Fizo Omar suka ketupat cicah madu


Fizo akan membuka sebuah medan selera yang mengumpulkan semua jenis makanan popular Kelantan di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

Bila bicara tentang hari raya, serta-merta suasana sambutan perayaan tersebut menerjah kotak fikiran Fizo Omar.

Ada peristiwa lucu, pelik dan gembira selama dia menyambut Syawal dengan menyarung status selebriti. Peristiwa lucu itu terjadi setiap kali pengacara program Nasi Lemak Kopi O itu mengadakan rumah terbuka.

“Setiap kali raya, saya akan buat rumah terbuka. Biasanya saya buat pada hari raya keempat. Pernah sebelum kahwin, saya buat rumah terbuka, tetamu yang datang dekat 5,000 orang. Ada sesete­ngah tetamu terpaksa parkir kereta jauh kerana parkir berdekatan semua sudah penuh. Sampaikan, ada orang yang buat bisnes pengangkutan ambil dan hantar tetamu naik motor dari parkir ke rumah saya.

“Pengalaman memang penat sampai rasa nak pengsan sebab bukan sahaja kita kena layan tetamu tetapi juga kena bergambar. Masa itu juga kita dapat tengok macam-macam ragam orang yang datang. Bila beribu orang yang datang, jadi ia di luar kawalan kita. Kedai Hot burger yang saya sediakan untuk tetamu pernah sampai satu tahap licin kena ambil. Sampai sos pun mereka ambil. Biarpun bermacam-macam pengalaman yang dapat tetapi ia menyeronokkan,” kongsi Fizo yang turut menyediakan bunga api dan aktiviti payung terjun ketika mengadakan rumah terbuka sebelum ini.


Berbeza pada tahun ini, suami kepada pemilik jenama tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim itu menjangkakan tetamu yang hadir kian bertambah.

Sebagai persediaan, pelakon berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu akan menyediakan lebih banyak makanan seperti gulai kawah, laksa dan korban lembu buat tetamu-tetamunya.

“Raya tahun ini kami (Fizo dan Mawar) akan balik Kelantan dulu. Jika tahun-tahun sebelum ini saya buat rumah terbuka pada hari raya keempat, tahun ini saya akan buat pada hari raya ketiga dari pukul 1 hingga 5 petang di Selising, Pasir Puteh. Sebab raya keempat kena balik kampung Mawar di Pulau Pinang pula. Kalau masa bujang, bolehlah raya kat Kelantan sampai seminggu,” ujarnya duta kempen Syukur Selalu untuk TV9 itu.

Menyentuh mengenai menu kegemaran di hari raya, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar itu memilih makanan tradisional nenek mo­yang di Kelantan iaitu ketupat cicah dengan madu lebah.

“Memang menjadi kegemaran di hari raya kalau dapat makan ketupat cicah dengan madu lebah. Makanan ini memang popular dalam kalangan nenek moyang di Kelantan. Orang lama Kelantan memang suka makan ketupat yang dicicah dengan madu lebah. Rasanya memang enak,” kongsinya yang turut menggemari makanan Thailand kerana darah Siam yang mengalir daripada ibunya.

Ironinya, kelibat pelakon filem Isyarat Cinta itu tidak akan kelihatan pada drama atau telemo­vie raya tahun ini.

Tanpa mahu mengelak, Fizo menyambung bicaranya. Katanya, bukan tidak ada tawaran tetapi konsentrasi terhadap bisnes menyukarkannya menjayakan penggambaran drama atau telemovie raya pada tahun ini.

“Tahun ini saya tidak terlibat dengan sebarang drama atau telemovie untuk raya. Tawaran ada, cuma memang tak sempat nak buat sebab saya tengah menjalankan beberapa buah bisnes yang memerlukan komitmen 100 peratus. Jadi, saya terpaksa korbankan lakonan buat seketika,” ungkapnya yang kini sedang menjalankan sebanyak tiga buat bisnes dalam syarikatnya iaitu Fizo Omar Corner, Fizo Omar Channel dan Fizo Omar Consul­tant.

Pada masa yang sama, bisnes Hot Burger, serunding dan baju Melayu miliknya masih berjalan seperti biasa.

Fizo turut merancang untuk mempunyai sebanyak 10 buah bisnes sehingga tahun depan.

Tidak takut dilabel tamak, Fizo menyifatkan perancangan untuk mempunyai 10 buah bisnes dalam masa tidak sampai setahun itu sebagai peluang pekerjaan untuk orang ramai.

“Saya tidak tamak. Bagi saya, semakin banyak bisnes yang saya jalankan semakin banyak peluang pekerjaan saya wujudkan pada orang ramai. Insya-Allah selepas raya saya akan buka medan selera yang dinamakan Ado Belako Corner by Fizo Omar di Wakaf Che Yeh, Kelantan. Saya kumpulkan semua makanan popular di Kelantan di situ,” ujarnya yang kini muncul dalam program travelog, Citarasa Teristimewa Thailand di TV3.

Bagi Fizo, peluang sebagai pengacara program travelog itu tidak harus disia-siakan kerana dia dapat belajar dan menelusuri pelbagai jenis makanan Thailand yang sememangnya menjadi kegemarannya sejak kecil lagi.

Previous Post Next Post