Zulin Aziz mengarah tiga janda


Biarpun sudah berhijab, bicara pengacara dan pelakon, Zulin Aziz masih seperti dahulu, ramah dan kelakar.

Ada keseronokan luar biasa yang dikesan saat Zulin berbicara tentang sambutan Aidilfitrinya kali ini.

Selain seronok beraya kali pertama dengan menyarung hijab, kata Zulin, sambutan raya kali ini juga meriah apabila semua keluarganya dapat berkumpul dan mengadakan hari keluarga.

“Alhamdulillah, raya tahun ini meriah sebab famili saya buat hari keluarga. Ramai-ramai berkumpul dan kami juga mengadakan sambutan hari jadi sepupu.

“Siap ada hadiah dan bermacam-macam aktiviti serta pertandingan dengan ahli keluarga,” kongsinya yang hanya bercuti selama dua hari sempena Aidilfitri kali ini kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.


Menyambut Aidilfitri di Pantai Remis, Perak, ujar Zulin, Aidilfitri kali ini juga berbeza dengan yang sebelum-sebelum ini kerana dia tidak dapat menikmati juadah rendang.

“Tahun ini famili buat nasi minyak. Jadi tak dapat makan rendang. Bila balik Kuala Lumpur raya ketiga, baru dapat rasa makan rendang,” katanya sambil ketawa.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaharunya dalam bidang seni, Zulin memberitahu, dia bakal mengarahkan teater berjudul Tiga Janda Kampung Bharu.


ZULIN hanya sempat menyambut raya selama dua hari di kampung pada tahun ini kerana komitmen kerja.

Masih mencari pelakon dan tarikh yang sesuai untuk dipentaskan, namun ujar Zulin, sahabat baiknya, Sherry Abdullah Al-Hadad, sudah menyatakan persetujuan untuk berlakon di dalam teater tersebut.

“Barisan pelakon masih lagi dalam perbincangan. Cuma yang sudah setuju adalah Sherry dan saya sendiri. Teater tersebut berbentuk semi muzikal dan ia bergenre komedi.

“Saya harap komedi yang disampaikan menjadi hendaknya dan mampu membuatkan orang ketawa,” luahnya yang akan mengacarakan Anugerah Lawak Warna 2015 bersama Sherry dan Datuk AC Mizal yang akan berlangsung pada 21 Ogos depan.

Selain itu, kata Zulin, dia juga bakal masuk studio untuk merakamkan single pertamanya pada hujung tahun ini.

Previous Post Next Post