Suhu populariti Zara Zya, Aaron



EVOLUSI karier Aaron Aziz dan Zara Zya diwarnai gelombang tersendiri. Selaku anak seni yang masih meletakkan sepenuh kecintaan terhadap bidang itu memberikan kestabilan hidup kepada mereka, Aaron dan Zara Zya sudah memiliki profil kerjaya yang cukup sebagai bekal untuk terus merajai jiwa peminat tegar masing-masing.

Kehebatan Aaron menterjemahkan watak di layar perak mahupun kaca televisyen sudah tidak perlu disangkal. Beberapa naskhah terbaiknya seperti KL Gangster 2, Evolusi KL Drift, Ombak Rindu dan Suamiku, Encik Perfect 10 akan tersimpan sebagai pencapaian yang begitu berharga.

Berbekalkan sosok fizikal dan air muka yang mampu mencairkan hati wanita, percikan populariti Aaron memuncak sebaik sahaja penghijrahannya dari Singapura ke Malaysia sehingga dinobat sebagai Bintang Paling Popular 2011 dan 2013.

Berganding sebagai kekasih dalam drama Dan Calonnya Adalah musim kedua (DCA2) itu, lakonan Aaron dan Zara mencatat hampir setengah juta tontonan sejak ditayangkan Mei lalu, namun kemunculan mereka pada tahun 2015 ini tidak semarak seperti yang pernah dirasai tahun-tahun terdahulu.

Jika dilihat secara kasar, kemunculan bintang-bintang muda dikatakan sedang menggugat kestabilan Aaron. Di layar kaca, nama-nama seperti Ungku Ismail, Zul Ariffin dan Shukri Yahaya sedang marak menjadikan Aaron sedikit terbelakang.

Mengusik Aaron dengan stigma sebegitu, lelaki itu tidak melatah. Tersenyum seraya keningnya terjungkit ke atas, begini jawab Aaron.

“Saya tidak meletakkan kehadiran pelakon baharu itu sebagai pesaing mahupun berasa periuk nasi akan terjejas kerana setiap tahun perkara yang sama pasti akan berlaku.

“Perkara paling penting, kita harus percaya bahawa rezeki Allah itu luas. Sekiranya rajin berusaha dan berserah kepadanya, insya-Allah, pasti akan memperoleh hasil yang baik.

“Dakwaan berkaitan kurang popular kerana tidak muncul di kaca televisyen itu tidak benar kerana pada tahun ini saya lebih memberi fokus sebagai jurucakap produk,” tutur Aaron penuh optimis.


Menurut bintang berusia 39 tahun itu lagi, tumpuan lebih diberikan kepada persiapan untuk melebarkan sayap ke pentas antarabangsa sama seperti apa yang dilakukannya saat meninggalkan Singapura demi memperjuangkan bakat dalam bidang lakonan.

Jika tuah ayam nampak di kaki, tuah pelakon kelahiran Perak, Zara pula terserlah selepas namanya meledak menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant sehingga berjaya meraih sambutan yang di luar jangkaan.


AARON hanya akan bercuti dua hari sebelum Aidilfitri kerana kesibukannya sebagai pelakon.

Menjadi sebutan peminat, detik itu juga meletakkan nama Zara dalam senarai pelakon wanita paling laris diburu media sekitar penghujung tahun 2013.

Impak lakonannya itu membuahkan Zara Zya dan heronya, Azlee Khairi meraih anugerah Pasangan Hero & Heroin Pilihan dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) tahun 2014. Bahkan mereka turut memperoleh trofi Gandingan Serasi di Layar menerusi Anugerah Bintang Popular 2014.

Ironi, wanita berusia 30 tahun itu hanya terkenal selepas 10 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan. Sejak detik itu, Zara mula mengatur langkah demi memastikan momentum popularitinya masih kekal sama.

Tambah wanita berbintang Libra itu, peraturannya mula berubah apabila dia lebih bersikap selektif dalam memilih watak agar tidak membawa karakter yang sama, sekali gus mengelakkan pandangan stereotaip dalam kalangan peminat.

Wujud juga tanggapan bahawa tindakannya itu merupakan punca utama sinar kerjayanya kian malap. Terlalu memilih watak menjadikan nama Zara semakin dilupakan peminat selain kurang membintangi drama.

“Saya berusaha untuk menampilkan kelainan dalam setiap watak yang dibawa. Namun, mungkin ada beberapa karakter yang kurang mendapat perhatian peminat.

