Syawal Belajar Bahasa Isyarat Demi Fiqa


Syawal memberitahu isterinya, Fiqa yang mengajarnya bahasa isyarat bagi memudahkan mereka berkomunikasi.

Juara program Pelamin Fantasia musim pertama iaitu Syawal memberitahu mengambil masa beberapa bulan bagi mempelajari bahasa isyarat daripada isterinya, Fiqa yang juga seorang gadis istimewa dengan masalah pendengaran bagi memudahkan mereka berkomunikasi.

Syawal atau nama sebenarnya Syawaluddin Ghazali, 26, berkata, biarpun pada awalnya agak sukar tetapi dia tidak mengambil perkara itu sebagai halangan dalam perhubungan mereka malah mengagumi kesabaran wanita berkenaan dalam mengajarnya.

"Awal perkenalan, kami banyak menggunakan telefon untuk berkomunikasi menerusi mesej kerana saya belum mahir dalam menggunakan bahasa isyarat.

"Dia yang mengajar saya pergerakan dalam bahasa isyarat dan Alhamdulillah saya kini semakin mahir dan paling penting memudahkan kami berkomunikasi," katanya kepada mStar Online.



Sama cantik, sama padan.

Fiqa atau nama sebenanrya Norafiqah Ma Hassan, 24, dan Syawal selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis gilang gemilang yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini pada malam Sabtu lalu.

Pasangan tersebut turut diraikan dalam sebuah majlis gilang gemilang bernilai RM100,000 sumbangan Astro sebagai ganjaran kemenangan menerusi program Pelamin Fantasia.

Pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim turut bertindak sebagai perunding acara selain mereka busana kedua-dua mempelai pada malam itu.

Berkongsi lanjut mengenai kisah perkenalan mereka berdua, Syawal berkata, dia tidak pernah melihat kekurangan yang ada pada isterinya sebaliknya memberitahu Fiqa adalah wanita paling berdikari yang pernah dia temui.


Pasangan berkenaan sah bergelar suami-isteri dengan hanya sekali lafaz.

Kata Syawal, wanita berkenaan melengkapi kehidupannya sebagai seorang lelaki dan bersyukur mereka berdua akhirnya disatukan sebagai suami-isteri.

"Kekurangan yang ada padanya adalah kesempurnaan di mata saya. Fiqa adalah wanita paling berdikari yang pernah saya temui.

"Saya sebenarnya beruntung dapat bertemu dengannya dan Alhamdulillah jodoh kami akhirnya sampai ke jinjang pelamin," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai majlis perkahwinan tersebut, Syawal berkata, apa yang dilakukan oleh pihak Astro adalah melebihi daripada bayangan impian perkahwinan mereka berdua sebelum ini.


Busana pasangan mempelai mendapat sentuhan daripada pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim.

"Saya tiada kata untuk menggambarkan perasaan dalam hati saya tetapi majlis ini lebih daripada impian kami berdua," katanya.

Selain hadiah pakej perkahwinan bernilai RM100,000, pasangan berkenaan turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, pakej percutian ke Xian, China dan seutas gelang tangan.

Dalam perkembangan sama, Syawal berkata, dia tidak menyangka akan bergelar juara Pelamin Fantasia kerana tujuan asal mereka menyertai program berkenaan adalah untuk mengetengahkan kisah percintaan bersama Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Saya mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa cinta itu tiada sempadan dan biarpun seseorang itu mempunyai kekurangan namun mereka masih boleh mengecap bahagia.


Fiqa dan Syawal bakal berbulan madu di Xian, China.

"Bagaimanapun Alhamdulillah dan syukur kemenangan menjadi milik kami dan berharap kisah kami dapat memberi inspirasi kepada orang lain," ujarnya.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Humood Alkhudher, Ewal, Indah, Sabhi Sadhi, Akim & The Majistret, Alyah, Jaclyn Victor, Rabbani, Haziq, Farhan dan Keroncong Band.

Majlis pernikahan itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro (104) dan Mustika HD (135) pada pukul 9 malam.

Ia dihoskan oleh Faizal Ismail dan Raja Azura.

Previous Post Next Post