Sari Yanti: Tak suka jaja kisah peribadi


SARI mahu peminat mengenalinya sebagai pelakon berkaliber dan bukannya kisah kontroversi mengenai dirinya.

BARANGKALI drama Kisah Kaisara boleh dianggap sebagai mukadimah yang menjadi salam perkenalan buat pelakon Sari Yanti saat dia mula-mula menguak pintu industri seni hiburan. Ketika itu usianya baru mencecah 23 tahun.

Menggalas watak sebagai Kaisara yang menggambarkan kisah kehidupan seorang remaja sekolah, karakternya yang menampilkan sikap gadis matang dalam melayan kerenah bapa tunggalnya lakonan aktor Norman Hakim benar-benar mencuri perhatian penonton.

Sejak itu, kehadiran pelakon yang mesra dengan sapaan nama Sari ini mula menjadi tumpuan. Satu demi satu wajahnya menghiasi kaca televisyen. Bukan sekadar berdiri atas kapasiti sebagai pelakon drama, bahkan mukanya juga banyak melatari di sebalik skrin kaca menerusi iklan-iklan komersial tempatan.

Ketika dia meniti perjalanan awal membina karier, Sari tidak seperti artis lain. Jika ada rakan seperjuangannya dikenali dek terpalit kisah kontroversi, namun tidak buat aktres filem Impak Maksima itu.

Kanvas seninya cukup dijaga bersih. Dia bijak meletakkan garis pemisah antara kerjaya dan kisah peribadi. Sehinggakan berita dia sedang mengulit cinta dengan lelaki pilihan hatinya juga terjaga rapi.

Tahu-tahu, Sari tiba-tiba membuka mulut mahu mengakhiri zaman bujangnya dengan ahli perniagaan, Mohd. Eddy Casmady. Tatkala ada artis yang bimbang dengan populariti atas faktor status diri, Sari yang ketika itu baru berusia 24 tahun meletak ke tepi semua itu.

Pada benaknya, dia perlu akur dengan ketentuan. Dia membuang jauh rasa yang sering menjadi igauan buat golongan sepertinya apabila menyentuh perihal antara status diri dan nilai populariti. Bagi Sari, untung nasib bukan di tangannya, tetapi itu urusan Yang Maha Esa.

Sejak bergelar isteri, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu meneruskan rutin kehidupannya. Dikurniakan dua cahaya mata, Barr Al Aliy, 5, dan Basit Al-Haq, 3, kehadiran putera-putera hatinya itu menjadi pelengkap dalam hidup mereka.

Bagaimanapun, tiada siapa yang menyangka, dalam melihat aktres yang kini berusia 31 tahun itu diulit bahagia dengan keluarga tercinta, khabar berita dirinya mahu meleraikan ikatan yang terbina mula bertebaran selepas lima tahun hidup berkeluarga.

Saat itu, Sari menjadi tumpuan. Walau telefon bimbitnya bertalu-talu berdering menerima panggilan media, Sari lebih cenderung memilih untuk tidak membuka mulut sehinggalah dia disahkan bercerai pada penghujung kalendar 2014.


“Saya sedar ramai yang mencari saya ketika itu untuk bertanyakan perihal tersebut. Ada yang meminta saya untuk menjalani sesi fotografi, tetapi saya tolak kerana sedar isu rumah tangga yang mungkin mahu ditanya.

“Bukan sengaja mahu mendiamkan diri, cuma bagi saya, tidak perlu untuk saya menceritakan perihal keluarga kepada umum.

“Ada banyak hati yang perlu saya jaga. Biarlah orang membaca kisah saya mengenai kerjaya dan bukannya soal peribadi,” tuturnya lembut ketika bertandang ke studio pada satu sesi fotografi yang berlangsung baru-baru ini.

Hanya kongsi cerita karier

Pertemuan bersama Sensasi Bintang yang diaturkan dalam tempoh beberapa hari itu juga, kata Sari, merupakan sesi fotografi pertamanya bersama media yang dipersetujuinya selepas berstatus janda.

