Jom Kurus bersama Kevin Zahri



PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan gaya hidup sihat sebagai suatu keadaan fizikal, minda dan sosial yang sihat, cergas serta bebas daripada sebarang penyakit.

Kecergasan menjadi kunci kepada pembangunan rohani dan sahsiah masyarakat dalam sesebuah negara seiring dengan aspirasi kerajaan mahupun swasta.Insan yang sihat pastinya dapat memainkan peranan yang aktif terhadap pembangunan agama, bangsa dan negara.

Menyedari pentingnya budaya tersebut, ‘orang kuat’ yang tidak putus-putus berjuang ke arah Malaysia supaya lebih sihat dan ‘ringan’ adalah perunding kecergasan dan nutrisi terkenal yang berpengalaman lebih 10 tahun, Kevin Zahri.

Zass mendekati pengasas Cabaran Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) ini atau lebih terkenal dengan jolokan ‘Cikgu Fitness Malaysia’ bagi mengulas lebih lanjut.

Apakah objektif sebenar penganjuran JK1M ini?

Pada masa ini, Malaysia adalah negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh lapisan masyarakat. Mereka yang mengalami obesiti ini dilihat bersemangat untuk menurunkan berat badan masing-masing.

Justeru, apa yang mampu dilakukan adalah dengan mengamalkan diet serta senaman tetapi tidak semua yang melakukannya berjaya mengatasi masalah berat badan malah kadang kala tiada perubahan yang berlaku.

Oleh itu, kita haruslah memainkan peranan untuk membantu golongan ini dalam mengurangkan masalah berat badan terutamanya bagi membantu generasi akan datang agar lebih sihat dan cergas. Kesimpulannya, cabaran Jom Kurus 1Malaysia atau JK1M adalah program mengurangkan berat badan terbesar di Malaysia yang berlangsung selama enam minggu dengan meliputi lebih 150 kawasan di seluruh negara.

Tidak hanya di negara ini, program ini juga sudah membuka peluang sehingga ke Brunei dan Singapura.

Program ini turut membantu orang ramai mengurangkan berat badan dengan memberi penekanan dalam mendidik mengenai senaman dan pelan pemakanan yang betul serta mengamalkan gaya hidup sihat.


Difahamkan, penganjuran JK1M bakal memasuki musim kelima, bagaimanakah anda melihat maklum balas daripada orang ramai terhadap program ini?

Ya, musim kelima JK1M akan berlangsung selama enam minggu bermula 5 September ini sehingga 17 Oktober depan. Sepanjang penganjuran program ini, kita menerima respons positif daripada seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak.

Masakan tidak, dalam musim keempat, seramai 2,700 peserta telah menyahut cabaran ini. Ramai masyarakat di negara ini menyukai program ini kerana ia membantu orang ramai untuk mengurangkan berat badan. Untuk pengetahuan, majoriti peserta JK1M sememangnya berbadan besar dan mungkin bertahun-tahun kurang bersenam.

Itulah keistimewaan cabaran JK1M kerana dikelilingi oleh komuniti yang hadapi masalah dan harapan yang sama.

Ia melibatkan aktiviti berkumpulan dan biasanya aktiviti rasminya hanya dilakukan pada hujung minggu.

Cabaran ini juga bukan saja untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan bahkan terbuka kepada sesiapa yang mencari pasukan dan rakan baharu yang sama-sama ingin melakukan aktiviti fizikal dan kecergasan, program inilah jawapannya.

Memandangkan cabaran JK1M ini diadakan secara meluas di seluruh negara, adakah setiap peserta ini akan dibimbing oleh anda sendiri?

Tidak, agak mustahil untuk Kevin Zahri berada di semua tempat (ketawa). Setiap kawasan ada team leader tersendiri. Sehingga ke hari ini, terdapat lebih 70 jurulatih kecergasan JK1M yang akan mendidik dan mengajar peserta tentang cara-cara untuk menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, setiap peserta akan dapat memperoleh panduan e-book dan video serta pakej seumur hidup di Kevin Zahri.com selain mencuba untuk berjumpa dengan setiap peserta di semua kawasan.

Di setiap kawasan pula, jumlah pesertanya akan dihadkan kepada 50 peserta saja. Lagi kurang bilangan peserta, lebih mudah jurulatih untuk beri perhatian.

Permintaan untuk menjadi jurulatih kecergasan JK1M sememangnya mendapat permintaan tinggi kerana setiap musim kita menerima permohonan hampir 1,000 jurulatih. Oleh kerana program ini bermusim, kita juga menggalakkan setiap jurulatih ini melakukan program sendiri selain membina jaringan melalui perniagaan gimnasium yang diusahakan oleh mereka.

Komen anda mengenai kewujudan banyak program kecergasan yang dilihat hampir sama seperti JK1M?

Sememangnya, kita sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku sejak JK1M diperkenalkan.

Sejujurnya, kita tiada masalah kerana objektif mereka adalah untuk membantu rakyat Malaysia menurunkan berat badan. Lagipun, peserta juga kadangkala mahukan kelainan.

Apakah pandangan anda bagi mereka yang mengambil steroid atau pil kurus?

Sebenarnya, tidak salah menggunakannya tetapi ingin ditekankan jangan sampai dipergunakan. Jika ada ilmu dan boleh mempergunakan apa yang ada di luar kemudahan seorang pengguna. Jika faham akan kandungannya, maka tak salah. Berbalik pada asasnya, tiada jalan mudah untuk melangsingkan badan.

Khabarnya, anda kini sedang merangka projek terbaharu mirip program JK1M?

Ya. Selain JK1M, kita telah melakukan gerakan misi yang dipanggil #1jutakg yang bertujuan mengurangkan 1 juta kilogram (kg) selama enam minggu di seluruh negara. Ia adalah perjalanan mengurangkan berat badan secara bebas bermula 5 September 2015 dan anda boleh menjadi sebahagian daripada program ini untuk membantu dan menggalakkan mereka yang berada di sekeliling anda bersama-sama menjayakan program ini. Sertai projek #1jutakg dengan mendaftar di www.1jutakg.com.

Harapan anda?

Ini bukanlah satu perjuangan tertentu yang dikhaskan untuk badan kerajaan atau guru sekolah. Ia adalah perjuangan yang mana kita semua terlibat dan mengambil bahagian.

Sama ada anda seorang pemimpin politik, tokoh korporat, ibu bapa, adik-beradik, atau seorang yang beriman, kita semua mewakili individu yang mereka boleh jadikan contoh tauladan.

Oleh itu, kita haruslah menunjukkan kepada mereka jalan yang betul dan kita tidak boleh menasihati atau memberikan ‘dakwah kesihatan dan kesejahteraan’ jika kita sendiri tidak boleh membantu diri sendiri terlebih dahulu.

Jika sekarang kita tidak berjaya memimpin dan membimbing mereka melalui tauladan, masalah obesiti tidak akan dapat dibendung sehingga bila-bila.

Previous Post Next Post