Pelakon Putri Mardiana Mengaku Tidak Bersalah Berkhalwat



Putri Mardiana mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat.

Pelakon Putri Mardiana dan pasangannya, Shahrizam Abdullah mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah premis kediaman pada 14 Disember tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaluddin ketika ia disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada Selasa.

Shaiful Azli kemudiannya memerintahkan pasangan berkenaan masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM1,500 dan kes berkenaan akan disebut semula pada 25 Ogos depan.

Tertuduh turut diminta untuk melantik peguam bela bagi mewakili mereka dalam kes berkenaan.


Menurut fakta kes, Putri Mardiana, 34, dan Shahrizam, 31, telah ditahan di sebuah premis kediaman beralamat C-05-08 Jalan UP 1/1D Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang pada pukul 3.03 pagi berdasarkan aduan awam kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 14 Disember tahun lalu.

Mereka ditahan mengikut seksyen 29 (1) A dan B Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Mohamad Saufi Mastor Lani.

Putri Mardiana atau lebih mesra dengan sapaan Nina dalam satu kenyataan kepada mStar Online bertarikh 17 Disember 2014 memberitahu kes berkenaan tidak akan dibawa ke mahkamah atas sebab-sebab tidak dijelaskan selain mendakwa mereka tidak bersalah.

Pelakon itu mendakwa serbuan tersebut sengaja dirancang oleh bekas teman lelakinya dan bekas isteri Shahrizam dengan tujuan untuk memalukannya.

Previous Post Next Post