Remy Ishak Tanggung Risiko Jika Jualan Karnival Tak Laku



Pelakon Remy Ishak memberitahu bersedia dipersalahkan jika jualan di karnival anjurannya iaitu Santai Lebaran Fiesta 2015 kurang mendapat sambutan.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 33, berkata, sebagai peniaga, dia sudah bersedia dengan pelbagai bentuk kemungkinan dan mengambil risiko tersebut dengan positif.

"Saya terima seadanya dan serahkan semuanya kepada Allah. Sebenarnya saya tidak fikir pasal rugi atau tidak kerana jalan saya satu sahaja ialah untuk berbuat amal kebajikan.

"Saya mahu bagi peluang orang ramai dan para artis berniaga, saya harap peniaga pun fikir begitu, saya tidak fikir untung atau rugi tetapi saya hanya buka ruang dan peluang kepada mereka," katanya kepada Artis Meletop.



Remy melihat kedai baju Erra Fazira

Remy menganjurkan acara jualan dan aktiviti seni yang berlangsung di Laman Sari, Istana Budaya dari 25 Jun hingga 16 Julai depan.

Antara artis yang turut terlibat dalam karnival tersebut ialah Erra Fazira, Awie, Shuib Sepah, Nad Zainal, Sherry Alhadad, Aril Pilus dan Serina Redzuawan.

Sementara itu, Remy berkata, cabaran utama adalah untuk memuaskan hati semua orang terutama peniaga-peniaga termasuk melakukan promosi bagi menarik pengunjung ke lokasi tersebut.

"Ini merupakan kali pertama saya dan banyak perkara baru yang saya belajar terutamanya pada bulan puasa ini kena banyak bersabar.

"Kami perlu bertungkus lumus memuaskan hati peniaga untuk memastikan kedai mereka mampu menarik pengunjung. Selain itu di sini juga saya belajar melihat siapa yang sanggup buat kerja amal," ujarnya.

Dalam pada itu, Remy berkata, Santai Lebaran Fiesta 2015 menempatkan lebih 20 buah gerai yang menjual pelbagai barangan untuk Hari Raya Aidilfitri.

Dia juga masih membuka tuang kepada 20 peniaga yang berminat untuk bersama-sama berniaga di lokasi tersebut.

Previous Post Next Post