Takdir seni Melissa, Syafie & Balqis


SYAFIE, Melissa dan Balqis berkongsi banyak persamaan tentang pemikiran dan hala tuju bergelar pelakon.

Tiga insan seni, Melissa Saila, Syafie Naswip dan Putri Balqis sengaja digandingkan dalam sesi fotografi baru-baru ini kerana mereka memiliki sejarah yang sama. Mereka terjun ke dunia lakonan tanpa disengajakan ketika masih kanak-kanak.

Tidak pernah bermimpi untuk bergelar insan popular mahupun meraih pendapatan lumayan pada usia muda, namun bersyukur dengan takdir yang membawa mereka menjadi seorang anak seni.

Bermula sekadar suka-suka dan kerana wang, akhirnya mereka bertiga jatuh cinta terhadap bidang lakonan. Hari ini mereka mengakui sukar untuk meninggalkan ‘padang’ yang telah banyak mengajar ilmu kehidupan itu.

Jika Syafie dan Balqis masih aktif sebagai pelakon, Melissa yang kini merupakan ibu kepada tiga orang anak lebih selesa duduk di belakang tabir sebagai pengarah dan guru lakonan.

Antara karya arahannya yang meraih perhatian masyarakat termasuklah telefilem istimewa Biopik Saloma yang diterbitkannya sendiri menerusi syarikat produksi Kus Semangat Aktor.

Bercerita tentang pengalamannya bergelar pelakon cilik, Melissa yang kini berusia 43 tahun memberitahu, dunia lakonan bukanlah satu perkara asing baginya sejak kecil. Darah seni daripada ibunya, Seniwati Mariani cukup kuat mengalir dalam tubuh Melissa. Ditambah pula ibunya sering membawanya ke set penggambaran ketika kecil.

Disebabkan itu, set penggambaran ibarat taman permainan baginya. Kelibat Melissa pertama kali terlihat di layar perak menerusi filem Perjanjian Syaitan yang turut dilakonkan Allahyarham Azean Irdawaty. Ketika itu, umurnya baru mencecah enam tahun dan penglibatan dalam filem tersebut telah menurunkan hujan tawaran buat Melissa.


“Sejak berlakon dalam filem tersebut saya dilimpahi tawaran lakonan dan terus bergelar pelakon sepenuh masa. Waktu itu saya hanya fikir keseronokan di set penggambaran sahaja. Saya tidak tahu apa-apa, sebaliknya hanya mengikut arahan yang diberikan pengarah.

“Bila difikir kembali, zaman kanak-kanak dan remaja saya banyak dihabiskan di set penggambaran tidak seperti kanak-kanak lain. Namun, saya tidak pernah menyesal kerana bidang seni memberi pelbagai ilmu kehidupan yang tidak diajar di sekolah dan membentuk jati diri Melissa Saila hari ini,” ujar isteri kepada Megat Fauzi Shukarnain itu.

Sambung Melissa, terdapat juga keburukan apabila bergelar seorang pelakon pada usia muda. Akibat sering diejek dan dibuli oleh rakan di sekolah, dia lebih selesa berada di set penggambaran.

“Perkara itu menyebabkan saya tertekan dan tidak suka ke sekolah. Sebaliknya, lebih selesa berada di set penggambaran. Zaman sekarang berbeza kerana kanak-kanak berlumba-lumba untuk menjadi pelakon. Kadangkala ibu bapa mereka yang berlebih-lebih mahu anak jadi popular.

“Jika anak itu berbakat dan berminat dalam lakonan, perkara tersebut bagus kerana awal-awal sudah diketahui arah tuju kerjayanya. Sebaliknya, ada anak yang tidak boleh berlakon tetapi dipaksa oleh ibu bapa. Saya harap, ibu bapa yang terlalu ingin melihat anak menjadi popular menilai sendiri bakat anak terlebih dulu,” katanya yang menggemari menu mi Siam Singapura setiap kali tibanya Syawal.

Bagaimanapun bergelar seorang pelakon cilik bukan satu perkara yang mudah. Terlalu banyak tekanan yang terpaksa dihadapi, terutamanya pada zaman moden hari ini. Justeru, Melissa enggan membenarkan anak-anak mengikut jejaknya bergelar pelakon pada usia muda.

“Zaman sekarang dan dahulu tidak sama. Pelakon kanak-kanak hari ini menghadapi cabaran lebih besar. Contohnya Balqis. Apa sahaja yang dilakukannya akan diketahui peminat. Bukan itu sahaja, peminat hari ini juga bebas memberi komen positif atau negatif di laman sosial tanpa menghirau perasaan pelakon tersebut.

“Jika tidak kuat mental, secara tidak langsung akan memberi tekanan kepadanya. Oleh itu, saya tidak membenarkan anak-anak berlakon pada usia muda meskipun terdapat permintaan. Biarlah mereka belajar dan menikmati zaman kanak-kanak terlebih dulu. Andai pada masa depan ditakdirkan juga mereka terlibat dalam bidang seni, saya tidak akan menghalang,” luah Melissa yang beraya di Kuala Lumpur saban tahun.

