Lana Nordin, David berpuasa di Amerika Syarikat


LANA dan suami, David kini menikmati saat-saat bahagia bersama selepas mendirikan rumah tangga pada Mei lalu.

KEHADIRAN bulan Ramadan pastinya memberi pengertian berbeza bagi aktres Lana Nodin kerana buat pertama kalinya menunaikan ibadah puasa sebagai seorang isteri kepada jejaka kacak dari Amerika Syarikat (AS), David McKienzie.

Selain menjalankan tanggungjawab sebagai suri hati kepada atlet bola tampar berasal dari Los Angeles, AS itu, hakikatnya Lana kini sedang memikul cabaran yang lebih besar kerana perlu membimbing suaminya mendalami agama Islam.

Ditanya perasaan dan keadaan David tatkala menyambut Ramadan bermula Khamis lalu, Lana memberitahu, hari pertama berpuasa sudah tentu memberikan cabaran baharu buat suaminya yang telah memeluk Islam pada 5 Disember tahun lalu.


“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. David mengakui teruja dan seronok menyambut bulan Ramadan yang mulia ini.

“Hari pertama David menyambut puasa, sungguh menakjubkan kerana dia langsung tidak merungut ataupun merayu untuk berbuka awal. Cuma dia bertanya tentang masa puasa bagi umat Islam dan kerap menyatakan tekaknya mulai kering.

“Sebagai isteri, saya bersyukur kerana David berjaya melalui fasa puasa dengan baik,” ujar Lana ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Tambah Lana, sebelum mereka berangkat ke AS pada Jumaat lalu, dia berkesempatan membawa suaminya ke bazar Ramadan bagi merasai pengalaman berbeza apabila menjelang bulan puasa.

“Rugi rasanya kalau tidak membawa David ke bazar Ramadan. Rasa tercuit hati melihat keletahnya yang teruja melihat makanan dalam pelbagai warna dan rasa.

“Lagipun, ini sahaja peluang yang boleh dinikmati David sebelum kami terbang ke AS kerana dia bakal terlibat dengan satu kejohanan bola tampar di sana.

“Justeru, kami akan menyambut bulan puasa dan bakal menyambut hari raya di sana. Pada masa sama, kami mengambil peluang tersebut untuk berbulan madu dan menghabiskan masa bertemu dengan ahli keluarga David,” katanya yang sedang menyulam bahagia di samping suami tercinta.

Menyelusuri kembali perjalanan cinta mereka berdua, Lana mula mengenali David, 35, sewaktu menghadiri sebuah majlis sukan yang diadakan di Singapura pada 25 Oktober tahun lalu.

Siapa sangka tempoh ikatan yang tidak sampai setahun itu telah membibitkan rasa cinta terhadap diri mereka, sekali gus mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada 15 Mei lalu.

Kini selepas hampir sebulan bergelar pasangan suami isteri, Lana yang popular melalui drama bersiri Gol & Gincu dan Pontianak vs Orang Minyak mengakui sedang melalui satu fasa kehidupan yang cukup tenang dan bahagia bersama suami tersayang.

“Alhamdulillah, David semakin mempelajari banyak perkara tentang Islam dan menghormati budaya dan adab orang Melayu.

“Sejak bercinta sehinggalah sudah berkahwin, dia sentiasa mendahulukan saya dalam banyak perkara . Dia rajin menolong saya di dapur dan membantu dalam segala hal.

“Bagi saya, dia ialah lelaki terbaik yang pernah singgah dalam hidup saya selain keluarga. Paling membuatkan saya bertambah sayang kepadanya kerana dia sudah pandai bertutur dalam bahasa Melayu,” seloroh Lana.

Melanjutkan bicara mengenai perancangan masa depan, Lana tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mendapatkan anak.

Ujar Lana, dia hanya menyerahkan kepada takdir dan menerima setiap rezeki yang diberikan Allah.

“Sejujurnya kami tidak merancang untuk memiliki zuriat. Bagi saya, setiap individu yang berkahwin pasti menantikan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap hidup.

“Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Saya menerima dengan penuh kesyukuran. Mana tahu sebulan dua nanti ada khabar gembira yang akan dikongsikan,” kongsi Lana.

Previous Post Next Post