Bukan Zizan Razak yang dulu



BIARPUN sejak akhir-akhir ini namanya sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, pelawak popular, Zizan Razak dilihat tenang menghadapi situasi sukar itu.

Tidak cepat melatah, Zizan yakin segala yang berlaku pasti terselit hikmah yang memberi seribu satu kebaikan buat dirinya.

“Apa pun yang berlaku, kerja dan usaha keras tetap diteruskan. Saya reda dengan apa yang berlaku dan semuanya adalah ketentuan Tuhan.

“Kalau kita tetap dengan pemikiran yang positif, Insya-ALLAH, akan ada jalan, rezeki dan ruang,” luahnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, apa yang berlaku telah mengajar dirinya supaya lebih berhati-hati dalam mempercayai orang lain.

“Saya belajar banyak perkara di mana ada orang yang boleh dipercayai dan begitu juga sebaliknya.

“Kita pun kena kuat, tabah dan sabar. Tak semua orang berniat baik dan tidak semua yang kita sangka berniat buruk itu tidak baik.

“Saya tidak terkilan, yang penting saya tidak buat orang, biar orang buat kita,” jelasnya.


Lebih berahsia

Jika dulu Zizan agak terbuka berbicara mengenai kisah peribadinya, terutama kisah percintaannya bersama Emma Maembong, namun kini jejaka kelahiran Terengganu ini lebih selesa untuk berahsia.

Malah kisahnya yang dikatakan bakal berkahwin dengan gadis sekampungnya itu juga senyap begitu sahaja. Malah dia tetap dengan pendiriannya yang tidak mahu lagi berkongsi kisah peribadi.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Zizan mengakui dirinya lebih senang memaafkan sesiapa yang berkaitan dengan perkara yang berlaku.

“Apa yang membuatkan saya terus kuat menempuhi dugaan ini adalah kerana kedua-dua ibu bapa saya.

“Setiap hari saya sentiasa memaafkan semua orang yang berniat tidak baik, bukan pada hari raya sahaja,” katanya.

Masih aktif menerima tawaran seni, Zizan bakal muncul dengan filem terbaharunya, Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar yang bakal menemui penonton di pawagam pada September ini.

Previous Post Next Post