Berlakon kerana wang - Syafie

Aktor berbakat, Syafie Naswip mula bergelar seorang pelakon pada usia 14 tahun tanpa dirancang. Semuanya bermula apabila dia menemani sepupunya yang ingin menghadiri uji bakat filem Mukhsin pada 2006.

Takdir menyebelahinya apabila terpilih sebagai pelakon utama filem arahan Yasmin Ahmad itu. Meskipun memiliki bakat lakonan yang hebat, Syafie mengakui, awalnya jalan lakonan diteruskan kerana wang.

Kata pemuda berusia 23 tahun itu, dunia lakonan dilihat sebagai salah satu jalan untuk membantu meringankan beban ibu bapa.

“Saya akui, mula-mula dahulu, saya berlakon hanya kerana wang. Sebab dengan lakonan sahaja saya dapat membantu ibu bapa dan mengubah nasib keluarga. Jika tiada wang bagaimana mahu meneruskan kehidupan?,” soalnya kembali.

Bagaimanapun seiring dengan peredaran waktu, minat lakonannya semakin menebal. Jika dahulu dilakukan kerana wang, hari ini, anak tunggal kepada Norsiah Ahmad dan Naswip Abu Nawas itu berlakon kerana minat.

“Seseorang pernah menasihati saya agar berlakon secara ikhlas bukan kerana wang. Alhamdulillah, nasihat itu membuatkan saya melihat dunia lakonan daripada perspektif berbeza. Walaupun pernah tiada hati untuk berlakon dan berehat selama dua tahun selepas Allahyarham Yasmin Ahmad meninggal dunia, saya tetap kembali ke dunia lakonan.

“Apabila dikenang kembali, sebelum bergelar pelakon lagi, saya memang sudah berminat dengan dunia seni seperti tarian dan lukisan. Memang dunia seni merupakan takdir yang harus saya jalani. Jika tidak bergelar pelakon, saya mungkin menjadi seorang pelukis,” tuturnya.

Sambung Syafie, selain bergelar pelakon sepenuh masa, dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang penulis skrip pada masa hadapan. Katanya, hidup penuh dengan pilihan dan dia memilih untuk kekal dalam bidang seni.

“Saya pernah terfikir untuk berhenti berlakon dan beralih ke bidang lain. Namun, saya sedar hanya bidang lakonan dapat memberi pendapatan lumayan dalam kadar segera. Walaupun pendapatan tidak stabil setiap bulan, tetapi jika bijak mengatur perbelanjaan, pelakon masih boleh hidup senang,” katanya yang beraya di Kuala Lumpur.

Balqis mahu jadi jutawan

Bakat pelakon cilik yang sedang popular, Putri Balqis Azizi, 8, tidak perlu dipertikaikan. Sementelah, dia pernah meraih dua anugerah menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin dan Asian Television Awards 2014.

Bermula sebagai pelakon tambahan dan model iklan sejak berusia dua tahun setengah, bakat Balqis meraih perhatian khalayak apabila berlakon dalam drama bersiri Gemilang arahan pengarah terkenal, Kabir Bhatia.

Selepas lima tahun bergelumang sebagai anak seni, Balqis tidak pernah melupakan niat asalnya iaitu mengumpul wang untuk bergelar jutawan pada masa hadapan.

“Saya berlakon untuk kumpul modal bagi membuka perniagaan masa depan. Sekitar hujung tahun ini, saya akan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu untuk mempelajari ilmu perniagaan daripada orang di sana bersama ibu dan bapa.

“Walaupun lakonan memberi pendapatan lumayan tetapi tidak boleh menjamin masa depan. Ibu bapa saya masih lagi berniaga di bazar, jadi saya mahu mengubah nasib keluarga untuk memberi kehidupan yang lebih stabil,” kata Balqis yang cukup petah berkata-kata.

Tegas Balqis, meskipun namanya telah dikenali ramai tetapi sebagai seorang pelakon, dia tidak boleh berada di zon selesa. Justeru, dia masih mempelajari ilmu lakonan daripada pelakon senior supaya momentumnya tidak merundum.

“Sepanjang berlakon saya tidak pernah melihat lakonan sendiri di kaca televisyen. Sebabnya, ibu bapa tidak menggalakkan saya menonton televisyen tetapi membenarkan menonton filem sahaja. Jadi, saya banyak belajar memperbaiki mutu lakonan di set penggambaran dan juga dengan menonton filem,” ujarnya yang menyambut raya di Kedah.

Disoal tidakkah terasa rugi kerana terpaksa bekerja pada usia yang masih muda, tanpa berfikir panjang, Balqis menggelengkan kepalanya. Katanya, dia tidak kisah terpaksa belajar di rumah dan bekerja pada masa yang sama sedangkan kanak-kanak seusia dengannya bebas bermain tanpa memikirkan masa depan.

“Kalau lama tidak berlakon saya akan rasa rindu. Saya memang minat dan suka dengan lakonan. Tiada sebarang paksaan daripada ibu bapa. Bersekolah di rumah merupakan pilihan terbaik. Jika ke sekolah saya akan diejek rakan-rakan. Tambahan, guru boleh mengikut jadual waktu saya.

“Saya melihat masa depan yang cerah dalam bidang seni. Sampai waktunya, saya akan membuka perniagaan sendiri dan menjadikan lakonan sebagai pekerjaan sampingan,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post