerjaya isteri tercinta.

Tugas Elena sebagai Ketua Pramugari syarikat Penerbangan Emirates yang menuntut wanita itu menghabiskan hampir seluruh masanya di Dubai atau di awan biru, menjadikan tahun pertama pasangan itu berpuasa sebagai suami isteri tidak serupa dengan orang lain.

Meskipun begitu, bagi Fahrin, dia tahu setiap hubungan itu memerlukan pengorbanan dan untuk masa sekarang, itulah kehidupan yang perlu dijalani mereka.

“Sayu, mungkin itu perasaan yang paling tepat bagi menggambarkan situasi cinta jarak jauh seperti kami.

“Tipulah kalau hati ini tidak tercuit apabila berbuka dan bersahur sendirian tetapi saya yakin, akan tiba masanya kelak untuk kami berdua menjalani ibadah puasa bersama-sama” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Transformers: Age of Extinction versi bahasa Melayu saluran HBO Asia di Le Meridien Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fahrin terlibat sebagai salah seorang pelakon karakter suara versi bahasa Melayu berkenaan dengan memegang watak utama iaitu Cade Yeager lakonan asal Mark Wahlberg.

Masih dalam emosi bulan madu, Fahrin menjelaskan, ini bukanlah kali pertama mereka berjauhan memandangkan pada waktu berkenalan, Elena sudah pun menetap di Dubai, namun suasana itu berbeza sejak bergelar suami isteri.

Katanya, sewaktu bujang tiada perkara yang perlu dihairankan kerana belum merasai pengalaman hidup berdua. Kini, perasaan ‘kehilangan’ semakin kuat tergantung di hati kerana sejak pulang daripada berbulan madu, inilah kali pertama mereka berjauhan.

“Jika diikutkan, dahulu pun kami berhubung menerusi aplikasi Whatsapp, Skype dan Facetime.


FAHRIN dan isterinya muncul buat pertama kali secara berdua dalam majlis hiburan selepas menyatu sebagai suami isteri pada 9 Mei lalu. Kesempatan itu diambil sebelum Elena terbang semula untuk menyambung tugasnya sebagai pramugari di Dubai semalam.

“Cuma sekarang, teknologi itu sudah tidak dapat mengisi rasa kekosongan hati apabila Elena tiada di sisi,” ujarnya sambil memaut mesra bahu si isteri.


Rindu

Bagi Elena pula, senyuman boleh menghiasi wajah tetapi kadangkala gundah hatinya tidak dapat disembunyikan.

Kata Elena, isteri mana yang sanggup meninggalkan suami sendirian ditambah pula pada bulan-bulan istimewa seperti Ramadan dan Syawal.

Tidak terlepas berendam air mata tiap kali suami bertanya khabar ketika sedang bertugas, hati wanita Elena acap tewas menanggung rindu.

Berkahwin tetapi ‘solo’

Tersepit di antara kepadatan jadual kerja dan kekangan masa, tahun ini untuk pertama kalinya sepanjang lapan tahun bergelar pramugari, Elena berjaya mendapat pelepasan cuti selama beberapa hari pada bulan puasa untuk pulang ke tanah air dan menjenguk keadaan suami.

Selepas ini, dia tidak akan bercuti sehinggalah sehari sebelum Syawal tiba. Situasi itu sekali gus, menjadikan semua persiapan Aidilfitri diuruskan Fahrin termasuklah baju raya dan juga kuih-muih yang hendak dibeli.

“Saya tidak akan menangis di depan Fahrin kerana tidak mahu dia juga berasa tidak kuat untuk berjauhan tetapi apabila dia bertanya tentang juadah berbuka tambah-tambah lagi persiapan raya, saya tidak dapat mengelak daripada menitiskan air mata.

“Dalam hati terdetik, kasihan suami kerana menguruskan segalanya sendiri seperti orang bujang. Namun, saya bersyukur, Fahrin memahami dan tidak pernah merungut,” tutur Elena sambil jari-jemarinya lembut menggenggam tangan arjuna hati.


FAHRIN (tiga dari kiri) bersama pelakon tempatan lain termasuk Scha Al Yahya, Sharnaaz Ahmad, Hazama dan Elizabeth Tan yang terlibat sebagai pelakon suara versi bahasa Melayu filem Transformers: Age of Extinction yang akan disiarkan pada hari raya pertama nanti menerusi saluran HBO.

Jika dilihat kepada kehidupan Elena, tiada apa yang hendak dikeluhkan. Kestabilan karier sudah diraih, rahsia jodoh juga sudah ditemui apabila sah menjadi isteri Fahrin sejak Mei lalu.

Di sebalik segala anugerah itu, jauh di sudut hatinya, Elena mahu pulang ke tanah air dan berada di sisi Fahrin walaupun impian itu akan mempertaruhkan kerjaya sendiri.

Kata Elena, cukuplah selama lebih 10 tahun dia mengejar impian dan cita-cita. Sekarang, sudah tiba masanya dia berbakti kepada suami dan menghabiskan masa dengan keluarga.

“Kata hati saya sekarang, saya sudah tidak perlu fikir tentang karier lain sekiranya saya berhenti daripada menjadi pramugari.

“Apa yang penting, fokus utama saya ialah menjaga suami. Saya mahu makan pakainya diuruskan oleh saya sendiri,” jelasnya yang sudah mula berkira-kira dan mencari waktu sesuai untuk mengundur diri daripada karier sejak dilamar Fahrin.

Perkara sama disokong oleh Fahrin yang semestinya mahu si isteri berada di sisi setiap masa.

Namun, Fahrin cukup sedar dan memahami situasi Elena yang tidak boleh sewenang-wenangnya berhenti kerja.

Tidak pernah memaksa atau mendesak, Fahrin menyerahkan perkara itu kepada budi bicara Elena. Dia yakin, isterinya pasti tahu apa yang terbaik buat mereka berdua.

“Elena masih terikat kontrak. Kediamannya di Dubai juga terikat dengan kontrak selama setahun dan semua bayaran sewa telah diselesaikan sejak awal tahun.

“Tidak mengapa, saya tidak mahu dia terburu-buru berhenti kerana kami masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga. Jadi, setiap langkah perlu dibuat secara perlahan-lahan, “ jelasnya lagi.

Raya yang dinanti

Aidilfitri tentunya dinanti-nanti sebagai saat istimewa untuk diraikan dengan keluarga dan rakan-rakan.

Pada tahun ini, Fahrin sudah boleh menarik nafas lega. Dia tidak perlu lagi berdepan soalan-soalan bingit berkenaan jodoh dan bilakah akan menamatkan zaman bujang.

Memandangkan Elena hanya pulang sehari sebelum raya, mereka berdua memutuskan untuk menghabiskan waktu pagi raya bersama keluarga Elena di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Johor Bahru pada sebelah petangnya.

Menurut Fahrin, dia tidak sabar untuk merasai pengalaman beraya sebagai suami dan mahu memperkenalkan isterinya itu kepada saudara-mara yang belum berkesempatan bertemu Elena.

“Selain teruja untuk menyambut Aidilfitri, kami dalam usaha mencari tarikh untuk membuat resepsi perkahwinan yang masih tertangguh.

“Saya dan Elena masih rasa ‘berhutang’ dengan banyak pihak mengenai majlis resepsi kami. Insya-Allah, sebuah majlis akan dilangsungkan secepat mungkin bergantung kepada kepada jadual kerja isteri,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post