“Pemilihan watak itu bukanlah isu utama mengapa populariti saya semakin kurang menyerlah. Paling penting, peminat mengingati watak yang dilakonkan.

“Cukuplah dahulu saya telah menerima terlalu banyak tumpuan daripada media sehingga hampir setiap hari pasti jadual kerja dipenuhi dengan sesi fotografi.

“Setiap insan itu ada rezeki masing-masing. Saya pernah merasainya dahulu dan itu sudah cukup kerana sekurang-kurangnya ada pencapaian yang boleh ditunjukkan kepada anak cucu kelak,” jelasnya.

Zara turut mengulas mengenai perkembangan kerjaya seninya dahulu kurang menyerlah ekoran sering menjadi mangsa tipu helah tidak bertanggungjawab dengan menawar janji manis demi bergelar pelakon.

“Pada saya perkara ini pasti dialami oleh beberapa pelakon wanita. Perbagai janji manis diberikan tetapi semuanya sekadar tipu helah sahaja.

“Namun, hal itu tidak mematahkan semangat untuk bergelar pelakon sekali gus mencipta nama dalam industri hiburan,” kata Zara sambil tersenyum.

Berbicara mengenai bulan Ramadan, dua pelakon popular itu juga tidak kering dengan aktiviti untuk meraih pendapatan tambahan dengan melakukan perniagaan.

Kedua-duanya sibuk mempromosikan produk daripada jenama masing-masing. Mempunyai jenama sendiri, Aaron giat membantu perniagaan tudung milik isteri tercinta, Diyana Halik.

Perkara sama turut dilakukan oleh Zara. Selain menjual produk kecantikan jenama sendiri, Miss Zara, pelakon itu juga bijak mengambil peluang menjual biskut raya hasil air tangannya di laman Instagram.

Fokus berniaga

Melihat kepada laman Instagram milik pelakon drama Hidayahmu Ramadan yang sedang rancak ditayangkan sepanjang bulan puasa ini, Zara rancak mempromosikan biskut raya buatannya kepada peminat.

Zara mengakui, Ramadan tahun ini dia lebih selesa mengurangkan aktiviti penggambaran bagi memberi tumpuan kepada perniagaan biskut raya buatannya iaitu kuih gunting.

Meneruskan perniagaan penjualan makanan yang telah diusahakannya sejak lima tahun lalu, Zara meletakkan perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan serta dijadikan perancangan awal masa depan sekiranya tidak lagi berkecimpung dalam dunia lakonan.


ZARA ZYA sibuk menjual kuih gunting yang dibuatnya sepanjang Ramadan ini.

“Seperti tahun sebelum ini, saya akan memperuntukkan waktu untuk memberi tumpuan kepada penjualan produk makanan yang diusahakan bersama beberapa ahli keluarga lain.

“Berbeza dengan tahun ini, saya sendiri menghasilkan biskut raya bernama kuih gunting. Cara pembuatannya agak sedikit sukar, namun ia berbaloi dan menyeronokkan.

“Saya juga ada terlibat dengan aktiviti bazar yang berlangsung di Dewan Perdana Keramat Mall sejak 18 Jun lalu sehingga 18 Julai depan,” ujarnya.

Filem Hong Kong

Beralih kepada pelakon berbadan sasa itu, Aaron akan menghabiskan masa sekitar dua minggu di Hong Kong bagi menjalani sesi penggambaran filem keduanya dengan produksi di sana.

Pernah membawa watak sebagai ketua gengster menerusi filem pertama bertajuk Female Special Force, Aaron bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai karektor yang dibawa untuk filem kedua.

“Bukan bermaksud untuk berahsia tetapi saya sendiri masih tidak mengetahui watak yang dibawa. Segalanya akan berlaku di sana nanti.

“Sebaik sahaja pulang dari Hong Kong, saya akan sibuk menguruskan proses suntingan filem kedua arahan saya bertajuk Sayu Yang Syukur,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Mengulas mengenai persiapan raya, menjadi kebiasaan seperti tahun sebelumnya, Aaron akan membiarkan perkara itu diuruskan oleh isterinya sendiri.

Baginya persiapan anak-anak amat penting memandangkan kemeriahan menyambut lebaran itu lebih sinonim dengan kanak-kanak. Memakai koleksi daripada pihak penaja, Aaron akan mula bercuti sekitar dua hari sebelum lebaran ekoran jadual kerja yang padat.

Previous Post Next Post