Raya bulan madu Lana-David


SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri pelakon Lana Nodin pada tahun ini mungkin sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun jiwa Lana mekar menyambut kedatangan Syawal pertama sebagai seorang isteri, namun wanita berusia 35 tahun itu terpaksa berjauhan dengan keluarga demi menemani suaminya, David McKienzie yang terlibat dengan jelajah Persatuan Pemain-Pemain Bola Tampar Profesional (AVP) di Amerika Syarikat (AS) sehingga bulan Ogos depan.

“Sambutan Aidilfitri tahun ini memang berbeza. Jika ketika bujang saya berkongsi kemeriahan hari raya bersama keluarga, kini saya menyambut kedatangan lebaran di sisi suami di Hermosa Beach, California, AS.

“Memang timbul rasa rindu terhadap keluarga kerana terpaksa beraya jauh di perantauan tetapi saya sudah biasa beraya dengan mereka. Jadi, pertama kali beraya berjauhan bukan masalah besar bagi saya,” ujar Lana atau nama lengkapnya Mazlina Hasan Nodin membuka bicara.

Sungguhpun pertama kali menyambut Aidilfitri bersama suami, Lana mengakui tidak terlalu beria-ia dalam menyediakan persiapan dan kelengkapan hari raya mereka berdua.


Ujar Lana, selain sibuk menemani suaminya berlatih, jelajah AVP yang melibatkan David juga berlangsung pada hari raya pertama.

“Memandangkan jadual latihan David penuh dengan sesi latihan dan pertandingan AVP pula diadakan pada 17 Julai lalu, tidak banyak persiapan raya yang disediakan tahun ini.

“Baju untuk digayakan pada hari raya pertama juga tidak disediakan. Bagaimanapun, saya tetap akan memasak hidangan istimewa seperti rendang sebagai tanda datangnya Syawal,” ujar Lana yang menghubungi keluarganya pada hari raya pertama menerusi perkhidmatan Skype.

Kongsi Lana lagi, dia tidak berasa janggal untuk menyambut kedatangan Aidilfitri di luar negara kerana sering bercuti pada hari raya bersama rakan-rakan.

Katanya, dia turut melakukan perkara yang sama pada hari raya tahun ini dengan bercuti sambil berbulan madu bersama David di AS.

“Sejujurnya, saya tidak berasa janggal untuk meraikan Aidilfitri di luar negara. Sebelum ini, saya sering melancong pada bulan Syawal bersama rakan-rakan.



“Biasanya, kami akan terbang ke destinasi pilihan pada hari raya kedua atau ketiga. Antara destinasi yang telah saya lawati adalah Ireland, Bali, Indonesia dan London, England.

“Jadi, untuk tahun ini, saya tetap akan bercuti tetapi berbulan madu bersama suami,” ujar Lana lagi.

Kemeriahan raya

Berbicara mengenai sambutan hari raya, Lana memberitahu, dia berasa sedikit terkilan kerana David tidak dapat merasai kemeriahan berhari raya bersama keluarganya di Malaysia.

Tutur Lana, perkara utama yang ingin diperkenalkan kepada David sempena kedatangan Syawal adalah tradisi memohon maaf dan rutin bersalam-salaman pada pagi raya.

“Memandangkan kali ini merupakan sambutan hari raya pertamanya, jadi saya teringin untuk memperkenalkan David dengan tradisi memohon maaf yang diamalkan setiap kali tibanya hari raya.

“Saya juga mahu dia menikmati keistimewaan kuih-muih raya yang sering dihidangkan bersama ketupat, lemang dan rendang,” katanya lagi.

Perasaan terkilan yang bercambah di hati Lana bagaimanapun tidak berbekas lama kerana dia dan David berpeluang berpuasa selama tiga hari di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke AS pada 20 Jun lalu.

“Saya sempat membawa David berjalan-jalan ke bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa.

“Ini merupakan pengalaman puasa pertamanya di Malaysia, jadi tidak lengkap rasanya jika dia tidak diperkenalkan dengan juadah popular di sini. Lagipun, dia memang kuat makan,” kata Lana sambil memberitahu David cukup menggemari variasi kerepek dan kuih bom air tangannya.

David sudah biasa

Apabila berbicara tentang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, ia bukan perkara yang asing buat David Mckienzie atau nama Islamnya, Mohd. Daud McKienzie, 35.

Tempoh tujuh tahun bertugas di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini banyak mengajar atlet Olimpik itu tentang hukum dan pantang larang sewaktu menjalani ibadah puasa.

Mempunyai ramai kenalan beragama Islam, David juga sudah terbiasa meraikan kedatangan Syawal ketika berada di negara tersebut.

Previous Post Next Post