Sam Bunkface Suka masak di rumah bersama isteri



Sam Bunkface dan isterinya, Aida sedang teruja melayari alam perkahwinan. Sementelah, ini tahun pertama mereka menyambut Ramadan dan Syawal sebagai pasangan yang sah.

TANGGAL 25 April lalu menjadi detik paling bersejarah buat vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya,

Shamsul Annuar Baharom, 25, dan isteri, Aida Azira Husin, 28, apabila disatukan menjadi suami isteri.

Tiga bulan bergelar suami, Sam mengakui banyak perkara baharu yang telah dipelajarinya bersama isteri tersayang dalam perihal rumah tangga. Malah, tahun ini juga merupakan pengalaman pertama menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai pasangan suami isteri.

Berpeluang bertemu mereka pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Sony Music di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Sam tidak lokek untuk berkongsi tentang kehidupan baharunya yang disifatkan sebagai kebahagiaan sebenar buatnya dan isteri.


“Alhamdulillah, banyak perkara yang telah berubah sejak berkahwin. Kalau sebelum ini bulan puasa saya bersama keluarga, kini saya bersama isteri (Aida).

“Seronok, sebab sekarang kalau mahu makan apa-apa, isteri tolong masak,” ujarnya sambil berseloroh.

Menurut Sam yang mencipta nama melalui lagu berjudul Situasi, banyak perkara harus dititikberatkan memandangkan statusnya kini bukan lagi sebagai lelaki bujang.

“Bergelar suami bukan mudah. Saya kena banyak bersabar dan rajin berbincang dengan isteri sebelum memutuskan sesuatu perkara.

“Contohnya, selepas bertahun sambut raya di Kuala Lumpur, buat pertama kali dalam hidup, tahun ini saya akan beraya bersama isteri di Melaka bersama keluarga di sebelah sana,” tutur Sam bersahaja.

Bercakap lebih lanjut mengenai rencah kehidupan berumah tangga yang masih baharu bagi dirinya dan isteri tercinta, Sam memberitahu, banyak perkara yang menguatkan ikatan suami isteri antara mereka berdua.

“Kami berdua suka memasak bersama di rumah kerana saya dan Aida tidak berapa gemar makan di luar terutama pergi ke bazar Ramadan.

“Jadi, kami habiskan masa bersama dengan memasak. Selera Aida dengan saya agak berbeza. Dia suka makan makanan yang berat, manakala saya pentingkan pemakanan yang sihat.

“Walaupun berbeza selera, ia tidak membuat kami bertengkar, malah ikatan suami isteri semakin kuat,” kata Sam yang dilahirkan di England, United Kingdom.

Sam memberitahu, makanan kegemarannya di bulan Ramadan adalah nasi kerabu.

Dalam pada itu, Sam bersyukur dan gembira dengan perubahan imej yang ditunjukkan oleh isterinya sempena dengan bulan Ramadan. Aida kini berhijab.

“Sebenarnya, dia mula berhijab sebelum Ramadan lagi. Dia memang sudah memberitahu tentang hasratnya untuk berhijab selepas kahwin. Alhamdulillah, niatnya diperkenan Allah dan menjadi suatu kenyataan.

“Saya sebagai suami berharap imej baharu Aida akan terus kekal dan akan terus menyokongnya dari belakang asalkan apa yang dia buat menjurus ke arah kebaikan,” unggap Sam.

Diajak berbicara soal cahaya mata, Sam mengatakan, dia sudah bersedia bila-bila masa untuk bergelar bapa.

“Saya sudah bersedia galas tanggungjawab sebagai bapa sejak berumur 15 tahun (ketawa). Semuanya terpulang kepada rezeki, kalau ada, kami terima.

“Bagaimanapun, buat masa ini belum ada lagi tanda-tanda dia (Aida) hamil. Saya harap peminat doakanlah yang terbaik buat kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bunkface kini dalam proses merakamkan sebuah lagu yang bakal diangkat sebagai lagu tema filem Boboiboy The Movie. Filem tersebut dijadualkan memasuki pawagam pada November depan.

“Selain itu, single kedua daripada album Malam Ini Kita Punya berjudul Darah Muda akan mula diputarkan di radio selepas raya.

“Bunkface juga baru balik dari Jepun untuk penggambaran program raya di sana yang bakal ditayangkan pada hari raya pertama di TV9,” ujarnya menutup bicara.

Previous Post Next Post