Tuah Ungku Ismail



TUAH nampaknya sentiasa menyebelahi pelakon kacak tinggi lampai bernama Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz ini.

Bukan sahaja meniti populariti hasil lakonan mantap dalam drama Teman Lelaki Upahan di TV3 sedikit masa lalu, malah beliau dipilih sebagai ikon kempen kesedaran kanser hasil cetusan sendiri yang kemudiannya disunting oleh TV3 dengan hastag popular #travellingberuang.

Travelling Beruang merupakan telefilem terbaharu beliau yang mengisahkan tentang seorang bapa yang kematian anak kerana penyakit kanser. Bertitik tolak dari kajian terhadap wataknya itulah, Ungku Ismail mendapat idea untuk mempopularkan hastag #travellingberuang sekali gus memulakan kempen kesedaran kepada orang ramai.

Terkini, jejaka berusia 30 tahun ini dilantik sebagai penampilan istimewa Aidilfitri bagi program amal Tabung Sesuci Lebaran oleh Zeeta Team (Magis Aura Serum Mawar).


“Alhamdulillah. Rezeki. Untuk program Tabung Sesuci Lebaran ini saya dipilih menghiasi kad raya istimewa oleh produk Zeeta.

“Menerusi penjualan kad raya dan produk Zeeta sebanyak RM1 daripadanya akan diperuntukkan ke dalam Tabung Sesuci Lebaran Zeeta di mana ia akan disumbangkan ke badan-badan amal yang memerlukan serta rumah anak yatim,” katanya dalam satu sidang media bersama Zass di Snappix Studio, Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, pengasas dan juga pengarah urusan Richnine Resources, Zaiti Nordin berkata, Ungku Ismail dilantik sebagai penampilan khas kad raya Zeeta berdasarkan karakter dan usaha kuat pelakon ini yang turut dikenali sebagai aktor aktivis yang terlibat melakukan kempen amal yang lain.

“Umum tahu, malah peminat Ungku Ismail juga tahu bahawa artis kesayangan mereka seorang aktivis amal yang aktif. Jadi, Zeeta merasakan Ungku Ismail layak sebagai wajah khas dalam kad raya lebaran kami,"katanya.

Selain bersama Zaiti, Ungku Ismail turut bergandingan dengan duta Mawar Zeeta, Nida Hashim, Ikon Mawar serta Team Mawarista.

Previous Post Next Post