Awi Rafael tak suka makan ketupat


Awi Rafael sempat bergambar bersama peminat.

KETUPAT adalah antara menu wajib dihidang pada Hari Raya Aidilfitri, namun, berbeza dengan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael yang tetap mencari nasi putih di pagi raya.

"Awi pelik sedikit, Awi tak suka ketupat. Jadi, ibu Awi pada setiap hari raya akan masakkan nasi putih untuk Awi. Awi lagi suka makan nasi.

"Makan ketupat rasa tak kenyang. Awi tak tahu kenapa. Menu kegemaran Awi ayam masak merah masakan ibu. Kalau ada ayam masak merah makan dengan nasi baru ‘kick’," katanya kepada Sinar Online.

Berkongsi cerita rayanya, Awi yang kini menetap di Kuala Lumpur memanfaatkan hari perayaan ini untuk meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakannya di Singapura.

"Awi balik Singapura dua sebelum hari raya dan Awi akan berada seminggu di sana sebelum balik semula ke KL. Seminggu itu Awi akan manfaatkan untuk bertemu kawan-kawan sebab Awi memang jarang sangat jumpa mereka memandangkan Awi kini memang tinggal di Kuala Lumpur.

"Jadi, Awi akan bahagikan masa itu supaya dapat bertemu dengan rakan-rakan, keluarga yang di sana," katanya.


Bercerita tentang keunikan sambutan perayaan di Singapura, penyanyi lagu Kalau Aku Kaya ini berkata, warna pakaian yang lebih terang lebih menjadi pilihan mereka di sana.

"Sambutan raya sudah tentu berbeza kerana Malaysia negara Islam. Jadi, perasaan itu lain kerana ramai orang-orang Melayu di sini. Bilangan kami di sana lebih kecil tapi kami warna warni.

"Lagi merah atau lagi terang warnanya lebih bagus. Macam di sini, ada kampung, main mercun...di sana tidak ada. Awi kalau beraya di sini, Awi ke kampung kawan-kawan Awi, main mercun. Jadi budak jakun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Awi memberitahu bercadang untuk membawa ibunya tinggal di Kuala Lumpur, tahun depan.

"Insya-ALLAH tak lama lagi Awi akan pindahkan ibu Awi ke sini (Kuala Lumpur). Mungkin tahun depan. Insya-ALLAH.

"Memandangkan kakak Awi pun sudah berkahwin jadi, Awi pula nak jaga ibu Awi. Awi pun bujang, tinggal sendiri, jadi, kalau ada ibu lebih elok," katanya yang bakal muncul dalam telemovie raya berjudul, Member Superstar Balik Raya.

Di sebalik kesibukannya menyiapkan lagu untuk artis lain, Awi turut kembali dengan single terbaharu yang berduet dengan Ayai Ilusi menerusi lagu ciptaannya, Manusia Sempurna.

Previous Post Next Post