Ziela Jalil Tiada niat promosi maksiat


ZIELA menganggap kritikan peminat sebagai pembakar semangat untuk beliau menghasilkan karya lebih baik pada masa akan datang.

SEBUAH naskhah memungkinkan aneka penerimaan. Sebuah lagu misalnya boleh mempopularkan nama seorang penyanyi biasa menjadi luar biasa dan sebuah filem atau drama hebat di kaca televisyen, mampu mengangkat seseorang pelakon menjadi hero serta heroin pujaan.

Dilihat dari sudut positif, terutamanya terhadap pelakon, drama bersiri Teman Lelaki Upahan misalnya, telah menjenamakan semula kemunculan Ungku Ismail sebagai aktor berkaliber, Hati Perempuan memperkenalkan Mia Ahmad dan Dia...Isteri Luar Biasa menghangatkan nama Shukri Yahaya sebagai hero yang harus diberi perhatian. Setiap drama juga ada fenomena tersendiri.

Drama bersiri yang baru tamat siaran, Dia...Isteri Luar Biasa tidak kurang hebat penangannya. Selain menjadikan Shukri Yahaya sebagai aktor paling laris sepanjang Ramadan ini, drama berkenaan juga mengheret penerbitnya Datin Ziela Jalil yang mewakili rumah produksi Pena Creative ke kancah sensasi.

Drama Dia... Isteri Luar Biasa dianggap terpesong daripada ajaran agama Islam. Selaku penerbitnya, Ziela dipersalahkan kerana telah mempersembahkan drama maksiat di kaca televisyen untuk tontonan umum. Dalam sekeping surat terbuka oleh peminat kepada Ziela, penerbit itu diselar dan dikritik.

Sebagai penerbit Melayu yang beragama Islam dan menggunakan khidmat pelakon yang beragama Islam, beliau didakwa menghasilkan naskhah tidak bermoral, tidak sensitif terhadap agama dan mengelirukan golongan remaja terutama tentang halal haram antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim.


Artis Meletop!: Setelah dihujani dengan bermacam kritikan sejak awal penyiaran sehinggalah muncul surat terbuka mengecam kandungan drama bersiri Dia... Isteri Luar Biasa, sebagai penerbit dan orang yang bertanggungjawab terhadap penghasilan naskhah tersebut, adakah Ziela berdepan tekanan dan runtuh semangat untuk terus berkarya?

ZIELA: Tidak, sebaliknya saya ambil segala kritikan tersebut dari sudut positif. Kandungan surat tersebut tidak semuanya berbaur negatif. Saya anggap kalau seorang memandang negatif, 100 orang lagi akan memberikan komen positif. Saya ketepikan komen negatif dan ambil yang positif. Perasaan tersentak itu ada, tetapi tidaklah sampai meruntuhkan semangat.

Drama berkenaan dikatakan keterlaluan memperlihatkan adegan mesra antara pelakon, walaupun membawa watak suami isteri, mereka tetap bukan muhrim. Penulis surat terbuka itu meluahkan rasa malu kerana drama itu ditonton oleh anak-anak, tulisnya niat berkarya juga tidak boleh menghalalkan cara. Apa respons anda?

Apabila masuk bab agama, saya memang tidak boleh mengiakan benda yang salah. Apa yang boleh saya katakan, banyak kekangan yang terpaksa dilalui. Saya juga percayakan profesionalisme dalam berkarya. Naskhah itu telah diserahkan kepada penulis skrip dan pengarah. Pihak stesen juga faham tentang kandungan drama tersebut. Apabila ia disiarkan, sudah tentu saya akan buat promosi agar ia ditonton ramai.

Anda dituduh membawa maksiat dengan memaparkan perhubungan dan kemesraan yang berlebihan di antara dua pelakon semata-mata untuk menggambarkan hubungan suami isteri, komen anda?

Saya tidak boleh minta penonton yang tidak suka adegan berkenaan supaya tukar saluran. Bagi saya, kanak-kanak mungkin masih kurang faham soal hubungan tetapi untuk anak-anak yang sedang meningkat remaja, sekarang zaman internet. Kalau bukan daripada televisyen, mereka pandai cari apa yang mereka mahu tonton. Semuanya di hujung jari dan perkara berkenaan sukar dibendung.

Jadi, jangan jadikan televisyen sebagai alat meruntuhkan akhlak. Benda ini terpulang kepada individu atau penonton itu sendiri. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mendidik anak-anak.

Walau bagaimanapun, saya okey dan menerima semua teguran itu secara positif. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada penulis surat berkenaan. Saya minta maaf dan insya-Allah saya akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya yang lebih baik.

Drama berkenaan merupakan naskhah adaptasi novel yang kandungannya pasti telah diketahui oleh anda, mengapa ia masih dipilih untuk dijadikan drama?

Saya pilih naskhah berkenaan kerana tertarik dengan isu kekeluargaan yang dipaparkan. Hubungan adik-beradik, ibu dan anak, begitu juga hubungan suami isteri. Niat saya bukan hendak menghasilkan sesuatu yang lucah atau mensensasikan cerita. Awalnya ramai yang tertanya-tanya tentang sikap heroin yang mahu mengambil kesempatan atas kebaikan hero tetapi lama-lama penonton boleh menerima mesej cerita berkenaan. Ramai juga yang beri pandangan positif. Contohnya, kalau suami bersikap penyabar, isteri yang tidak sempurna pun akan berubah menjadi lebih baik.

Selepas ini, ada sebarang projek terbaharu?

Ada. Sebuah drama raya terbitan saya sedang menjalani penggambaran. Sebuah lagi drama lakonan Shukri Yahaya, hero saya dalam Dia... Isteri Luar Biasa akan muncul dengan drama epik berjudul Cinta Qasidah bersama Ummi Nazeera. Drama itu akan disiarkan hujung Ramadan nanti.

Previous Post Next Post