Ramadan Izreen Azminda lengkap



Tahun-tahun pertama tumbesaran seseorang anak merupakan fasa paling berharga buat seorang ibu. Melihat bayi kecil yang dahulunya sebesar tapak tangan, perlahan-lahan menjadi seorang kanak-kanak yang bijak berkata-kata mungkin antara anugerah terindah selepas proses kelahiran.

Bagi pelakon dan pengacara, Izreen Azminda, 30, Ramadan tahun ini menjadi antara detik paling bermakna dalam hidupnya apabila menitipkan semula peluang menatang anak tunggalnya, Muhammad Adrian Umar Muhamad Riza, 2, seperti sediakala.

“Tahun lalu, saya berpuasa sendirian. Sesekali Adrian dan ibu datang atau saya pulang ke Kedah, barulah dapat bertemu dengannya.

“Ramadan kali ini, barulah terisi puasa saya kerana Adrian ada bersama 24 jam sehari. Perasaan gembira, seronok dan sebak itu tidak dapat diucapkan kerana saya terlalu rindukan dia sewaktu kami berjauhan,” jelasnya yang terpaksa melepaskan Adrian dibesarkan ibunya di kampung kerana mahu menstabilkan semula hidup selepas bergelar ibu tunggal.

Pemilik nama sebenar Izreen Azminda Aznam juga berterima kasih dan bersyukur atas pengorbanan ibunya yang sanggup berpindah ke Kuala Lumpur bagi menemani kehidupannya bersama Andrian. Walaupun keputusan itu agak berat bagi ibunya, namun seorang ibu tidak sanggup melihat anaknya terkapai-kapai sendirian menempuh badai di ibu kota.

Izreen turut mengakui, keterujaan ‘memiliki’ semula Adrian mencetuskan satu perangai pelik. Dia akan mengelek anaknya itu ke lokasi penggambaran dan juga majlis-majlis yang memerlukan kehadirannya.

Izreen sebenarnya mahu membiasakan anaknya itu bergaul dengan orang di luar rumah.

“Jika sebelum ini Adrian memang takut terhadap orang yang tidak dikenali kerana dia biasa dijaga oleh nenek dan tidak pernah berjumpa orang luar. Sekarang Alhamdulillah, dia sudah mula mesra dengan rakan-rakan saya,” jelas Izreen yang hanya mengambil sebuah tawaran telefilem bertajuk Laki Aku Drakula.

Penggambaran drama tersebut hanya mengambil masa selama lima hari.

Tatkala ditanya tentang perbezaan yang dialami apabila Adrian kembali dalam dakapan, Izreen pantas bercerita bagaimana dia sering membawa Adrian ke bazar Ramadan dan tidak pernah terlepas berbuka puasa di rumah.


TAHUN kedua beraya sebagai ibu tunggal, Izreen tetap bersyukur kerana dimurahkan rezeki mencari sesuap nasi untuk membela anak yang sedang membesar.

Kelincahan Adrian yang sudah pandai berjalan dan menyuarakan kehendaknya menjadikan Izreen tidak lekang melayan keletah si cilik itu.

“Saya turut membawa Adrian ke masjid untuk solat tarawih kerana mahu mendedahkannya tentang tuntutan agama bermula dari peringkat awal. Mula-mula memang agak risau, faham-faham sahajalah budak kecil memang banyak ragam. Alhamdulillah setakat ini, Adrian masih boleh dikawal dan senang untuk dijaga,” katanya yang lebih suka makan masakan yang dimasak ibunya berbanding lauk di kedai untuk berbuka.


Tajaan baru raya

Menyentuh tentang persiapan hari raya, Izreen tidak lepas mengucapkan penghargaan dan bersyukur atas limpahan rezeki yang diterima.

Sejak namanya melonjak naik menerusi drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan, tawaran kerja buat Izreen tidak pernah putus. Tahun ini, dia bakal muncul dengan empat buah telefilem raya iaitu Jodoh Ke Uolls, Homestay Raya, Bukan Wanita Sempurna, Laki Aku Drakula. Dia juga dilantik sebagai duta kempen #SyukurSelalu bersama Media Prima.

Namun, Izreen tidak pernah terlintas untuk menyambut Lebaran secara berlebihan. Apa yang penting baginya adalah ibadat yang telah dikerjakan sepanjang Ramadan.

Memasuki tahun kedua beraya sebagai ibu tunggal, wanita itu lebih rela menumpukan persiapan terhadap Adrian, ibunya dan adik-beradiknya yang lain.

“Tahun ini masih sama seperti tahun lepas, tiada apa yang menarik kecuali sekali lagi saya diberikan keizinan Allah untuk pulang beraya di Jitra, Kedah dan dikelilingi oleh keluarga serta rakan tersayang.

“Saya hanya beli sepasang dua baju raya, manakala yang selebihnya dihadiahkan oleh pihak-pihak yang sangat bermurah hati menaja pakaian saya termasuk Adrian. Rasanya itu sajalah yang berbeza tahun ini,” tuturnya sambil tergelak kecil.


IZREEN tidak kisah membawa anak ke lokasi penggambaran.

Bercerita pula tentang peningkatan suhu kerjaya dan populariti namanya yang kian laris di kaca televisyen, Izreen berkata , tu adalah salah satu bukti bahawa penghijrahannya memakai tudung bukanlah pemutus rezeki lakonan.

Kerjaya

Biarpun ada yang cuba meracun fikirannya dengan mengatakan hijab akan mematikan kerjaya lakonan, Izreen percaya kepada takdir dan menyangkal semua dakwaan tersebut.

Jelasnya lagi, dia tidak kisah walaupun hanya bergelar pelakon drama dan bukan wajah pilihan untuk karya berbentuk filem. Niatnya bulat, dia berlakon untuk mencari rezeki membesarkan anak yang masih kecil.

“Siapa yang tidak teringin melangkah ke layar perak, tetapi jika masa belum masanya, saya tidak kisah. Lambat atau cepat, peluang itu akan datang juga, Insya-Allah.

“Bagi saya, laris dalam drama lebih senang dikenali dan lebih mudah mendekati hati peminat kerana semua orang akan menonton televisyen, tetapi tidak semua peminat akan ke panggung menonton wayang,” ujarnya berseloroh.

Sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, terbaharu, dia bakal mengeluarkan jenama tudung sendiri, Polka Ribbon by Izreen Azminda.

Jenama yang akan memasarkan beberapa jenis selendang itu dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Idea ini tercetus apabila peminat asyik bertanya, di mana saya membeli tudung apabila nampak gaya tudung dipakai saya dalam televisyen mahu pun ketika hadir ke majlis-majlis tertentu. Jadi, rasanya lebih molek jika saya memakai tudung jenama sendiri, lebih senang menjawab pertanyaan peminat, pada masa yang sama mempromosi produk senndiri.

“Eksklusifnya tudung keluaran saya nanti, hanya ada dua corak sama di pasaran, satu untuk kegunaan sendiri dan satu corak lagi boleh dibeli pengguna. Setakat ini, saya menjual tudung jenama tudung berkenan secara online dengan harga RM50 hingga RM80 sehelai,” katanya seraya menyimpulkan perbualan.

Previous Post Next Post