2015 tahun rezeki Kaka Azraff


KAKA sukakan aktiviti paranormal, namun pada masa sama mengakui penakut.

TAHUN ini umpama tahun rezeki buat penyanyi versatil, Kaka Azraff apabila namanya semakin mekar mewangi.

Sementelahan pula, single terbaharunya berjudul Bukan Hal Aku semakin mendapat tempat dalam kalangan hati peminat.

Itu bukan alasan buat pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 26, tergesa-gesa merakamkan album sulung biarpun telah memiliki lima single setakat ini termasuk Infiniti Cinta, Bawa Aku Pergi, Perjalanan dan Terpulanglah.

“Bagi saya, album merupakan pasport buat seorang artis, jadi enggan tergesa-gesa berhubung perkara itu. Buat masa ini, segala-galanya masih dalam perancangan, Insya-Allah, album berkenaan akan diterbitkan seawal-awalnya pada tahun depan.

“Ada dua tiga lagu baharu dalam album nanti, selebihnya single tersedia ada,” katanya kepada Sensasi Bintang.



KAKA enggan tergesa-gesa merakamkan album sulung kerana menganggapnya sebagai pasport seorang artis.

Mengulas lanjut, Kaka juga gembira dengan sambutan positif peminat terhadap lagu Bukan Hal Aku setakat ini.

“Alhamdulillah dalam tempoh dua bulan, ia sudah ditonton lebih 1.6 juta kali di YouTube.

“Saya juga dalam perancangan pemilihan single terbaharu, Insya-Allah, akan memulakan proses rakaman selepas Syawal ini,” ceritanya lagi.

Getus Kaka, nyanyian masih menjadi keutamaannya biarpun telah mula berjinak-jinak sebagai pelakon.

“Sudah tentu nyanyian masih menjadi keutamaan melebihi lakonan. Bukan apa, lakonan masih di peringkat percubaan. Tambahan pula, Malaysia memiliki ramai yang berbakat besar, jadi ia sesuatu yang cukup mencabar serta memerlukan kelainan untuk setanding dengan penyanyi lain yang berbakat,” ujarnya.

Kaka memberitahu, dia juga tidak memiliki sebarang masalah untuk menentukan pasangan duet dalam mana-mana lagu baharu selepas ini.

“Sejak dahulu, saya tidak mencari pasangan duet, majoritinya juga tidak dirancang. Soal pemilihan lagu, ia memang agak mencabar memandangkan genre pop R&B agak asing di Malaysia. Jadi, mendengar sesuatu yang baharu memang memerlukan masa,” jelasnya.


KAKA menyambut Aidilfitri di kampung ibunya di Alor Setar, Kedah pada tahun ini.

Tatkala berbicara mengenai lakonan, Kaka menjelaskan drama Dunia Generasi Baru bergandingan bersama Fadlan Hazim masih bersiaran di saluran TV9.

“Selain itu, saya juga sedang menjalani penggambaran drama Plan Cinta Tak Jadi bersama Ramona Zamzam, Arja Lee, Fathia Latiff dan Fattah Amin yang bakal bersiaran di Astro Ria tidak lama lagi,” ungkapnya.

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, dia cuma sempat beraya di kampung ibunya di Alor Setar, Kedah selama beberapa hari saja memandangkan sudah kembali bekerja pada hari raya keempat.

“Persiapan juga sederhana, baju raya pun sepasang saja. Saya memang tidak berbelanja sakan setiap kali menyambut Aidilfitri sejak dahulu.

“Soal rumah terbuka memang teringin, cuma belum bersedia untuk menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri. Risau juga ada yang terkurang nanti,” ujarnya.

Kaka juga tidak dapat melupakan kenangan pahit ketika menyambut Aidifitri ketika zaman kanak-kanak.

“Seingat saya, ia berlaku ketika saya berusia lima tahun. Ketika itu, saya tersungkur sehingga dagu berbalut kerana takutkan mercun. Disebabkan itu, saya enggan bergambar bersama keluarga di pagi raya,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post