M Nasir, Marlia saling melengkapi



PASANGAN Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa merupakan pasangan ideal selebriti yang dihormati dan wajar dicontohi. Bukan sahaja menampilkan imej secocok, malah kedua-duanya sentiasa mesra dan romantis ketika ditemui di mana-mana majlis.

Pasangan yang bernikah pada 2000 ini sedar tidak sedar sudah menjalani kehidupan bahagia bersama sejak 15 tahun lalu.

Masih dalam bulan Syawal, masih belum terlambat untuk Zass berkongsi kisah Aidilfitri pasangan serasi ini.

Menurut M Nasir, sebelum menyambut Aidilfitri lagi, beliau mengambil keberkatan Ramadan untuk mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan antara ahli.

“Ramadan kami sekeluarga berlangsung macam biasa tahun ini. Bergantung pada hari. Ada masa sibuk, ada masa tidak.

“Saya sedang buat konsert jelajah dan selepas raya akan sambung program jelajah itu di Penang dan di Kuala Lumpur,” kata M Nasir ketika ditemui Zass, baru-baru ini.

Siri jelajah yang dimaksudkan adalah Konsert Solo M Nasir... Kembara yang dijalankan di empat lokasi terpilih iaitu, Kuantan Pahang; Pasir Gudang, Johor; Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor bermula 24 Mei lalu sehingga 7 November depan.


Didik anak-anak bersederhana

Sementara itu, bagi Marlia pula yang baru selesai bersiaran dalam program Pelamin Fantasia di Astro berkata, dia sudah mula berehat panjang sehingga penghujung tahun ini.

“Saya dah mula berehat dan duduk rumah sahaja temankan anak-anak. Tahun ini aktiviti membuat kuih raya. Anak-anak saya pandai buat kuih raya.

“Saya juga suka memasak. Sejak bulan puasa lagi, suami tak memilih dan tidak cerewet bab makan. Dia makan apa sahaja yang saya masak. Makanan pun tak perlu mewah-mewah. Ini juga untuk mendidik anak-anak supaya bersederhana,” kata Marlia.

Mencelah jawapan isterinya, M Nasir sambil ketawa menyebut segala masakan yang dimasak Marlia adalah yang paling sedap dalam dunia. Dan menjadi kelaziman bagi M Nasir untuk tidak membazir dengan membeli makanan-makanan di luar ketika bulan puasa.

"Saya lebih suka isteri yang masak," katanya.

Sambutan Aidilfitri pula, pasangan ini juga bercuti panjang demi keluarga dan menjadi kemestian untuk pulang ke Singapura, iaitu kampung halaman M Nasir.

“Raya selalunya kami balik Singapura. Dan akan bercuti. Saya tak kerja sebab suri rumah tangga. Saya bergantung pada suami. Kalau suami cuti lama maka lamalah saya bercuti. Kadang-kadang hari raya pertama atau kedua dah berada di Singapura.

“Jadi cuti saya dan anak-anak bergantung pada bos besar (merujuk M Nasir),” katanya diiringi ketawa.

Previous Post Next Post