Impian Sara Ali



PELAKON, Sarah Ali mengakui yang dirinya akan merasa puas dalam bidang lakonan sekiranya ia diberi kesempatan membawakan watak lebih mencabar daripada watak Hawa dalam filem Songlap.

“Untuk tahap di Malaysia, watak yang terbaik bagi saya sekiranya ada pihak sudi tawarkan watak mengatasi watak saya dalam Songlap.

“Ia kerana walaupun orang lain kata watak saya sudah baik untuk filem itu, tetapi sebenarnya bagi saya sendiri, lakonan saya belum cukup baik lagi ketika itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27, baru-baru ini.

Menyingkap semula wataknya dalam filem arahan pasangan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak itu, Sara yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Kami Histeria dalam FFM KE-27 ini memberitahu, 99 peratus watak Hawa adalah tanpa dialog.

“Memang sangat mencabar kerana banyak menggunakan ekspresi muka dan gerak badan bagi melakonkan kesemua adegan dalam filem itu.

“Watak Hawa amat berat untuk dilakonkan oleh pelakon baharu seperti saya ketika itu. Ini kerana, untuk menuturkan dialog lebih mudah daripada berlakon menggunakan gerak badan kerana ia memerlukan emosi yang tinggi.

“Oleh itu jika ada pihak yang sudi tawarkan saya watak lebih daripada itu, saya tidak akan berfikir panjang untuk mencubanya,” katanya.


Namun pemilik nama sebenar, Siti Sarah Hairi Ali ini memberitahu tidak akan menerima tawaran daripada filem Songlap sekiranya ada yang mahu membuat sambungan filem itu.

“Saya tidak mahu sekiranya ditawarkan berlakon untuk filem tersebut jika ada sambungannya. Berilah watak itu kepada pelakon lain kerana apa yang saya mahu watak lain yang lebih mencabar daripada Hawa,” katanya.

Berkongsi mengenai sisi lakonan yang sering dijayakan dalam drama atau telefilem yang mana wataknya dilihat lebih kurang sama, Sara berkata, sememangnya watak sebegitu sahaja yang diterima.

“Itu sahaja yang mereka tawarkan kepada saya. Jika bukan watak perempuan sakit, saya akan dapat watak perempuan yang sudah mahu mati.

“Tetapi untuk projek terbaru saya yang masih dalam penggambaran, drama Minah Gangster saya menerima peranan yang agak berbeza.

"Memang saya seronok menjayakannya. Lebih-lebih lagi menerusi drama itu saya diminta untuk menunggang motor scrambler.

"Ia merupakan pengalaman baru bagi saya,” katanya.

Previous Post Next Post