Qi dan Nelydia buat persiapan kahwin


QI dan Nelydia kini sedang menuju fasa baharu apabila sudah mendapat restu daripada kedua-dua keluarga untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Hubungan cinta antara dua pelakon terkenal Qi Razali, 37, dan Nelydia Senrose, 21, bukanlah satu rahsia. Selepas dua tahun menyulam kasih, keseriusan yang terjalin mendekatkan mereka ke fasa bahagia.

Walaupun sering berdolak-dalik berkenaan tarikh sebenar perkahwinan mereka, Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohamed Razali akhirnya mengakui, persiapan menjelang detik bersejarah itu sudah dibuat secara sedikit demi sedikit.

Sebelum ini, Nelydia pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sebaik sahaja ibu bapanya pulang daripada mengerjakan umrah, keluarga kedua-dua belah pihak akan bertemu bagi membincangkan perihal perkahwinan mereka.

Bagi Qi, persiapan yang dilakukan bukanlah sekadar bergantung kepada hasil persepakatan kedua-dua ibu bapa mereka nanti, tetapi sebagai lelaki yang sudah bersedia melangkah ke gerbang perkahwinan, dia harus membuat persediaan awal.



QI RAZALI sentiasa terbuka menjawab persoalan media, namun dia juga bijak mengawal butiran kisah peribadinya agar tidak disensasikan.

“Benar seperti yang Nelydia beritahu sebelum ini, selepas ibu bapanya pulang daripada umrah baru-baru ini, mereka telah berbincang mengenai hubungan kami dengan keluarga saya.

“Bagaimanapun, penetapan tarikh nikah belum diputuskan perkahwinan bukan perkara main-main. Apabila semua sudah ditetapkan, kami berdua tidak akan sembunyikan berita gembira itu kepada semua,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Suamiku Jatuh Dari Langit baru-baru ini.

Apabila ditebak tentang perancangan yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak keluarga, Qi masih keberatan untuk bercerita kerana dia tidak mahu kelihatan terlalu teruja.

Tambahnya lagi, bukan tidak selesa bercakap tentang berita pernikahan, cuma seelok-eloknya perkara itu tidak dihebohkan sebelum tiba waktu yang tepat.

“Seperti pasangan lain yang sudah bersedia melangkah ke gerbang perkahwinan, kami juga ada pergi ke kedai-kedai emas untuk meninjau cincin. Namun, itu bukanlah satu perkara yang perlu dihebohkan. Semua pasangan yang bercinta dan berniat mahu berkahwin pasti melakukan perkara serupa,” jelasnya kemas mengawal setiap butir kata-kata.

Previous Post Next Post