Kesal Berita Tidak Benar, Anak Zur Eda Nafi Ibunya Meninggal Dunia



Anak sulung kepada penyanyi terkenal tahun 1980-an, Zur Eda iaitu Siti Sarah menafikan khabar angin tentang kematian ibunya seperti mana disebarkan di laman sosial pelakon Fauziah Nawi pada Jumaat.

Siti Sarah, 26, berkata, perkara tersebut tidak benar dan keadaan kesihatan ibunya kini bertambah baik selepas pembedahan buah pinggang pada awal Julai lalu.

"Saya terkejut apabila ramai kenalan dan saudara kami telefon untuk bertanyakan tentang berita ibu saya meninggal dunia dan ingin ditegasakan khabar angin itu tidak benar,” ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Siti Sarah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang berita kematian penyanyi Zur Eda, 50, yang dimuat naik di laman sosial pelakon veteran Fauziah Nawi pada petang Jumaat.

Tamba Siti Sarah, dia sentiasa menemaskini tentang kesihatan Zur Eda menerusi akaun laman sosial ibunya itu dari semasa ke semasa.

"Kalau betul ibu meninggal kenapa pula saya tak beritahu kepada umum dan ini bukan perkara main-main. Saya juga sentiasa berkongsi perkembangan keadaan kesihatan ibu sejak dia jatuh sakit menerusi Facebook milik dia," ujarnya.



Status terbaru pelakon Fauziah Nawi yang memohon maaf atas kesilapannya.

Dalam pada itu, kata Sarah, keadaan kesihatan ibunya kini bertambah baik dan Zur Eda bakal menjalani pembedahan bagi membuang batu karang di saluran kencing pada 29 Julai ini.

"Alhamdulillah, ibu semakin baik selepas pembedahan membuang nanah di buah pinggang dia akan menjalani beberapa pembedahan membuang batu karang secara berperingkat.

"Ia mengikut keadaan kesihatannya, kalau dia sihat barulah pembedahan dijalankan," ujarnya.

Sementara itu, Siti Sarah berharap agar orang ramai menghentikan penyebaran berita kematian tersebut dan meminta agar mendoakan kesihatan ibunya itu.

Zur Eda dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 Julai lalu selepas mengadu sakit perut dan muntah.

Penyanyi ini popular dengan lagu Kelmarin dan Pelitaku.

Dalam pada itu Fauziah Nawi menerusi status Facebook miliknya pada Jumaat memohon maaf kepada Zur Eda dan keluarga atas kesilapannya memuat naik status berkenaan.

Menurut Fauziah, dia menaikkan status itu selepas mendengar khabar berkenaan yang disampaikan kepadanya oleh pelakon Afida Es.

"Astaghafirullah... memohon ampun dan Maaf pada Zur Eda sekeluarga... Kakak Bonda Afida kita dah Kena main... Anne Abdullah Terima kasih bagi tahu Kak Yah... Kenapa lah perkara hidup mati orang dibuat jenaka. Sekali lagi memohon ampun dan Maaf kpd keluarga Zur Eda," katanya dalam status terbarunya itu.

Previous Post Next Post