Survival Saiful Apek, Yassin



Apek dan Yassin menyifatkan dunia komedi tanah air tidak seperti zaman dahulu kerana terlalu banyak program realiti hiburan yang banyak diwujudkan pada masa kini.

SUATU ketika dahulu, mereka antara pelawak yang berada di tahap gemilang. Hampir semua cabang seni mereka kuasai. Baik lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan, semua mereka ‘sapu bersih.’ Bakat serba boleh mereka sukar untuk dilihat pada anak seni hari ini. Telatah dua pelawak handalan iaitu, Saiful Apek dan Yassin masih lagi membuatkan peminat tidak kering gusi sehingga ke hari ini.

Walaupun tidak lagi aktif seperti dahulu, dua pelawak bersemangat waja ini masih tekun memeriahkan industri seni dengan lawak-lawak mereka yang masih relevan.

Dihambat usia yang bertambah saban tahun, Apek dan Yassin menyifatkan kewujudan mereka dalam industri masih dihargai meskipun zaman gemilang telah berlalu.

Pernah bergelar ahli kumpulan komedi tersohor iaitu Senario, kedua-dua anak seni ini mengaku tidak berkecil hati apabila ada sesetengah pihak menyifatkan kewujudan mereka dalam industri seni hari ni tidak lagi relevan. Bahkan, mereka bersemangat untuk terus memeriahkan industri seni negara walaupun unsur komedi tidak lagi diketengahkan seperti dahulu.


“Sejujurnya, saya masih berlakon. Cuma, mungkin sekarang tidak aktif seperti dahulu. Lagipun, saya harus akur bahawa penonton zaman sekarang bukan macam penonton dulu.

“Banyak yang telah berubah. Terus terang dikatakan, sekarang jarang dapat tawaran berlakon watak yang memerlukan saya untuk melawak. Kalau dulu saya banyak dapat tawaran berlakon untuk watak komedi, sekarang tawaran berlakon yang datang menjurus kepada serius.

“Saya juga semakin lama semakin tua. Dahulu susah mahu dapat watak serius sebab watak komedi sudah sebati dengan saya,” ujar Apek yang kini berusia 45 tahun.

Sementara itu, Yassin pula berpendapat rezekinya dalam industri seni tempatan masih ada walaupun dia kadangkala mengeluh kerana ia tidak seperti dahulu.

“Saya tidak boleh salahkan sesiapa. Ini semua asam garam hidup. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Apa yang boleh kita lakukan hanyalah teruskan hidup walaupun sukar.

“Berbeza saya dengan Apek, saya masih lagi tidak boleh lari daripada watak komedi. Saya juga teringin berlakon watak serius tapi mungkin belum tiba masanya. Lagipun, orang tengok muka saya sudah tergelak,” ujar Yassin atau nama penuhnya, Yassin Yahya.

Mengimbas kembali perjalanan kedua pelawak terkemuka negara ini, Saiful Apek pernah berada di puncak apabila beliau dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 2003. Yassin pula sepanjang kariernya sebagai pelakon dan pelawak, pernah dicalonkan sebanyak lima kali untuk kategori Artis Komedi Lelaki Popular pada majlis anugerah yang sama.

Berbicara soal industri komedi tanah air yang semakin meriah dengan barisan pelawak muda, Apek dan Yassin melahirkan rasa gembira dengan senario tersebut yang disifatkan sebagai sesuatu yang positif untuk perkembangan seni lawak.

“Saya suka tengok pelapis baharu memeriahkan industri seni dengan seni komedi masing-masing. Zaman saya dahulu tiada program seperti Maharaja Lawak, Bintang Mencari Bintang dan sebagainya. Pelawak zaman sekarang beruntung kerana mereka sudah ada platform yang kukuh untuk tonjolkan kepada umum.

“Bagaimanapun, saya bangga dengan kumpulan Senario kerana sepanjang kami berkecimpung dalam dunia seni dahulu, pelbagai perkara kami lakukan. Bukan hanya melawak, kami juga merupakan pelakon, penyanyi dan pengacara.

“Kami berjaya hasilkan tujuh buah album studio dan lagu-lagu Senario menjadi siulan ramai orang tidak kira bangsa dan warna kulit. Setiap seorang daripada kami mampu berdiri sendiri sebagai artis solo. Itu adalah pencapaian yang saya rasa masih lagi tidak mampu dicapai oleh mana-mana pelawak zaman sekarang,” ujar Apek dalam nada serius.

Dalam pada itu, Yassin turut menumpang gembira dengan pencapaian pelawak-pelawak yang ada di dalam industri hari ini. Namun begitu, dia tetap berbangga dengan pencapaian pelawak-pelawak terdahulu terutama ketika zamannya bersama Senario.

“Mereka (pelawak zaman sekarang) semua bagus. Bahkan, beruntung kerana semua benda sekarang bergerak pantas. Hari ini, kalau seseorang mahu jadi pelawak, rakam video lawak, muat naik ke laman sosial.

“Bagaimanapun adakah mereka akan melekat di hati peminat seperti Senario? Perkara yang mengambil jalan ringkas ini senang sahaja untuk turun. Oleh itu, mereka (pelawak) perlu belajar erti kesusahan dengan bermula dari bawah,” ujar Yassin bersemangat.

Previous Post Next Post