Transformasi Amelina



TUJUH bulan kembali bernafas dalam dunia seni selepas 15 tahun menyepi, ratu dangdut, Amelina kini semakin banyak berubah kepada wanita yang lebih berkeyakinan. Jika dahulu, wanita berusia 41 tahun itu kekok berhadapan media dan malu apabila jurugambar merakam gambarnya, hari ini dia cukup berbeza.

Bertemu dengannya pada majlis pelancaran lagu terbaharu berjudul Cinta Harus Seksi di Wake The Baby Records, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, umpama bertemu dengan orang baharu. Pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin itu dilihat tanpa segan meluahkan pendapatnya pada sesi sidang akhbar, malah sudah bijak bergaya di hadapan jurugambar tanpa perasaan malu.

Akui ibu kepada enam orang anak itu, dirinya telah banyak berubah ke arah yang lebih positif sepanjang tujuh bulan kembali aktif dalam bidang nyanyian.

“Diakui pada awal kemunculan semula dalam bidang nyanyian saya agak hilang arah dan takut. Selain itu, saya juga tidak mempunyai keyakinan dan cukup malu untuk berhadapan dengan orang sekeliling. Senang cakap, saya sentiasa pandang rendah kebolehan diri sendiri.

“Namun, dengan sokongan pihak pengurusan dan rakan-rakan lama dalam industri seni, lama-kelamaan saya sudah semakin selesa dengan pekerjaan sebagai penyanyi,” ujarnya.

Disoal apakah yang membuatkan dia hilang keyakinan diri sedangkan suatu ketika dahulu dia merupakan ratu dangdut paling terkenal di Malaysia. Jawabnya, selama 15 tahun menyepi daripada industri seni, tidak pernah sekali pun dia terfikir untuk kembali menyanyi.

Justeru, segala memori tentang dunia hiburan telah dibuang jauh. Apabila dia membuat keputusan untuk kembali menyanyi, wanita berasal dari Labu, Negeri Sembilan itu terpaksa bertatih dari bawah semula kerana dunia hiburan hari ini tidak sama dengan zaman kegemilangannya dahulu.

“Sebelum ini saya takut dengan penerimaan orang ramai seperti sudah tua sibuk hendak menyanyi semula (ketawa), sudahlah ada enam anak, lebih baik duduk di rumah. Memang sangkaan itu benar, bukan semua orang suka dengan keputusan untuk saya kembali aktif sebagai penyanyi. Saya juga sedar ramai yang menyindir dan mempersoalkan keputusan tersebut.

“Bagaimanapun niat saya hanya satu, mencari rezeki yang halal untuk keluarga serta membesarkan anak-anak. Tiada niat langsung hendak kembali popular ataupun sibuk muncul sebagai muka depan majalah atau akhbar. Jika waktu muda, memanglah saya seronok dengan semua layanan serta perhatian yang diberi tetapi zaman itu sudah berlalu,” tuturnya tanpa selindung.

Tegasnya, peminat merupakan orang yang bertanggungjawab membuat dia kekal positif meskipun banyak pihak yang mempersoalkan kemampuannya untuk menyanyi.

“Ada orang tanya, mampu ke Amelina menyanyi lagi? Persoalan itu pada mulanya cukup menakutkan kerana saya sendiri tidak yakin dengan kemampuan diri. Saya juga mempersoalkan perkara itu terhadap diri sendiri.

“Bagaimanapun, saya kekal positif dan mengambil semua kata-kata negatif itu sebagai cabaran. Saya harus buktikan kepada mereka yang Amelina boleh menyanyi seperti dahulu,” ujarnya.


Obses Instagram

Sambung Amelina, dia amat bersyukur apabila membuat keputusan untuk kembali aktif dalam bidang seni, banyak pihak menghulurkan bantuan tanpa dipinta. Kebanyakan mereka merupakan peminat setianya yang ingin melihat dia berjaya seperti dahulu.


MESKIPUN kemampuan nyanyiannya dipertikaikan oleh sesetengah pihak, Amelina menerimanya sebagai cabaran untuk terus mara dalam bidang seni.

Kata Amelina, dia tidak perlu runsing memikirkan busana yang perlu dipakai atau solekan, semuanya disediakan oleh peminat.

“Sebenarnya, saya juga agak terkejut dengan kerjasama yang diberikan oleh peminat. Barangkali ketika popular peminat saya masih kecil, sekarang semuanya sudah bekerjaya dan ada antara mereka merupakan pemilik butik, pereka fesyen dan jurusolek.

