Lebaran pendatang baharu Hafreez Mikail, Mustaqim Bahadon & Azrel Ismail



TIGA pelakon lelaki generasi baharu, Hafreez Mikail (kiri), Mustaqim Bahadon (kanan) dan Azrel Ismail berkongsi matlamat yang sama membina nama dalam dunia seni.

MEMILIKI latar belakang yang berbeza, matlamat tiga pendatang baharu, Hafreez Adam, Mustaqim Bahadon dan Azrel Ismail tetap sama. Mereka mahu mencipta nama sebaiknya sebagai pelapis generasi baharu dunia lakonan.

Teruja digandingkan bersama, mereka sememangnya telah mesra, sementelah Mustaqim dan Hafreez pernah berkongsi naskhah sama membintangi drama bersiri Hati Perempuan.

Berbeza buat Azrel, wajahnya terlebih dahulu menghiasi slot iklan komersial sebelum melebarkan sayap sebagai pelakon. Namanya mula menjadi sebutan setelah membintangi drama Santau Merasuk membawa watak sebagai seorang ustaz.

Membuka lembaran baharu, biarpun pada awal kemunculan bakat yang dipertaruhkan tidak mampu mencuri perhatian peminat mahupun penggiat seni tanah air, namun tahun ini, kesabaran mereka membuahkan hasil.

Berjaya mendapat tempat dalam industri, ketiga-tiga jejaka tampan itu teruja menyambut lebaran bertemankan tempias populariti bergelar anak seni.


Tidak rasa diri popular

Merangkul Anugerah Artis Baru Lelaki Popular 2014 bukanlah tiket buat Hafreez berlagak ‘diva’ dalam kalangan pelakon seangkatan, sementelah kerjaya seninya masih hijau.

Biarpun rezeki tahun ini melimpah ruah berbanding dahulu, anak jati Kuala Lumpur itu bersyukur kerana perjuangannya mempertaruhkan bakat demi mengejar cita-cita berjaya diterima.

“Saya tidak pernah berasa sudah popular sebaik sahaja menerima anugerah tersebut. Sebaliknya, perlu berusaha keras untuk memastikan perkembangan kerjaya lebih sistematik dan teratur,” kata pelakon berusia 25 tahun itu.

Berkongsi cerita lebaran, Syawal kali ini dirasakan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya. Tahun lepas, sambutan rayanya suram kerana hanya menghabiskan masa di rumah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Cerita Hafreez, dia terpaksa melepaskan peluang pulang beraya di Muar, Johor atas nasihat doktor dan bersendirian di ibu kota. Hafreez juga tidak dapat menikmati juadah mahupun menyarung baju baharu di pagi Syawal seperti insan lain.

“Saya terpaksa tinggal seorang diri di rumah dan menghabiskan masa menonton televisyen. Namun, beberapa kenalan ibu ada membantu dengan menyediakan juadah raya.

“Bagaimanapun, momen itu pasti tidak sama seperti menyambut lebaran di kampung bersama sanak saudara yang lain. Ketika itu perasaan cemburu amat membuak-buak tatkala melihat gambar-gambar kemeriahan keluarga beraya,” jelasnya.

Tambah Hafreez lagi, kejadian itu berlaku sewaktu malam raya pada tahun lalu. Ketika kejadian, dia sedang memandu kenderaan pulang ke rumah. Disebabkan keletihan dan terlalu mengantuk, dia terlelap seketika sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan keretanya terbalik.

“Syukur, Allah masih memberi saya peluang untuk meneruskan kehidupan. Walaupun tidak mengalami kecederaan serius, doktor tetap menasihatkan saya agar rehat secukupnya sebelum kembali aktif berlakon,” katanya bersungguh-sungguh.

Lebih utamakan keluarga

Beralih kepada jejaka tinggi lampai, Mustaqim Bahadon atau mesra disapa Mustaqim, dia lebih mengutamakan keperluan ahli keluarga terutama ibunya, Anida Aris, 60, yang tinggal seorang diri setiap kali hari raya.

“Sejak kehilangan ayah yang meninggal dunia ketika saya masih belasan tahun, hanya mak (panggilan buat ibunya) menjadi tempat bermanja dan berkongsi rasa. Disebabkan itu, segala persiapan lebih tertumpu kepada dirinya,” kata pelakon drama Hidayahmu Ramadan itu.

Ketika ditemui, jejaka kelahiran Kangar, Perlis itu sudah tidak sabar untuk menyambut lebaran di kampung bersama saudara-mara. Dia bercuti untuk pulang berhari raya sejak minggu kedua Ramadan lagi.

Memberi lebih tumpuan kepada ibu tercinta, Mustaqim berusaha mencuri waktu untuk bersantai di rumah setelah hampir enam bulan bertungkus lumus di lokasi penggambaran.

Memeriahkan lebaran, sudah menjadi rutin tahunan buat Mustaqim sekeluarga berkumpul bersama-sama untuk berkaraoke dan juga bermain bola keranjang.

“Disebabkan jadual sepanjang Ramadan tidak terlalu padat, peluang itu digunakan sepenuhnya untuk bersama keluarga,” ujarnya.

Raya pertama sebagai selebriti

Menoleh ke arah Azrel, pelakon drama Fajar Di Bukhara itu mengingatkan ramai terhadap Remy Ishak. Biarpun dikatakan seiras dengan pelakon Nur Kasih itu, Azrel tidak menjadikan paras rupa sebagai kelebihan untuk dikenali. Memulakan kerjaya dalam bidang perhotelan, penglibatan Azrel dalam seni lakonan berlaku tanpa dirancang apabila secara suka-suka mencuba nasib dalam sebuah sesi uji bakat untuk menemani rakannya.

“Awalnya saya berat hati untuk meninggalkan dunia perhotelan, namun disebabkan rasa ingin mencuba perkara baharu, saya teruskan juga biarpun gusar tersilap langkah.

“Agak kelakar juga apabila ramai yang menyangka saya sebagai Remy. Ia seperti satu kelebihan tetapi secara tidak langsung saya berusaha untuk terus melebarkan sayap dalam dunia lakonan dengan jenama sendiri,” jelas pelakon berusia 30 tahun itu.

Berkongsi sambutan menyambut lebaran, Azrel teruja apabila buat pertama kali dirinya meraikan Aidilfitri sebagai selebriti.Biarpun sibuk memenuhi tuntutan di lokasi penggambaran, anak kelahiran Taiping, Perak itu tetap membuat persiapan awal.

“Alhamdulillah walaupun mendapat banyak tajaan baju raya, namun saya tetap membeli beberapa helai baju lagi sebagai persediaan penambahan untuk memenuhi jemputan majlis di Kuala Lumpur,” tuturnya.

Bercerita lebih lanjut tentang suasana lebaran, Azrel mengakui hari raya menjadi meriah jika ia diraikan di kampung halaman. Peluang bertemu dengan saudara-mara juga menjadikan sambutan Aidilfitri lebih bermakna.

Azrel juga menjelaskan, setiap tahun dia menanti juadah air tangan ibunya, Ramlah Mat Som biarpun juadah tersebut boleh dimakan dirumah sahabat handai dan sanak saudara.

“Disebabkan saya perlu mengawal pemakanan, pada raya pertama dan kedua saya akan ‘telan’ apa sahaja tetapi bila masuk hari ketiga segalanya perlu dikawal demi menjaga kesihatan dan mengekalkan bentuk badan,” jelasnya.

Previous Post Next Post