Cerita merdeka Mamat, Altimet & Liyana


ALTIMET, Mamat dan Liyana berpendapat penting untuk kita mengingati dan menjaga kemerdekaan yang dimiliki hari ini.

SUASANA Ilham Galeri yang terletak di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang sunyi bertukar riuh rendah sebaik sahaja tiga insan seni, pengarah terkenal, Mamat Khalid, penyanyi rap, Altimet dan pelakon, Liyana Jasmay bertemu. Mereka bertiga disatukan dalam sesi fotografi khas Kosmo! sempena sambutan kemerdekaan ke-58 yang disambut seluruh rakyat Malaysia pada hari ini.

Apa yang menariknya, Mamat sanggup datang dari Ipoh, Perak semata-mata mahu memenuhi undangan sesi fotografi kami. Bukan itu sahaja, beliau juga hadir lengkap berbaju Melayu dengan samping dan songkok. Sambil tersenyum, Mamat berkata, beliau sengaja memilih busana tradisional kerana sesi fotografi ini bersifat patriotik.

Altimet yang duduk di sebelahnya turut tersenyum bangga kerana dia juga memakai pakaian lengkap dengan lambang bulan bintang dan jalur bendera Malaysia. Begitu juga dengan Liyana Jasmay yang sengaja memilih pakaian berwarna biru putih, inspirasi daripada warna bendera kebangsaan.

Meskipun lahir selepas zaman kemerdekaan namun, apabila diminta bercakap tentang merdeka, masing-masing mempunyai pendapat dan pemahaman tersendiri. Walaupun tidak memegang senjata mahupun bekerja dalam pasukan tentera atau polis, apa yang pasti, nilai patriotik sebagai anak Malaysia cukup tinggi dalam diri mereka bertiga.


Mamat kaji sejarah

Apabila diajak bercakap tentang kemerdekaan, Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd. Khalid yang kini berusia 52 tahun mempunyai banyak rasa yang diluahkan tanpa titik noktah. Ya, beliau orang lama, yang terlebih dahulu makan garam dan pernah juga merasa bagaimana peritnya hidup merantau di Jerman ketika zaman mudanya.

Justeru, filosofi merdeka dari hatinya lebih mendalam berbanding orang yang lebih muda. Sebelum membuka mulut, disusun-susun ayat supaya bait biacaranya tidak disalah erti.

“Bagi saya kemerdekaan adalah saya bebas meluahkan keinginan dan harapan terhadap negara. Perkara itu dianggap masih patriotik,” katanya sambil mata memandang tepat kepada penulis.

Kebebasan meluahkan sebarang fikiran digunakan dengan baik dalam ruang seni dan kerjayanya sebagai pengarah filem. Oleh itu, beliau cukup terkenal sebagai seorang pengarah filem yang sinikal. Setiap hasil karyanya seperti Man Laksa dan Hantu Kak Limah Balik Rumah sarat dengan kritikan sinis walaupun dalam masa yang sama penonton mampu ketawa terbahak-bahak dengan humor yang diselitkan.

Perkara tersebut diakui oleh Mamat sendiri dan memberitahu beliau merupakan seorang yang suka memberontak dengan caranya tersendiri. Filem adalah salah satu ruang seni yang membenarkannya membuat begitu.

“Ya, memang saya suka memberontak dengan cara sendiri. Namun, sebelum itu saya akan mengkaji sejarah dan memahaminya menerusi pembacaan terlebih dahulu. Selepas faham barulah saya akan lakukan tindakan seterusnya.

“Cuma bagi saya kemerdekaan datang bukan dengan percuma jadi, sebagai rakyat Malaysia kita harus hargainya. Saya anggap jika orang yang tidak hargai kemerdekaan sebagai seorang yang buta hati dan dia perlu lagi banyak membaca,” ujar Mamat.

Beralih cerita tentang pengalamannya menyambut merdeka, beliau terus terkenang zaman kanak-kanaknya ketika membesar di kampung halamannya di Ipoh, Perak. Masih terbayang di depan mata, bagaimana teruja orang dari seluruh pelosok kampung keluar ke pekan Ipoh semata-mata mahu menyambut dan menonton perarakan khas yang dilakukan hanya setahun sekali itu.

Penuh semangat berbaris di tepi jalan, kata beliau lagi, setiap orang datang dengan bangga mengibarkan bendera Malaysia saat pasukan badan beruniform memulakan langkah perbarisan.

“Waktu itu, memang bangga dapat kibarkan bendera Malaysia. Bukan semua orang ada televisyen, jadi pergi ke pekan menonton perarakan merupakan perkara wajib dan umpama pesta. Rasa seronok sangat masa itu sebab kiri kanan tidak kira kaum sama-sama berbangga dengan negara Malaysia.