“Mereka mahu saya sentiasa kelihatan cantik. Jadi, saya tidak ada sebarang masalah untuk mencari pakaian atau solekan. Peminat selalu memberi komen ikhlas apa yang cantik dan tidak di mata mereka,” kata Amelina yang kelihatan anggun dalam busana rekaan Jimmy Couture.

Sejak kembali menyanyi, Amelina membuka akaun Instagram menggunakan nama amelinaofficial dan sehingga kini telah mempunyai seramai 47,000 orang pengikut.

Jelas Amelina, pada zaman kegemilangannya, laman sosial tidak wujud, sebaliknya peminat hanya mengutuskan surat untuk berhubung dengannya.

“Mula-mula saya mengaku terkena kejutan budaya. Maklumlah, zaman dahulu mana ada laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook.

“Semuanya pakai surat sahaja, itu pun mengambil masa berhari-hari untuk sampai. Sekarang, semuanya di hujung jari dan saya boleh memuat naik semua aktiviti di Instagram.

“Saya mengaku agak obses dengan Instagram pada peringkat awal sehingga sebelum tidur pun masih rajin melayan peminat di laman sosial tersebut. Apa salahnya untuk meluangkan sedikit masa dengan peminat kerana mereka yang menyokong kerjaya saya selama ini. Tanpa peminat rasanya Amelina tidak akan wujud,” tuturnya.

Debaran Cinta Harus Seksi

Menyentuh tentang lagu terbaharunya yang berjudul Cinta Harus Seksi ciptaan komposer Ajai dan penulis lirik Roslen, Amelina memberitahu, dia menitiskan air mata kerana terharu apabila selesai menjalani rakaman lagu tersebut.

Ulasnya, disebabkan lagu tersebut agak jauh berbeza daripada dangdut yang sering didendangkan, Amelina bimbang dia tidak mampu membawakan lagu baharu itu dengan baik. Bukan itu sahaja, dia juga berdebar memikirkan penerimaan peminat terhadap lagu Cinta Harus Seksi yang mengusung genre World Music.

“Zaman dahulu penerbit lagu juga merupakan penyanyi dangdut, jadi saya tidak ada sebarang masalah untuk merakam lagu baharu. Sekarang situasinya agak berbeza kerana Ajai merupakan penyanyi pop. Lagu ciptaannya terlalu berbeza dengan dangdut yang saya bawakan selama ini.


AMELINA mengakui berdebar menanti penerimaan peminat terhadap lagu baharunya Cinta Harus Seksi.

“Pada mulanya saya mahu menangis kerana menyangka harus menyanyikan lagu pop. Selepas diberitahu saya masih boleh menyanyi mengikut gaya sendiri, barulah saya lega. Lagu ini agak istimewa, walaupun bergenre World Music tetapi gaya nyanyian saya masih kekal dengan dangdut,” terangnya.

Bercakap tentang penerimaan peminat, Amelina mengakui dia agak bimbang lagu baharunya sukar diterima memandangkan lagu-lagu lamanya begitu popular sehingga ke hari ini.

“Ini masalah yang saya hadapi ketika muncul dengan album pertama dahulu. Waktu itu saya sudah popular dengan lagu Rindu. Jadi, saya dilanda kebimbangan kerana harapan peminat terlalu tinggi untuk album kedua. Alhamdulillah, album kedua saya diterima apabila lagu Asyik popular di corong radio.

“Begitu juga situasinya hari ini. Saya mempunyai barisan lagu popular yang sukar ditandingi oleh lagu baharu. Namun, ingin saya tegaskan, dengarkan dahulu lagu Cinta Harus Seksi kerana anda boleh bergoyang walaupun bukan seorang peminat dangdut,” kata Amelina.

Sementara itu menurut Ajai, dia memperoleh ilham untuk mencipta lagu Cinta Harus Seksi hanya dalam masa 15 minit sahaja. Akuinya, sebelum itu terdapat tiga lagu lain yang telah berada dalam koleksinya untuk diberikan kepada Amelina.

“Sebenarnya terdapat tiga buah lagu tetapi saya agak tertekan untuk mencari lagu baharu buat ratu dangdut. Saya bimbang lagu yang diciptakan tidak dapat menandingi populariti lagu lamanya yang sudah cukup mesra di telinga peminat.

“Jadi, saya mencipta satu formula dengan mengekalkan dangdut Amelina pada suaranya sahaja, manakala muziknya diubah lebih moden supaya relevan dengan muzik hari ini,” ujar Ajai.

Lagu Cinta Harus Seksi yang merupakan single pertama Amelina daripada album terbaharunya akan mula berkumandang di corong radio selepas bulan Ramadan. Dalam pada itu, album terbaharunya yang memuatkan lima buah lagu akan berada di pasaran sekitar penghujung tahun ini.

Previous Post Next Post