Daven R pertaruh kualiti dalam CCTV


FILEM CCTV bakal ditayangkan di seluruh Malaysia termasuk Brunei pada 30 Julai ini. Mengetengahkan Airel Zafrel sebagai teraju utama, filem bergenre seram ini turut melibatkan pelakon hebat seperti Hasnol Rahmat dan pendatang baharu, Ardel Aryana dan Asliza Abdullah.

Naskhah ini merupakan taruhan pertama Daven R sebagai pengarah filem sepenuhnya kerana sebelum ini beliau lebih popular dalam bidang pengarahan sinematografi. Antara filem yang pernah menerima sentuhan sinematografi beliau adalah Mr Cinderella 2, Gong, Susuk, Cun dan Gamatisme.

Filem-filem tersebut antara yang menghidangkan sinematografi terbaik buat penonton, malah nama Daven R pernah mendapat pencalonan kategori sinematografi dalam Festival Filem Malaysia.

Tiga tahun beroperasi di bawah nama Cinemaya Studios Sdn Bhd, pengarah versatil ini terdetik mempertaruhkan kualitinya dalam filem CCTV yang menjurus ke arah konflik kekeliruan seorang lelaki antara dunia nyata dan ilusi.

Ditanya mengapa beliau berani memilih genre seram dan konflik yang hanya tercakup bagi pasaran audiens yang berfikiran kritis, Daven mempunyai alasan tersendiri.


“Saya sedar filem sebegini agak terhad kepada penonton yang memahami perjalanan cerita melalui pemikiran kritis. Bagi mereka yang belajar filem atau yang terlibat sepenuhnya dalam industri ini mereka akan faham kualiti sesebuah filem. Namun untuk CCTV, saya turut menyelitkan elemen biasa yang mudah difahami penonton secara umum.

“Taruhan pertama saya kali ini bukanlah keuntungan semata-mata, tetapi kualiti dan kebolehan saya sebagai seorang pengarah. Saya telah diberi kepercayaan oleh Penerbit Eksekutif, Guna Devan serta Penerbit, Kumar dan Amy yang juga rakan saya dalam industri, maka saya berikan yang terbaik.

“Saya percaya ada pelajaran yang boleh dicontohi dalam filem saya oleh penggiat seni mahupun pelajar perfileman,” katanya kepada Zass.

Terperangkap di hospital era 80-an

Selaku penulis skrip filem ini, Daven mengakui tidak mengikat pelakon-pelakonnya dengan skrip asal di mana beliau terbuka membuat beberapa rombakan berdasarkan kehendak pelakon.

Menurutnya, filem ini menceritakan tentang seorang lelaki yang bekerja di bidang teknikal ditugaskan untuk membaiki kerosakan CCTV di sebuah hospital.

Sewaktu menjalankan tugas, Hariri (Airel Zafrel) terlibat kemalangan dan dimasukkan ke hospital tersebut selama tiga hari. Bermulalah episod pelik lagi mengelirukan bagi Hariri kerana dia dapat melihat perkara aneh.

Hari demi hari Hariri diganggu makhluk aneh serta kejadian-kejadian yang menakutkan sehinggalah dia menemui bilik CCTV di hospital berkenaan yang menjawab segala persoalannya.
“Latar belakang kisah ini sebenarnya berlaku pada masa kini tetapi selepas terlibat kemalangan, Hariri terperangkap di sebuah hospital dalam era 80-an. Ia gabungan dua dunia, iaitu realiti dan ilusi.

“Apa yang penonton dapat selami dalam CCTV adalah berkenaan tempoh waktu di dunia ilusi tidak sepantas atau selama waktu di dunia kita. Malah saya selitkan dengan watak-watak psiko dan individu yang pernah wujud dan mendapatkan rawatan di hospital yang akhirnya musnah dalam kebakaran.

“Apa yang Hariri lihat dalam dunia ilusinya adalah peristiwa yang berlaku terhadap hospital lama itu. Ia pertindihan dua cerita dalam dua dunia berbeza,” katanya.

Previous Post Next Post