Puasa, hijab ketenangan Amber Chia



AMBER manis dalam imej jubah dan hijab sambil dikerumuni model cilik ketika muncul dalam satu peragaan fesyen Muslimah baru-baru ini.

Islam itu mudah dan indah. Penyataan ringkas, namun cukup bermakna itu secara tidak langsung telah menambat hati model bertaraf antarabangsa, Amber Chia untuk semakin terbuka mempelajari agama Islam.

Luahan itu timbul apabila penampilannya yang berjubah lengkap berhijab berjubah ketika hadir membuat persembahan fesyen di Butik Suci By Yatt milik pelakon Yatt Hamzah baru-baru ini menarik perhatian banyak pihak. Menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik dalam akuan Instagramnya, terdapat segelintir peminat mula membuat kesimpulan bahawa Amber bakal mengikut jejak langkah bekas model, Felixia Yeap yang sudah memeluk Islam.

Mengakui selesa dan tidak kekok mengenakan tudung, Amber bagaimanapun berkata, penampilannya itu sekadar suatu kesedaran untuk menghormati majlis. Soal kepercayaan dan pegangan agama juga bukan satu isu yang perlu dibangkitkan.


Artis Meletop! telah menghubungi wanita berusia 34 tahun itu untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

Artis Meletop!: Apa khabar Amber sekarang? Kelihatan semakin cantik terutamanya setelah tampil bertudung pada sebuah majlis baru-baru ini. Adakah itu satu proses ke arah perubahan dan sesuatu yang baharu bagi anda?

Terima kasih atas pujian itu. Betul, baru-baru ini memang saya tampil bertudung dan berjubah dalam sebuah pertunjukan fesyen, tetapi tindakan itu bukanlah satu transformasi. Saya akui, bertudung membuah perasaan gembira kepada saya, tetapi iatu sekadar pengalaman menjayakan satu-satu tugasan.

Apakah yang membuat anda nekad tampil bertudung walaupun sedar, pasti mengundang respon yang tidak terjangka daripada peminat?

Pada mulanya, idea berhijab ini timbul apabila saya menyokong Kempen Hari Bertudung Sedunia sekitar Mei lalu. Kempen itu secara bertujuan menyebarkan rasa cinta dan keamanan terhadap dunia. Jadi, apabila difikirkan, tidak salah untuk saya turut serta dan memakai tudung. Niat saya untuk menyampaikan mesej kasih sayang, bukannya untuk menunjuk-nunjuk. Respon peminat dan masyarakat itu seperti biasa, ada negatif dan positifnya. Namun, saya tidak pernah ambil serius atas segala kritikan dan komen berbaur hentaman yang diterima kerana menganggap mereka tidak memahami usaha dan misi saya.

Memasuki bulan Ramadan, bulan di mana umat Islam berpuasa, khabarnya anda juga berazam untuk berpuasa penuh pada tahun ini. Boleh ceritakan sedikit mengapa anda ingin berpuasa?

Saya memang memasang niat untuk berpuasa penuh sepanjang Ramadan tahun ini, itu pun jika saya mampu. Bagi saya, berpuasa bukan sahaja bagus untuk kesihatan tubuh, tetapi mengingatkan tentang penderitaan golongan yang kurang bernasib baik, tidak cukup makanan dan minuman di luar sana. Ini merupakan tahun kedua saya cuba berpuasa penuh. Dua tahun lalu, saya hanya sempat berpuasa selama 10 hari kerana masalah kesihatan.


AMBER merakam gambar bersama Yatt Hamzah ketika hadir memeriahkan pelancaran koleksi fesyen terbaharu di butik Yatt, baru-baru ini.

Bagaimana pula dengan cabaran yang anda lalui sepanjang percubaan berpuasa?

Banyak juga cabarannya. Sebagai seorang model, saya mempunyai rutin dan diet sendiri, jadi apabila lari sedikit daripada kebiasaan, memang cepat berasa penat. Saya tidak kisah kalau tidak makan, cuma saya cepat haus (ketawa). Bagaimanapun tahun ini, saya memang berazam mahu puasa penuh 30 hari.

Adakah keinginan berpuasa itu disedari ahli keluarga dan bagaimana pula respon mereka mengenai tudung yang anda pakai?

Semestinya mereka tahu, malah menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Suami juga tidak menghalang saya mahu berpuasa kerana katanya, berpuasa boleh membuang toksin-toksin dalam badan. Hal tudung pula, ibu saya tahu tujuan dan mesej yang ingin disampaikan. Dia sendiri turut menyuarakan keinginannya untuk cuba memakai tudung suatu hari nanti.

Apabila membuat penampilan di hadapan umum dengan menutup aurat, ada pihak mula meramal bahawa anda secara perlahan-lahan akan mendekati agama Islam. Apakah respon anda mengenai perkara itu?

Umum tahu, saya merupakan seorang free thinker (tidak mempunyai agama). Memang saya bersikap terbuka dan gemar mempelajari semua agama yang ada di dunia. Tentang harapan segelintir pihak yang mahu melihat saya memeluk Islam, itu sesuatu yang saya tidak boleh jelaskan di sini. Bagi saya, perkara itu belum terlintas dalam fikiran, namun apa yang saya boleh katakan, puasa dan tudung memberikan ketenangan yang berbeza kepada saya.

Apakah yang paling anda gemar tentang bulan puasa?

Saya sukakan suasananya. Keadaan bila rakan-rakan dan ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa, ia satu perasaan yang anda tidak akan jumpa di mana-mana tempat pada hari biasa. Saya juga sukakan bazar Ramadan dan walaupun tidak berpuasa, setiap tahun pasti saya singgah ke bazar untuk membeli makanan.

Previous Post Next Post