Mia Ahmad tidak mudah putus asa



LUMRAH bergelar selebriti, pastinya tidak dapat lari dari kontroversi. Namun bagi pendatang baharu, Mia Ahmad, ia bukanlah penghalang untuknya terus membina karier dalam bidang seni.

Tidak mudah melatah dengan kontroversi yang datang, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan ini tetap optimis meneruskan minatnya dalam bidang lakonan dan tidak akan sesekali berasa kesal mahupun serik untuk terus mencuba nasib.

“Sejak mula lagi saya dah jangka perkara seperti ini akan berlaku kepada sesiapa saja yang menyertai dalam dunia seni. Apabila dikenali pasti orang akan ambil tahu akan hal kita, jadi saya dah sedia dengan perkara itu,” katanya.

Paling terkesan, apabila namanya turut dikaitkan dengan isu artis ditangkap basah dan tegas Mia itulah kontroversi yang paling mengaibkan dirinya kerana bukan sahaja nama dan imejnya baiknya tercalar teruk, bahkan ia turut memberikan tempias sama terhadap keluarganya.

“Sememang saya sendiri tidak menjangkakan perkara sehingga difitnah ditangkap basah itu berlaku ke atas diri saya.

“Saya memang tak sedia untuk hadapi fitnah seperti itu. Saya sedih mulanya mendengar berita itu, tetapi saya sangat berharap orang yang melakukan fitnah itu tahu apa hukum memfitnah orang,” katanya.

Menurut Mia, dia bertuah kerana memiliki keluarga yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepadanya. Namun dia tidak mahu berita-berita palsu seperti itu terus membelenggu mereka sekeluarga.

“Sesiapa saja akan terkejut dengan berita macam ni dan saya perlu terangkan kepada mereka bahawa itu adalah berita palsu. Mujurlah mereka kenal siapa saya dan tidak sedikit pun terkesan dengan berita macam tu.

"Tapi saya tidak mahu perkara sama berulang lagi dan sampai bila saya harus memberi penjelasan kepada perkara yang saya tidak buat," tegasnya.


Terima kunjungan peminat

Berkongsi kisah raya, Mia memberitahu, ada perbezaan raya tahun ini, di mana dia perlu menyediakan lebih banyak baju raya berbanding sebelum ini.

“Sekarang bila dah makin dikenali, saya perlu menyediakan lebih banyak baju bagi menghadiri majlis-majlis Aidilfitri.

"Selain membeli sendiri dalam 10 pasang, selaku duta kepada butik Mumuscarves dan Ash & Hannas juga saya agak bertuah kerana banyak busana baju dan tudung saya disediakan oleh pihak mereka kali ini,” katanya kepada Zass.

Mia atau nama sebenarnya Samiha Ahmad Baderi turut mengakui sejak membintangi drama Hati Perempuan semakin ramai mula menyapanya di luar. Sebagai tanda terima kasih kepada peminat-peminatnya, pelakon yang terkenal dengan watak Yuhanis ini mengadakan
rumah terbuka di kampungnya, di Taiping, Perak dan sedia menerima sesiapa sahaja yang bertandang ke rumahnya itu.

"Inilah masanya untuk saya beramah mesra dengan peminat yang selama ini memberikan sokongan kepada karier saya,” katanya.

Previous Post Next Post