Kembara Zapin Noraniza Idris



LEBIH tiga dekad bergelumang sebagai pejuang tunggal irama tradisional Melayu, Ratu Etnik Malaysia, Noraniza Idris tidak pernah berasa lelah dalam memastikan irama itu masih terpahat dalam industri muzik Malaysia.

Memperlahankan rentak dalam aktiviti seni suara, Noraniza yang kini berusia 47 tahun bagaimanapun aktif di belakang tabir melalui syarikat produksinya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd..

Terkini, Noraniza yang mesra disapa Kak Ani dalam siri jelajah memperkenalkan tarian zapin ke seluruh negara melalui program Siri Jelajah Merdeka Aeon Akar Kita Zapin 2015 bermula 1 Mei sehingga 30 Ogos ini.

Berkongsi mengenai program tersebut, Noraniza yang juga pengarah projek berkata, siri jelajah itu melibatkan Zon Utara di Taiping; Zon Timur di Seri Manjung, Perak; Zon Tengah di Rawang, Selangor, Zon Selatan di Johor Bahru.


“Saya memilih untuk membawa tarian zapin kerana muziknya yang lebih rancak dengan pergerakan agresif supaya mampu menarik minat penglibatan dalam kalangan generasi muda.

“Bukan saya menafikan keistimewaan tarian lain seperti inang dan sebagainya, namun kita memerlukan formula bagi memastikan siri jelajah ini mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Siri Jelajah Merdeka Aeon Akar Kita Zapin 2015 di Aeon Jusco Tebrau, Johor Bahru, baru-baru ini.

Uniknya mengenai program berkenaan ialah ia memperkenalkan konsep battle seperti dalam tarian moden yang menuntut peserta mereka tarian zapin yang tidak mampu ditumpaskan pasukan lawan.

Walaupun begitu, Noraniza menjelaskan, peserta di setiap zon diberikan tema tarian zapin tertentu supaya mereka mempelajari dan menghayati nilai estetika dalam sebuah tarian zapin.

Katanya lagi, setiap negeri di Malaysia mempunyai tarian zapin yang tersendiri sekali gus memberi peluang kepada pasukannya mengumpul maklumat dan merekodkan tarian itu sebagai rujukan pada masa akan datang.


BAGI menarik minat anak muda terhadap muzik tradisional, Noraniza menganjurkan Program Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin di seluruh negara.

“Untuk penganjuran pada masa depan kita bercadang membuka galeri di setiap lokasi jelajah. Galeri itu akan memaparkan setiap tarian tradisi zapin dari seluruh negara,” katanya.

Biarpun menyedari penerimaan masyarakat terhadap irama tradisional Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan, Norniza menegaskan, erti putus asa tidak wujud dalam diari perjuangannya.

Menjelang bulan kemerdekaan pada Ogos ini, Noraniza mendedahkan dia bakal tampil dengan single baharu berentak pantas namun mengekalkan muzik zapin di dalamnya.

Lagu yang mengisahkan percintaan antara manusia, Tuhan dan alam itu turut boleh menjadi lagu pembakar semangat seiring dengan sambutan kemerdekaan ke-58 negara pada 31 Ogos.

“Sebagai penyanyi saya perlu terus berjuang dengan menghasilkan lagu yang berkualiti untuk pendengar. Sama ada lagu itu menjadi popular atau tidak ia bergantung kepada penerimaan peminat.

“Secara amnya lagu ini rancak dan sesuai dengan semangat bulan kemerdekaan,” jelasnya ringkas yang tidak mahu mendedahkan lebih lanjut mengenai lagu tersebut.

Ketika diminta mengulas adakah dia mampu kembali berada pada era kegemilangannya, pelontar lagu Dikir Puteri itu terdiam seketika sebelum menjawab.

Ulasnya jujur: “Saya rasa zaman itu (kegemilangan) telah lama berlalu. Selagi peminat mengenali saya, itu sudah cukup.”

Previous Post Next Post