Taruhan kedua #tag



BAGI pelayar tegar laman perkongsian video, Youtube, pastinya mengenali dua susuk remaja ini yang banyak menghasilkan karya-karya lagu di laman berkenaan.

Sebelum dilamar syarikat rakaman gergasi, KRU Studios, Hez Hazmi dan Akira, bergerak sendiri dalam seni nyanyian menggunakan platform Youtube.

Mula diikat KRU pada penghujung 2013 dan disatukan dengan nama duo, #tag, mereka tampil dengan single pertama, My Crush.

Walaupun single itu diperkenalkan tanpa klip video, namun #tag berjaya menarik lebih daripada setengah juta tontonan.

Melihat kepada sokongan yang diberikan oleh pelayar laman berkenaan, mereka makin optimis dan memperkenalkan taruhan kedua, Hey Kamu.

Mula dimuat naik pada penghujung Mac, klip video single berkenaan mencatat tontonan lebih dari 240,000. Malah, menerusi akaun peribadi Hez, lagu asal ciptaannya itu ditonton lebih setengah juta.

Tidak pernah menyangka akan menerima sambutan seumpama itu, Hez atau nama sebenarnya, Muhammad Hazmi Nadzim Hamdan, 23, mengharapkan agar sokongan yang diberikan itu akan terus meningkat.


“Sebenarnya, Hey Kamu adalah kisah benar yang berlaku kepada diri saya ketika berada di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis. Saya terserempak dengan seorang gadis cantik berbaju ungu.

“Namun, pertemuan itu hanya sekali dan selepas itu, saya tidak lagi berjumpa dengannya. Saya pun tidak tahu adakah dia pelajar di situ ataupun tidak.

“Dia sangat cantik dan mencuri hati saya pada pandangan pertama. Oleh kerana saya tidak tahu siapakah gerangan gadis itu, saya hanya bayangkannya menerusi lagu ini,” katanya lagi.

Bercerita mengenai genre lagu, Hez memberitahu bahawa single ini lebih kepada genre ‘pop catchy’ dan sesuai untuk generasi muda.

“Saya cipta lagu ini sepenuhnya. Namun, setelah dibentangkan kepada sifu, Edry Abdul Halim, ada beberapa bahagian termasuk lirik dan muzik yang diubah mengikut kesesuaian.

“Saya juga turut mendapatkan pandangan dan idea daripada Akira untuk memantapkan lagi melodi lagu ini,” katanya yang juga pemegang Diploma Sains.

Kebebasan berkarya

Bergelar artis naungan KRU yang memiliki empayar muzik terkenal, ia merupakan bonus buat duo ini untuk terus mengembangkan bakat mereka.

Menurut pemilik nama sebenar, Ahmad Shukri Zakaria, 23, ini, mereka begitu bertuah kerana dapat bekerjasama dengan syarikat rakaman berkenaan.

“Untuk #tag, kami diberi peluang untuk mencari bahan dan mencipta karya sendiri. Abang Edry memberikan kebebasan berkarya kepada kami,” katanya.

Meskipun sebelum ini mereka bergerak secara solo, namun Hez dan Akira adalah teman rapat dan persahabatan itu dibina sejak dibangku sekolah lagi.

Tambah Akira, untuk bergandingan dengan Hez bukanlah satu masalah baginya kerana mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Previous Post Next Post