Adira Putus tunang bukan penamat hidup



TEKA - teki keretakan hubungan penyanyi, Adira dan tunangnya, Shahrul Nasrun Kamarudin akhirnya terjawab apabila pelantun lagu Dewi Cinta itu mengakui telah putus tunang sejak hujung April lalu.

Enggan lagi berpaling ke belakang, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi kini bangkit meneruskan perjalanan hidupnya.

"Alhamdulillah, saya kini sudah pun meneruskan hidup. Saya anggapnya (putus tunang) sebagai tiada jodoh. Perpisahan ini adalah ketentuan Ilahi dan tiada siapa mampu menghalangnya.

"Inilah ujian dari-Nya dan ketentuan yang perlu saya terima," katanya kepada Zass ketika ditemui di Majlis Sidang Media & Tayangan Eksklusif Program Raya Astro 2015, semalam.

Tidak serik untuk kembali bercinta, naib juara Akademi Fantasia musim ke-8 ini bagaimanapun mengakui kini lebih berfokus kepada soal karier dan keluarga.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi, itu tak bermakna saya tak mahu bercinta lagi. Saya pun tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

"Biarlah masa yang akan menentukan segalanya. Saya juga tak menolak dengan sesiapa pun jodoh saya.

"Sekarang ini, biarlah saya memberi tumpuan kepada karier dan keluarga terlebih dulu," katanya.

Tidak musuhi Elizabeth Tan

Meskipun sudah kembali solo, namun masih ada 'cakap-cakap belakang' yang mengaitkan punca sebenar perpisahannya dengan Presiden Belia Gagasan 1Malaysia itu.

"Kenapa ia berlaku? Biarlah ia kekal menjadi rahsia di antara kami berdua. Bukan tiada persefahaman, tetapi saya lebih senang menganggapnya sebagai tiada jodoh.

"Malah, kami putus tunang atas persetujuan bersama dan hubungan kami juga masih baik sehingga kini," katanya.


Lebih memburukkan lagi, timbul pula khabar angin yang mendakwa punca keretakan hubungan yang terjalin selama dua tahun itu disebabkan oleh kehadiran orang ketiga iaitu penyanyi Elizabeth Tan.

"Kalau diikutkan, saya memang tidak akan membuka mulut mengenai apa yang telah berlaku. Bahkan, sebenarnya, saya sudah malas untuk ambil tahu mengenai masalah ini semua.

"Apa yang saya tahu, saya sudah tiada apa-apa lagi dengannya. Saya juga ingin tegaskan, dia (Elizabeth Tan) tiada kaitan dalam hal ini. Terus terang, saya ada menghubungi dan berborak dengannya agar dia tidak rasa dirinya bersalah.

"Jangan kaitkan lagi dengan orang lain. Biarlah apa yang berlaku ini menjadi pengajaran buat saya dan Shahrul," tegasnya.

Ketika ditanya adakah pelantun lagu Hilang itu ada menyara bekas tunangnya sehingga membawa kepada perpisahan ini, Adira bagaimanapun segera menafikannya.

"Eh, tak adalah. Tak wujud masalah seperti itu. Biasalah, apabila bergelar tunangan, saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Tapi, tak wujud langsung mengenai saya yang menyaranya," katanya.

Bimbang keluarga di Sabah

Sementara itu, Adira sempat meluahkan rasa bimbangnya terhadap keluarganya di Kundasang berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah sejak 7 Jun lalu.

"Sehingga hari ini, masih lagi ada beberapa gegaran kecil yang berlaku di sana. Saya sempat pulang ke sana menjenguk keluarga, rumah saya juga memang terasa gegarannya," katanya.

Lebih merisaukan, semua ahli keluarganya terutama ibunya, Rujinah Sarungin enggan mengikut Adira berpindah ke Kuala Lumpur biarpun telah dipujuk berkali-kali.

"Saya ada ajak mereka ke Kuala Lumpur, tapi mereka tak mahu. Susah nak pujuk ibu tinggalkan rumah. Paling lama mereka boleh tinggal di Kuala Lumpur selama dua minggu.

"Lepas itu, ibu sudah mahu pulang siap beli tiket kapal terbang sendiri lagi. Tambahan pula, ibu anak sulung dan dia berkeras tak mahu tinggalkan adik-beradik dia yang lain di kampung.

"Ibu ada beritahu, tak payah risau. Insya-ALLAH, semuanya akan baik-baik saja dan keadaan akan kembali pulih," katanya.

Akibat susulan gegaran, rumah keluarganya juga mengalami kerosakan dan keretakan pada dinding dan lantai.

Sehubungan itu, penyanyi berusia 24 tahun ini memberitahu sambutan lebarannya kali ini hanya akan dirai secara sederhana.

"Apa yang penting, ibu masih kuat semangat untuk memasak pelbagai juadah untuk dijamu kepada peminat. Saya memang tak buat rumah terbuka tetapi rumah saya sentiasa terbuka untuk tetamu dan peminat.

"Macam tahun-tahun sebelumnya, ramai juga peminat yang datang termasuk daripada Sarawak, Brunei dan Singapura," katanya yang akan pulang beberapa hari sebelum menjelang Syawal.

Dalam perkembangan lain, Adira kini sedang giat mempromosikan single terbaharunya, Cinta Teragung Dunia duet bersama Edry KRU.

Previous Post Next Post