Ibu-Bapa Kekuatan Zizan Razak Harungi Kontroversi


Zizan memberitahu ibu bapanya adalah kekuatannya untuk menempuh tempoh gelap dalam kerjayanya sebagai pelw

Pelakon Zizan Razak memberitahu ibu bapanya adalah kekuatan untuk dia menghadapi tempoh gelap dalam kerjayanya selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi sejak awal tahun ini.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 31, berkata, kedua-dua orang tuanya sentiasa memberikan kata-kata semangat agar sentiasa bersabar dan tidak cepat melatah dengan tuduhan dilemparkan.

"Jika tiada ibu bapa saya tidak tahu apa akan jadi kerana mereka adalah kekuatan saya dan bersyukur kerana mereka sentiasa nasihatkan saya supaya bersabar dan tidak berputus asa dalam mengharungi cabaran hebat ini," katanya kepada mStar Online.

Kontroversi melibatkan Zizan mula tercetus selepas hubungan cintanya dengan aktres Emma Maembong terputus pada penghujung tahun lalu.

Pelawak itu kemudiannya dituduh sebagai individu yang menghantar mesej lucah kepada beberapa wanita.

Belum surut tuduhan itu, Zizan dikatakan telah melanggan pelacur ketika berada di Indonesia sebelum mengejutkan peminat selepas dia mengumumkan bakal berkahwin.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia tidak pernah terkilan dengan segala isu dan kontroversi yang melandanya.



Zizan tidak terkilan dengan semua kontroversi yang melandanya.

Sebaliknya dia reda dengan semua dugaan tersebut kerana ia adalah ketentuan dari Allah.

"Sebagai manusia biasa dan orang Islam saya percaya setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya dan Allah memberi cabaran ini kepada saya dengan tujuan yang baik.

"Insya-Allah jika saya tidak berputus asa Tuhan itu akan beri jalan lebih baik kepada saya selepas ini," katanya.

Sementara itu, mengulas apabila dia hanya mendapat satu pencalonan iaitu Pengacara Lawak TV Paling Popular, Anugerah Lawak Warna 2015, Zizan menganggap keputusan itu tidak perlu dipersoalkan.

Kata Zizan, sepanjang tempoh setahun ini juga dia kurang muncul dalam program atau filem berkonsepkan komedi memandangkan acara itu dinilai berdasarkan genre tersebut.

"Rezeki masing-masing dan jujurnya saya rasa satu pencalonan itu adil kerana saya memang kurang terlibat dalam program atau filem komedi.

"Itu bukan soal populariti sudah jatuh atau pun tidak kerana rezeki dalam bidang ini ditentukan Allah," katanya.

Anugerah Lawak Warna 2015 bakal berlangsung pada 21 Ogos depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Previous Post Next Post