“Sebab itu saya harap sangat supaya hargai apa yang kita ada sekarang ini. Mungkin negara luar lebih maju dan bagus pada pandangan mata kita yang berada di Malaysia. Namun, apabila menetap sendirian di luar negara barulah sedar bahawa Malaysia tetap terbaik dan nombor satu di hati,” katanya.

Pandang masa depan – Altimet

Berbicara tentang kemerdekaan, penyanyi Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 36, menyifatkan ia bukan sekadar imbasan sejarah yang perlu diraikan setiap tahun. Sebaliknya apa yang lebih penting adalah merancang masa depan.

“Merdeka adalah hari untuk kita ingati apa yang telah berlaku. Namun, bagi saya apa yang lebih penting adalah merancang masa depan bukannya memandang ke belakang sahaja. Penjajahan memang berlaku tetapi ia sudah berlalu. Jadi, penting untuk kita rancang masa depan supaya perkara yang sama tidak berulang,” tuturnya penuh serius.

Apabila beralih cerita kepada sambutan kemerdekaan, Altimet secara jujur menerangkan dia cukup mengambil berat mengenainya tetapi tidak menzahirkan perkara tersebut menerusi bentuk fizikal seperti mengibarkan bendera di segenap ruang. Katanya, dia lebih senang membaca dan memahami sejarah supaya semangat kemerdekaan tersebut tidak hilang sebaik tamatnya bulan merdeka.

“Baca, faham dan simpan dalam hati, itu paling penting,” ujarnya penuh makna.

Bagaimanapun, Altimet juga mempunyai persamaan dengan Mamat yang gemar menggunakan ruang seni untuk meluahkan perasaan terhadap negara. Jika Mamat menggunakan filem, Altimet pula menggunakan muzik untuk meluahkan rasa cintanya terhadap negara. Antaranya menerusi lagu Bangkit yang dinyanyikan bersama kumpulan Salammusik.

Lagu berkenaan mempunyai sentuhan yang luar biasa sehingga sering diputarkan di radio terutamanya ketika perlawanan bola sepak melibatkan pasukan kebangsaan.

“Saya cipta lagu tersebut secara tidak sengaja dan itulah satu-satu lagu berjiwa patriotik yang pernah saya hasilkan. Bukan tidak mahu membikin lagu lain yang membangkitkan semangat dan sayangkan negara, tetapi seni itu tidak boleh dipaksa.

“Ketika menciptanya, saya lakukan dengan ikhlas hati dan tidak menyangka lagu itu akan popular serta menjadi lagu wajib untuk membangkitkan semangat,” ujarnya.

Liyana Jasmay bersyukur

Sementara itu, pelakon dan penerbit Liyana Jasmay, 27, pula bersyukur dilahirkan selepas zaman kemerdekaan. Katanya, tanpa kemerdekaan berkemungkinan besar dia tidak akan merasa kesenangan dan kebebasan yang dimiliki hari ini.

“Saya bersyukur menjadi anak merdeka dan kita bebas lakukan apa sahaja. Disebabkan negara yang aman dan banyak peluang yang ada, pada usia muda saya sudah memiliki kerjaya dan perniagaan yang stabil,” luahnya yang kini hamil anak kedua.

Apabila disoal tentang sambutan kemerdekaan, kotak fikiran ibu kepada Sofia Arissa, 1 tahun 3 bulan itu segera melayang pada zaman persekolahannya. Katanya, dia tidak terkecuali merasai pengalaman mengibarkan bendera dan menyanyi dengan penuh semangat lagu Tanggal 31 dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

“Sambutan kemerdekaan paling meriah pernah saya lalui adalah ketika zaman persekolahan. Menjadi satu kemestian, pada bulan kemerdekaan pelbagai aktiviti dianjurkan pihak sekolah untuk mempertingkatkan semangat patriotik dan kemuncaknya pasti ada persembahan serta nyanyian lagu Tanggal 31,” ceritanya.

Bagaimanapun, Liyana menegaskan pengisian dan pemahaman tentang erti kemerdekaan itu lebih penting daripada sambutan secara fizikal. Katanya, anak muda pada zaman ini terlalu taksub dengan apa sahaja yang dibawa oleh negara luar terutamanya barat sehingga hilang jati diri sebagai anak Malaysia.

“Apa yang penting harus faham apa itu kemerdekaan. Ia bukan sekadar perarakan dan sambutan yang penuh warna warni tetapi lebih daripada itu. Bayangkan jika kita kembali ke zaman silam dan belum merdeka, mungkin saya tidak boleh berlakon atau bekerja seperti hari ini,” ujarnya.

Previous Post Next Post