Nomad kembali warnai industri nyanyian


KEPUTUSAN Nomad untuk berhenti menyanyi sementara adalah bagi memperbaiki diri.

SEKITAR dua tahun lalu, nama penyanyi dan penulis lirik kelahiran Besut, Terengganu, Nomad pantas meniti di bibir peminat seni tanah air apabila lagu Tetap Menantimu ciptaan Akid dan lirik oleh Poji, menjadi siulan ramai.

Lebih mengujakan, dalam tempoh tersebut Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieef Ayub mudah mendapat tempat di hati pendengar sehingga menjadikan lagu runut bunyi drama Love You Mr. Arrogant itu melonjak popular dan mara ke peringkat separuh akhir muzik-muzik ke-28.

Bagaimanapun, pencapaian penyanyi kacak berusia 27 tahun itu tidak bertahan lama. Gara-gara pengumuman yang dibuatnya untuk berehat seketika dalam industri seni nyanyian tahun lalu bagi memperbaiki kelemahan diri, nama Nomad semakin sayup didengar.

Bertemu Nomad pada majlis pelancaran telefon bimbit baharu jenama Vivo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis terdetik merisik khabar penyanyi yang pernah bernaung di bawah syarikat pengurusan muzik InDigital Sdn. Bhd. sebelum mengambil keputusan berhenti bernyanyi dan bergerak secara solo.

Kata Nomad, selepas hampir enam bulan menyepikan diri dalam industri seni nyanyian, dia kini bersedia untuk bergelar penyanyi semula dan kembali mewarnai industri seni tanah air yang dicintai.


“Selepas membuat kenyataan untuk berhenti seketika dalam industri seni nyanyian kerana mudah gugup dan sukar menyanyi secara langsung dengan baik setiap kali dipanggil untuk persembahan program televisyen, saya gunakan masa tersebut untuk memperbaiki diri daripada terus menyusahkan orang lain.

“Alhamdulillah selepas hampir enam bulan perbaiki kekurangan itu, saya semakin bersedia untuk kembali aktif bernyanyi,” ujar Nomad yang tidak pernah menyesal mengeluarkan kenyataan berhenti seketika dalam industri nyanyian kerana menganggap itu adalah jalan terbaik untuknya.

Ketika ditanya, tidakkah dia berasa sayang meninggalkan kerjaya nyanyiannya ketika itu, Nomad berkata, dia percaya dengan rezeki yang sudah tertulis buat dirinya.

“Saya terjun dalam industri seni nyanyian ini kerana kepuasan diri, tetapi pada masa sama, saya mahu berkongsi minat ini kepada khalayak dan peminat. Andai kata, apa yang saya lakukan ini diterima baik saya akan teruskan, tetapi kalau sebaliknya saya reda.

“Lagipun saya percaya dengan setiap rezeki yang ditentukan oleh-Nya. Saya cuma berharap agar jalan yang saya pilih ini akan terus sukses dan membuahkan hasil,” kata Nomad yang bakal melancarkan single ketiganya berjudul Andai Punya Waktu selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Tambah Nomad, selepas mengambil keputusan untuk bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan, dia mengakui lebih selesa menguruskan kerjaya seninya seorang diri.

“Terus terang, saya lebih selesa bergerak sendiri dan belum terfikir untuk bernaung dengan mana-mana syarikat pengurusan. Walaupun saya akui sukar untuk menguruskan kerjaya seorang diri, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu apa yang perlu dilakukan dan memperbaiki kelemahan diri.

“Saya percaya untuk mencapai tahap lebih tinggi, ia memakan masa panjang dan bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Jadi, sebagai permulaan saya sudah melantik sebuah syarikat pengurusan bagi tujuan promosi single ketiga yang bakal dilancarkan tidak lama lagi,” kongsinya yang kini sudah lima bulan menguruskan sebuah syarikat pengurusan acara di Terengganu.

Previous Post Next Post