Cat Farish perjuang irama hip hop tanpa henti


TIGA Swagger dianggotai (dari kiri) Rangga, Syifa, Cat, Beeru dan Eddie.

SEORANG pejuang tegar genre hip hop, pemilik nama Farrish Zaquan Ramli atau lebih dikenali dengan panggilan Cat Farish tidak sesekali patah semangat memartabatkan muzik tersebut biarpun usianya kini hampir mencecah 41 tahun.

Pernah mencetuskan fenomena bersama kumpulan Ruffedge, Cat kemudiannya membuka lembaran baharu bersama The Fabulous Cats (TFC) setelah meninggalkan band lamanya.

Namun, nasib yang sama turut berlaku apabila jodoh bersama TFC tidak berpanjangan meskipun telah membuat beberapa rombakan dengan mengambil ahli baharu sama ada anak tempatan atau dari seberang. Perlahan-lahan nama mereka turut hilang daripada radar industri muzik.

Kini, Cat tetap masih berada di landasan yang sama dengan mempertaruhkan muzik hip hop bersama kumpulan Tiga Swagger, sekali gus bakal muncul dengan album mini menggabungkan jenama Cat Farish dan Tiga Swagger.

Tambahan, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu juga mempunyai perancangan untuk melahirkan album solo pada tahun hadapan. Berpeluang bertemu dengan pelakon filem Jangan Pandang Belakang Congkak itu, Cat rancak bercerita tentang perkembangan kerjaya seninya selain keseronokan menyambut lebaran.


Artis Meletop!: Sebelum ini nama Cat Farish sinonim bersama kumpulan Ruffedge, kemudian The Fabulous Cats (TFC). Namun, terkini bergerak aktif dengan Tiga Swagger. Apakah yang terjadi dengan dua grup berkenaan?

CAT FARISH: Semuanya berlaku kerana jodoh. Bukan kerana kami tidak serasi tetapi apa yang boleh dikatakan sekiranya takdir telah tertulis sebegitu. Kita hanya mampu merancang dan berusaha tetapi Allah menentukan segalanya. Tambahan, perkara lepas usah dikenang kerana sekarang saya bergerak bersama Tiga Swagger.

Apakah perancangan anda dengan kumpulan Tiga Swagger ini dan mengapa memilih mereka?

Saya melihat kesemua ahli Tiga Swagger amat berbakat. Mereka bukan sahaja mempunyai kredibiliti dalam bidang seni suara, namun bakat menghasilkan lirik dan rap juga bagus.

Menggabungkan nama Cat Farish dan Tiga Swagger antara usaha saya memperjuangkan muzik hip hop yang selama ini telah menjadi darah daging sejak di usia remaja.

Mengikut perancangan, kami akan keluar dengan sebuah mini album berjudul Power Power Power dan mempertaruhkan genre hip hop. Mengandungi enam buah lagu, album tersebut akan mula dipasarkan sekitar hujung bulan ini atau awal Ogos depan.

Mengekalkan muzik hip hop, mengapakah anda masih memilih konsep yang sama seperti awal kemunculan?

Bagi saya genre hip hop tidak pernah mati dan akan terus hidup biarpun diasak dengan perkembangan dunia muzik. Jika dilihat, lagu masa kini tidak mengira apa jua konsep termasuk dangdut, elemen hip hop mahupun rap tetap akan menjadi penambah perisa agar kedengaran lebih menarik. Biarpun saya telah berusia, namun itulah pilihan namanya. Mungkin telah menjadi ketentuan sampai ke tua saya akan hidup dengan hip hop.

Setelah lama bergerak secara berkumpulan, tidakkah anda terfikir untuk lebih memberi tumpuan terhadap kerjaya solo?

Jika dilihat nama kumpulan baharu ini sedikit sebanyak memberi pengaruh bahawa saya kini bergerak solo. Namun, buat masa sekarang fokus itu lebih diberikan kepada Cat Farish dan Tiga Swagger sebelum memberi tumpuan sepenuhnya untuk diri sendiri. Insya-Allah pada tahun depan saya akan keluar dengan album solo.

Beralih kepada kerjaya lakonan, anda juga sudah jarang muncul di kaca televisyen mahupun di layar perak. Mengapa?

Tawaran masih ada cuma disebabkan kekangan waktu, bidang nyanyian lebih diberi penekanan berbanding lakonan. Bukan mengatakan bahawa saya merajuk tetapi wujud sekelumit rasa kurang senang dengan sikap segelintir penerbit yang meletak bayaran pelakon sesuka hati. Jika seseorang itu menjadi kegemaran, walaupun diberi peranan kecil atau jemputan, dia tetap menerima bayaran mahal. Seharusnya bayaran perlu dilakukan secara adil dan bersesuaian dengan watak.

Masih dalam mood Syawal, bagaimanakah sambutan lebaran pada tahun ini?

Teruja (ketawa). Sambutan Syawal pada tahun ini sedikit mencabar memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Pada tahun ini Aidilfitri disambut secara sederhana di ibu kota selepas pulang ke kampung mentua saya di Melaka.

Previous Post Next Post