Syafie Naswip belum matang?



MESKIPUN sudah berusia 23 tahun, namun pelakon, Syafie Naswip masih membintangi watak kanak-kanak dan remaja.

Mungkin ramai yang berpendapat di usianya kini, pelakon Mukhsin ini sepatutnya membawa watak yang lebih matang seiring usianya.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar, Mohammad Syafie Naswip tidak kisah membawa watak apa sahaja selagi bakatnya diperlukan dalam industri.

“Dalam usia sekarang, saya hanya pernah sekali membawa watak sebagai bapa. Tidak dinafikan memang susah untuk terima tawaran sebegitu (dewasa) dan sampai sekarang saya masih banyak terima tawaran jadi kanak-kanak.

"Namun saya tidak pernah memilih watak dan tidak mengapa kalau sering diberi watak kanak-kanak kerana saya anggap itulah rezeki saya," katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan program Ramadan TV3 dan TV9, baru-baru ini.


Punya perancangan tersendiri, Syafie berkata, sudah pasti dia teringin untuk membawa watak yang lebih matang dan mencabar seiring dengan usianya.

“Saya kira umur 26 tahun nanti, barulah lebih sesuai untuk membawakan watak dewasa. Sekarang saya tidak mahu terburu-buru mengenai soal watak itu.

“Buat masa sekarang, saya serah pada ketentuan ALLAH,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan dirinya, Syafie memberitahu, dia menerajui watak utama menerusi sebuah drama raya berjudul Wadi yang bakal ditayangkan di TV3.

“Wadi seorang budak remaja nak jadi pelari, jadi dia nak capai impian itu. Tetapi dalam masa sama mempunyai masalah keluarga.

“Namun saya suka perjalanan ceritanya dan ini pengalaman berharga saya sepanjang berlakon,” katanya.

Previous Post Next Post