Konsert percuma Anuar Zain sempena Aidilfitri


Anuar menghiburkan tetamu yang hadir dengan mendendangkan 11 buah lagu.

BEBERAPA artis akan membuat persembahan sempena Aidilfitri pada 15 Ogos ini di Oasis Piazza, Oasis Square, Ara Damansara.

Mereka terdiri daripada Anuar Zain, Ratu Rock Ella, pemain gitar Man Kidal dan bintang sedang meningkat Elizabeth Tan serta Dasha Logan.

Pengarah Eksekutif Oasis Piazza, Mohamad Hassan Zakaria berkata, lebih 10,000 orang dijangka menghadiri konsert percuma itu.

"Matlamat kami ialah di samping melibatkan anggota masyarakat, ia sebagai menghargai sokongan orang ramai kepada pembangunan Oasis Damansara selama ini," katanya.


Beliau berkata konsert selama dua jam itu akan diadakan secara lebih santai dan releks tidak seperti konsert biasa di stadium.

Pendatang baharu dan sensasi YouTube, Elizabeth Tan berkata beliau akan mendendangkan empat buah lagu dan merasa teruja untuk turut berkongsi pentas bersama artis legend.

"Ia merupakan perasaan 1Malayia dan sebagai rakyat Malaysia, kita sentiasa merayakan perayaan semua kaum. Saya akan membuat persembahan terbaik dan berharap ramai akan memberi sokongan," katanya.

Konsert Raya ini turut disokong Sime Darby Brunsfield Group (SCBH) dan ERM International Group yang turut bakal meraikan 100 orang tetamu khas termasuk kanak-kanak mangsa banjir dari Kelantan.

Previous Post Next Post