AF2015 tiada pantang larang


SERAMAI 16 orang peserta terpilih untuk bertanding dalam program realiti paling popular, AF2015.

SELEPAS Mohd. Firman Bansir atau Firman dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia 2014 (AF2014) akhir tahun lalu, program realiti nyanyian popular tersebut kembali menemui penonton menerusi musim baharu.

Menampilkan komposer dan penerbit muzik terkemuka, Edry Abdul Halim sebagai pengetua, Akademi Fantasia 2015 (AF2015) menjanjikan sedikit keunikan selain mengekalkan format lama sebagai sebuah pertandingan nyanyian yang digemari ramai.

Sewaktu ditemui pada sidang akhbar pengumuman barisan tenaga pengajar dan bakal pelajar AF2015 di First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Edry berkata, beliau mahu sebuah proses pembelajaran dua hala yang interaktif serta mampu memberikan kelainan dalam setiap persembahan yang ditampilkan.

“Tahun ini mungkin sedikit berbeza berbanding musim yang sebelumnya. Sebagai pengetua, saya mahu menggalakkan pelajar-pelajar berkarya dari segi pemilihan lagu sehingga proses persembahan di atas pentas.

“Dengan kredibiliti dan bantuan yang akan diberikan oleh tenaga pengajar, tema ‘berkarya’ yang ingin saya terapkan mampu memberikan kelainan seterusnya menampilkan sesuatu yang baharu terhadap AF2015,” jelasnya.


Jika sebelum ini mantan pengetua AF2014, Datuk Hattan enggan membenarkan para pelajarnya menyanyikan lagu-lagu dari Indonesia, Edry bagaimanapun lebih bersikap terbuka dalam proses pemilihan lagu.

“Saya tidak mahu meletakkan sebarang pantang larang dalam AF2015. Tidak kira siapa komposernya, jika kami rasa lagu tersebut sesuai dan popular pada masa kini, maka ia boleh dinyanyikan oleh pelajar,” ulasnya ringkas.

Dalam pada itu, Edry mengakui pernah berasa kurang bersetuju dengan proses undi masuk atau AFMASUK yang sering diterapkan dalam kebanyakan musim AF bagi membolehkan pelajar yang tersingkir kembali bertanding.

Namun, beliau terpaksa akur dan percaya bahawa konsep tersebut diperlukan dalam program berbentuk realiti.

“Saya akui kurang bersetuju jika konsep undian masuk diteruskan. Bagaimanapun, setelah berbincang dengan pihak produksi, baru saya sedar tentang kepentingan konsep berkenaan.

“Harus diakui, ada peserta yang sangat berbakat tersingkir di tengah jalan akibat tidak cukup undian. Jadi, dengan cara ini, mereka dapat kembali beraksi dan membuktikan bakat kepada umum,” jelasnya yang ingin melihat konsep tersebut diaplikasikan dengan cara pemilihan mengikut juri, bukan penonton mahupun peminat.

AF2015 menampilkan gabungan semula barisan tenaga pengajar yang pernah terlibat dengan Akademi Fantasia musim terdahulu.

Mereka ialah Acis yang dilantik sebagai pengarah muzik untuk konsert mingguan, Shahrol (guru vokal) Fatimah Abu Bakar (guru motivasi dan Bahasa Inggeris), Linda Jasmine (guru tarian dan koreografi), Fauziah Nawi (guru seni persembahan) dan Que Haidar (guru pementasan).

Selain itu, seramai 16 orang bakal pelajar AF2015 turut diperkenalkan. Terdiri daripada lapan pelajar lelaki dan lapan perempuan, mereka ialah Sharul atau Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 19, yang berasal dari Negeri Sembilan, Iqwan (Muhammad Ikhwan Alif Salim), 20, Perak, dan Syamel (Syameel Aqmal Mohd. Fodzly), 22, Kuala Lumpur.

Turut tersenarai, Openg (Anthonasius Jadil), 23, Sabah; Faroq (Muhammad Amyroulfarouk Mohd. Nor), 23, Melaka; Sufi (Mohammad Sufie Rashid), 24, Singapura; Syahid (Khairul Mohd. Syahid Abu Hassan), 27, Melaka dan Wili Suili George, 28, Sabah.

Sementara itu, lapan orang pelajar perempuan yang terpilih ialah Bila (Nurnajmi Nabila Samsaidi), 19, Kuala Lumpur; Ziqa (Nurhusnina Haziqah Naharuddin), 19, Johor; Arisa (Sharmaine Arissa Shahrudin), 21, Selangor dan Aziah (Aziah Awang), 21, Sabah.

Ifa (Sharifah Nabilah Syed Azhar), 21, Kedah; Lisa (Allyssa Joanne Anak Jambi), 22, Sarawak; Rachel (Ang Hui San), 23, Pahang dan Dalila (Nurdalila Mohamed Yusof), 23, dari Singapura turut terpilih dalam musim ini.

Program pengenalan Tirai AF 2015 akan bersiaran sebanyak dua episod bermula Ogos pukul 9 malam.

Selain itu, pembelajaran harian pelajar boleh ditonton menerusi liputan harian Diari AF 2015 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 malam bermula 3 Ogos.

Konsert mingguan AF 2015 pula akan bersiaran secara langsung bermula 9 Ogos dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap hari Ahad, pukul 9 malam.

Bagaimanapun, 16 pelajar yang terpilih tersebut bakal melalui proses saringan akhir pada konsert pertama menerusi penjurian yang dilakukan oleh tenaga pengajar.

Jumlah pelajar yang bakal meneruskan perjuangan dalam AF 2015 hanya akan terjawab pada malam konsert penentuan itu nanti.

Selain itu, AF2015 juga sekali lagi memberi kepercayaan kepada Zizan Razak dan Faizal Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara konsert mingguan. Bekas pelajar AF musim pertama, Nana Mahazan berperanan sebagai pengacara Diari AF2015.

AF2015 akan bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Previous Post Next Post