Ceritera raya Amar, Amyra



NAMA dua figura ini barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak sama-sama digandingkan untuk drama bersiri Suamiku Encik Sotong, gandingan dua bintang ini mendapat direstui peminat.

Tidak hanya direstui gandingan di layar perak, ramai peminat pasangan ini mengharapkan mereka berdua menjadi pasangan kekasih.

Apatah lagi, mereka berdua kerap kali dilihat acap kali bersama dan juga diuruskan oleh individu yang sama iaitu Noor Zaridah Ahmad yang juga ibu kepada Amyra Rosli.

Bagai ada sinar buat peminat, sejak kebelakangan ini, baik Amyra mahupun Amar Baharin dilihat sering berpakaian sedondon dan lebih menguatkan lagi harapan peminat apabila kedua-dua mereka dikatakan menjalinkan hubungan cinta.

Justeru sempena Lebaran kali ini, Zass tampil dua figura yang baru-baru ini turut tampil sedondon dalam sebuah majlis.

Tatkala diusik, pantas kedua-dua menafikan bahawa mereka berjanji untuk tampil sedondon.


"Kami tak rancang pun nak pakai baju warna sama, bila sampai, Myra tengok Amar pun pakai hijau," ujar gadis berusia 24 tahun ini kepada penulis.

Ditanya adakah mereka bakal berhari raya bersama tahun ini, Amar berkata, dia tidak ada masalah untuk mengunjungi keluarga Amyra apatah lagi ibu Amyra merupakan pengurusnya.

"Saya setiap kali raya memang jenis main langgar sahaja, maklumlah orang tiada kampung. Macam tahun lepas, alang-alang berada di Ipoh, saya terus mudik ke atas dan mengunjungi Izreen (Azminda) dan beberapa rakan yang berada di Utara.

"Kadang kala bila kawan kata rumahnya masih boleh dikunjungi, kalau masa itu jam 1 pagi pun saya redah.

"Memang ada perancangan untuk berhari raya dengan Kak Noor, apatah lagi dia pengurus saya. Tapi kalau mereka ada di rumah saya datanglah," ujarnya.

Manakala Amyra berkata, dia dan keluarga tidak ada masalah menerima kedatangan Amar pada hari raya nanti, memandangkan amalan mengunjungi pada musim perayaan sememangnya sudah menjadi satu tradisi.

"Kalau dia datang saya tak ada masalah pun, lagipun saya faham dia mesti nak berhari raya dengan mama juga. Kita tunggu dan lihatlah bila dia nak datang," katanya.


Amar teruskan tradisi

Dalam pada itu, ditanya perancangan rayanya tahun ini, Amar berkata, sama seperti kelazimannya sejak beberapa tahun lepas, dia dan keluarga akan menyewa sebuah homestay di Ipoh.

Katanya, memandangkan mereka sekeluarga tidak mempunyai kampung, namun masih ada saudara mara yang tinggal di sekitar Perak.

"Sejak tiga, empat tahun lepas, mak saya akan menyewa sebuah homestay di Ipoh dan membolehkan kami sekeluarga menziarahi saudara mara di sana.

"Malah sejak menjadi tradisi keluarga, kami sekeluarga dapat bertemu dengan saudara mara yang dah lama tak jumpa.

"Macam tahun lalu, kami dapat berkumpul dengan lebih 70 orang sanak saudara. Memang meriah kerana kami bukan setakat ziarah menziarahi sahaja, tetapi juga menjalani aktiviti raya bersama-sama," katanya.

Berkongsi ceritera rayanya pula, Amar berkata, rutin berhari raya di Kuala Lumpur bukanlah menjadi pengalaman yang menarik untuk dikongsi.

Namun pengalamannya berhari raya di perantauan dua tahun lalu, menyebabkan dia lebih menghargai suasana berhari raya bersama keluarga.

"Raya saya sederhana sahaja dan menjadi rutin setiap pagi raya, saya akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara dengan warga asing (ketawa).

"Macam dua tahun lalu, saya bersama kak Eirma (Fatima) dan beberapa rakan artis berangkat ke luar negara pada hari raya keempat kerana menjalani penggambaran di beberapa buah negara Eropah. Bila balik, sudah ke penghujung raya.

"Walaupun kami masih menyambut hari raya di sana dan masing-masing ada bawa juadah dari Malaysia, tetapi suasananya masih tidak sama," jelasnya.

Sementara itu, tambah Amar, raya tahun ini juga menyaksikan banyak drama dan telefilem lakonannya ditayangkan di kaca TV sepanjang musim perayaan ini.

Antara yang bakal ke udara adalah telefilem pada malam raya, Hujan Pagi arahan Rashid Sibir di Astro Prima, diikuti Melodi Raya pada raya kedua.

"Selain itu antara telefilem yang saya lakonkan dan akan disiarkan raya nanti adalah telefilem hasil gabungan Hati Perempuan dan Terpaksa Aku Relakan, yang mana tajuknya masih dirahsiakan.

"Kemudian beberapa lagi telefilem raya seperti Aku Nak Kahwin Raya Ini arahan Dira Abu Zahar. Jadi saya harap tidak ada penonton yang jemu melihat muka saya di kaca TV raya nanti," seloroh Amar.


Amyra raya sakan

Bagi Amyra pula, dia mengakui persiapan raya tahun ini dilakukan berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Selain bakal mengayakan baju raya dari koleksi sendiri dan tajaan, Amyra turut menempah beberapa helai baju lagi.

"Alhamdulillah sejak kebelakangan ini ada sahaja rezeki yang datang dan Myra akui persiapan raya tahun ini berbeza sikit dari raya sebelumnya.

"Tetapi tidaklah sehingga membazir. Cuma Myra sudah ada beberapa baju raya yang ditaja dan juga dari koleksi Myra sendiri,” katanya.

Tambah Amyra, menjadi rutin saban tahun, dia akan pulang ke berhari raya ke Port Dickson, Negeri Sembilan pada hari raya pertama dan kemudian akan pulang ke Terengganu dan seterusnya ke Pulau Pinang.

"Setiap kali raya, Myra dan keluarga memang akan berjalan dan memastikan ketiga-tiga negeri ini untuk berhari raya.

"Insya-ALLAH Myra akan bercuti selama seminggu lebih dan lepas itu Myra mungkin akan kembali bekerja kerana sudah ada tawaran yang datang," katanya yang menggemari juadah rendang dan lontong.

"Bagi Myra, asalkan cukup untuk duduk berkumpul dengan keluarga, rakan-rakan dan peminat itu sudah memadai," katanya.

Biarpun baru beberapa tahun meninggalkan zaman kanak-kanak, akui Amyra, dia sudah merindui zaman kanak-kanak yang tidak mungkin dapat di kecapinya lagi.

Apatah lagi, kebanyakan sepupunya yang sudah menginjak dewasa menyebabkan kenangan hari raya ketika zaman kanak-kanak kini tersimpan kejap di dalam memori.

"Myra rasa kebanyakan kanak-kanak melalui pengalaman sama di mana tiap kali musim raya, kita akan berjalan dari rumah ke rumah untuk kumpul duit raya.

"Malah Myra pernah berjaya kumpul sehingga RM200 hasil menziarahi rumah ke rumah. Lepas itu seperti biasa bila malam main bunga api bersama-sama.

"Tapi Myra tak lah berani main mercun. Cuma bunga api dapatlah diulang walaupun dah besar, tapi berjalan dengan sepupu dari rumah ke rumah tu mustahillah untuk diulang kembali," akhirinya.

Previous Post Next Post