Nancie Foo masih dirindui peminat



SUDAH lama menyepi, pelakon 90-an, Nancie Foo akan kembali menemui peminat apabila sudah bersedia untuk berlakon semula setelah 20 tahun berehat dalam dunia hiburan tempatan.

Selebriti yang pernah bergelar Ratu Cantik Malaysia 1979 ini berkata, keputusan kemunculan semulanya itu dilakukan kerana masih ramai peminat yang tertanya mengenai lakonannya.

“Ketika saya mengikuti sukarelawan misi banjir di Kelantan yang mengalami banjir besar hujung tahun lalu, ada antara kakak-kakak dan makcik-makcik di tempat dikunjungi nyata merindui lakonan saya.

“Daripada situ, saya sedar yang masih ada peminat yang sayangkan saya untuk berlakon semula, oleh itu kini saya sedang dalam penggambaran drama musim terbaru Gerak Khas terbitan Skop Production,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku We Are Family di Encorp Strand, baru-baru ini.


Nancie juga memberitahu, keputusan untuk kembali berlakon dibuat apabila tiga anak perempuannya sudah besar dan pandai berdikari.

“Tiga anak saya iaitu Wong Ai Dee, 22, Wong Ai Vee, 20, dan Wong Ai Lee, 14, sudah mampu berdikari dan justeru kini saya punyai untuk terlibat dalam lakonan.

“Dahulu, selepas berkahwin, saya nekad berehat daripada dunia lakonan kerana ingin memberi fokus kepada anak-anak dan keluarga.

“Tetapi apabila mereka sudah besar, rasanya saya sudah boleh kembali berlakon,” katanya.

Namun, dia yang pernah memegang watak Inspektor Suzy dalam Gerak Khas dulu tidak mahu mengambil watak-watak yang terlalu berat.

“Dalam Gerak Khas 13 episod itu nanti juga, saya antara pelakon undangan sahaja,” katanya.

Berkongsi pula mengenai buku We Are Family, Nancie berkata, ia diterbitkan bertujuan mengumpul dana bagi disalurkan kepada rumah perlindungan binatang terbiar iaitu Homeless & Orphaned Pets Exist (HOPE).

Isu kandungan buku tersebut adalah mengenai kisah-kisah menarik di antara haiwan peliharaan yang kebanyakan bermula daripada haiwan terbiar dan tuannya.

Antara selebrit yang juga dimuatkan dalam buku tersebut seperti Adibah Noor, Lisa Surihani, Maya Karin, Jaclyn Victor dan Amber Chia, bersama haiwan kesayangan masing-masing.

Previous Post Next Post