Zul Handy Black cerewet?



SEKITAR 1990-an, Zul Handy Black pernah mencipta populariti hebat menerusi lagu Kau Yang Bernama Seri yang turut melonjakkan nama kumpulannya itu.

Namun, sejak meninggalkan Handy Black pada 2005, tumpuan Zul Suphian kini lebih terarah dalam industri lakonan menyebabkan bintang filem Mantra dilihat semakin menyepi dalam bidang nyanyian.

"Sebenarnya, sehingga ke hari ini tawaran menyanyi itu sentiasa ada terutamanya untuk majlis makan malam atau syarikat korporat.

"Saya mungkin kelihatan sepi kerana agak jarang muncul di kaca TV atau mana-mana program hiburan," katanya ketika ditemui Zass, baru-baru ini.

Mengakui belum bersedia untuk menyanyi semula, Zul atau nama sebenarnya Nurzul Suphiaan Saban bagaimanapun mengakui rindu untuk kembali merakam lagu.


"Niat itu memang ada, tapi masanya masih belum tiba lagi apatah lagi dengan keadaan industri muzik kini.

"Susah nak cari lagu yang benar-benar setanding atau lebih hebat dari Kau Yang Bernama Seri sementelah lagu itu sudah pun boleh digelar sebagai 'evergreen' kerana mampu bertapak sehingga lebih 10 tahun.

"Saya pula bukanlah jenis yang terdesak, saya tak nak membikin lagu hanya untuk tangkap muat," katanya.

Sehingga ke hari ini, pelakon filem Santau ini mengakui masih lagi menunggu magis daripada mana-mana komposer.

"Jika nak buat 'comeback', sudah tentu saya mahukan sebuah lagu yang benar-benar kuat. Saya tak mahu sembarangan lagu.

"Lagipun magis lagu Kau Yang Bernama Seri sangat kuat dan kalau boleh saya mahukan lagu yang punya unsur-unsur sebegitu.

"Buat masa ini, bersabar dulu sementara menantikan masa yang akan tiba nanti," katanya yang kini semakin berjinak-jinak dalam dunia pementasan teater.

Previous Post Next Post