“Saya memang jenis yang tidak pergi fotografi untuk suka-suka sahaja. Jika ada projek lakonan yang boleh dikongsikan kepada umum, barulah saya akan lakukan.

“Kalau tidak ada apa-apa mengenai lakonan yang mahu diceritakan, saya lebih suka memilih untuk berdiam begitu. Tak apalah jika orang kata tidak popular.

“Lagipun, saya bukanlah mengejar populariti. Bukannya apa, saya bimbang nanti perkara yang sepatutnya tidak ada boleh jadi ada pula. Biarlah ada cerita mengenai lakonan, baru saya kongsikan kepada orang ramai. Cara begitu lebih baik,” kongsi pemilik nama penuh Sari Yanti Mohamad Nazari itu.

Apa yang dikatakan Sari itu memang benar-benar menggambarkan dirinya. Mana tidaknya, mahu melihat kelibat Sari ke acara-acara karpet merah memang jarang sekali. Bukannya antisosial, cuma katanya, aktiviti seperti itu bukan keutamaan buatnya.

“Saya bukan jenis individu yang akan menghadiri setiap kali ada acara karpet merah kerana saya tidak pernah meletakkan perkara tersebut sebagai wajib untuk saya.

“Saya tahu ia juga bagus sebab kita tampil di hadapan media dan bertemu orang ramai, cuma jiwa saya bukan ke arah begitu. Bagi saya tidak pergi pun tidak mengapa. Cuma tidak adalah sampai saya langsung tak pergi tunjuk muka,” kata pelakon filem Misteri Jalan Lama itu.

Puasa masa untuk berehat

Apa yang pasti, kedatangan Ramadan kali ini memberi suasana berbeza buat bekas peserta program realiti Fear Factor itu. Secara literal, bulan puasa kali ini disambut secara bersendiri.

Sungguhpun begitu, suasana itu tidak mengubah jauh dengan apa yang pernah Sari rasai sebelum ini. Ini kerana, secara teknikalnya dia masih dikelilingi ahli keluarga yang sentiasa berada di sampingnya. Insan-insan inilah yang sering memberi sokongan dalam setiap apa yang dilakukannya.

Kata Sari, menjadi kelaziman buat dirinya untuk berbuka puasa bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain. Dengan cara itu, kata Sari, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

“Bulan puasa ini, jika saya tidak ada kerja, saya lebih suka habiskan masa duduk di kampung. Lagipun, inilah masa yang sering digunakan artis untuk berehat dan kurangkan aktiviti seni.

“Jadi, sewaktu berbuka, saya dan sepupu-sepupu yang lain akan berkumpul di satu rumah untuk menikmati juadah yang dimasak bersama-sama,” katanya yang memang lebih gemar menyediakan juadah berbuka sendiri.

Tambah Sari, pada bulan puasa ini jugalah merupakan masa bersesuaian untuk menyediakan segala kelengkapan untuk menyambut kedatangan Syawal pula.

Ditebak dengan soalan mengenai anak-anaknya bakal menyambut Aidilfitri di pihak mana, kata Sari, biarlah perkara itu dalam pengetahuan dirinya sahaja.

“Bukan apa, hati manusia ini sentiasa berubah, saya takut, kalau beritahu hari ini, mungkin apabila tiba masanya nanti, ada perubahan lain pula,” jawabnya tenang.

Dalam perkembangan lain, kata Sari, pada bulan Ramadan ini dia muncul dengan drama bergenre komedi 20 episod berjudul Mail Sudin Sambut Ramadan bergandingan bersama pelakon Remy Ishak dan Shuib Sepahtu.

“Saya memegang watak sebagai anak perempuan kepada seorang lebai kampung. Merupakan pelajar universiti baru habis pengajian yang menjadi rebutan dua pemuda itu,” katanya yang disiarkan menerusi saluran Astro Oasis.

Dalam pada itu, katanya dia juga bakal muncul dengan telefilem Ramadan Berteduh Syawal bersama pelakon Beto Kusyairy dan Azri Iskandar.

Previous Post Next Post