Shukri Yahaya dan Dayana Roza bukti kemampuan



MENITI perjalanan sebagai seorang anak seni tidaklah semudah yang dijangka lebih-lebih lagi kejayaan mereka tidak hanya bergantung kepada bakat semata-mata.

Nasib dan rezeki turut menjadi kayu pengukur untuk mereka berada sebaris dengan nama besar yang lain.

Bermula dari bawah, pelakon sedang meningkat naik Shukri Yahaya dan Dayana Roza kini dilihat giat melakar kejayaan masing-masing apabila drama yang dilakonkan menerusi Dia Isteri Luar Biasa dan Asam Pedas Untuk Dia berjaya mencuri tumpuan penonton.

Berkongsi keterujaan itu, Shukri meluahkan rasa gembira kerana lakonannya kini menjadi perhatian penonton.

“Saya mengaku sebelum ini mungkin ramai yang masih belum mengenali saya dan lakonan saya tapi sekarang situasi itu telah bertukar.

“Drama itu memang memberi impak yang kuat dalam karier lakonan saya, jadi untuk tidak mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan, saya mahu lebih fokus.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan tidak putus berbanding sebelum ini,” katanya sambil tersenyum lebar.

Tambahnya lagi, untuk terus mewarnai karier lakonannya, Shukri lebih terbuka untuk menggalas tanggungjawab memegang watak yang berbeza dalam setiap lakonannya.

“Sudah pasti setiap lakonan saya mahu tampil berbeza supaya penonton menerima lakonan yang lebih segar daripada saya. Lebih banyak watak yang saya bawa, lebih banyak perkara yang saya belajar.

“Saya gembira kerana setakat ini pengarah dan penerbit memahami dan memberi ruang kepada saya untuk sentiasa mencuba sesuatu yang baharu dalam lakonan saya,” ujarnya yang bakal muncul dengan drama terbaharu slot Samarinda ‘Surah Buat Maisarah’ bergandingan
dengan aktres Syatila Melvin.

Turut melalui perkara yang sama, Dayana enggan meletakkan dirinya dalam zon selesa malah akui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam lakonannya.

“Memang Asam Pedas Untuk Dia beri impak yang besar tapi saya tidak mahu meletakkan diri dalam zon yang selesa kerana masih banyak perkara yang saya perlu belajar untuk perbaiki lakonan saya.

“Apa yang paling penting bagaimana saya mahu mengekalkan momentum ini supaya saya mampu lebih bertahan dalam industri ini.

“Kalau diikutkan, saya tidaklah terlalu memilih dalam menerima tawaran memandangkan inilah lubuk rezeki.

“Tapi untuk kebaikan karier, saya juga perlu juga menitik beratkan kualiti sesebuah tawaran. Jika saya diberikan sinopsis yang berkualiti saya anggap ia sebagai bonus,” jelasnya.

Biarpun terpaksa ambil masa enam tahun untuk lebih dikenali, Dayana yakin semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.

“Kekuatan saya adalah ibu saya sendiri yang tidak pernah putus beri sokongan.

“Bagi saya, perjalanan seseorang artis itu berbeza, ada yang cepat naik dan sebaliknya.

“Saya sendiri tidak terlalu memikirkan soal itu kerana saya percaya pada rezeki,” katanya panjang lebar.


Shukri bakal umum tarikh nikah

Dalam sibuk membina nama, bintang Menjinak Ombak ini turut berkongsi kisah gembira apabila dikatakan sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang bersama wanita pilihannya Tya Adnan, 23 yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

“Insya-ALLAH, semuanya masih dalam perbincangan lagi.

“Memang dalam perancangan, kami akan bernikah tahun ini tapi semuanya masih bergantung pada perbincangan selanjutnya memandangkan kami masih belum ada tarikh yang tetap.

“Kalau semuanya sudah ditetapkan, saya akan hebatkan nanti,” katanya.

Sempat diusik dengan pertanyaan apakah ciri-ciri istimewa yang ada pada bakal isterinya itu, Shukri akui personaliti yang menarik adalah perkara yang membuatkan dirinya memilih wanita tersebut sebagai teman hidupnya.

“Dulu kami pernah berlakon bersama dan sejak itu saya mengenalinya.

“Personaliti dia dari segi percakapan dan pergaulan kami ketika itu membuatkan saya jatuh hati padanya,” ujarnya sambil tersenyum lebar.

Lebih matang selepas putus cinta - Dayana

Manusia hanya merancang dan Tuhan menentukan segalanya. Cinta yang disulam bersama salah seorang pemain bola sepak kebangsaan sejak dua tahun lalu akhirnya menemui jalan buntu.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Dayana menganggap apa yang berlaku sebagai perkara yang mematangkan dirinya.

“Alhamdulillah, kehidupan saya berjalan seperti biasa dan apa yang berlaku tidak langsung menjejaskan kehidupan dan karier saya hari ini.

“Bagi saya, apa yang berlaku biarlah berlaku dan apa yang penting kehidupan saya pada hari mendatang,” ujarnya kini sibuk menjalani penggambaran drama 30 episod Memori Cinta 3 tayangan Hip TV.

Buat masa ini, Dayana memberitahu dia masih belum bersedia untuk memikirkan soal percintaan malah mahu lebih fokus pada karier terlebih dahulu.

“Apa yang berlaku banyak mematangkan diri saya. Selepas ini juga saya akan lebih berhati-hati dan tegas bila ia melibatkan hati dan perasaan.

“Tapi biarlah buat masa ini saya beri tumpuan kepada karier,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post