Kevin Zahri Sahut cabaran kurus dalam 30 hari



SUSULAN kejayaan program Astro Bella Jom Kurus yang diperkenalkan pada Februari lalu, Astro menerusi saluran Astro Bella (saluran 133) dengan mempertaruhkan program baharu, Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari.

Program itu yang dijangka menemui penonton Oktober ini merupakan sebuah rancangan realiti yang mengetengahkan gaya hidup sihat dan bakal menyaksikan peserta menyahut cabaran untuk mengurangkan berat badan dalam masa 30 hari di samping diberi pendedahan akan kepentingan kesihatan dan kecergasan.

Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim memberitahu, program itu bermatlamat mendidik dan memberi motivasi kepada peserta akan kepentingan menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat selain menyahut seruan Kempen Fit Malaysia.

Tambahnya, program ini merupakan salah satu inisiatif Astro untuk menyokong sambutan Hari Sukan Negara yang buat julung kalinya akan diadakan di negara ini pada Oktober nanti.


"Sehingga hari ini, statistik menunjukkan penduduk di negara ini khususnya golongan wanita mengalami masalah kegemukan dan separuh daripada jumlah itu menghidap obesiti.

"Kami di Astro Bella sangat prihatin akan senario ini dan sentiasa berusaha melaksanakan inisiatif yang relevan untuk membantu mengurangkan kadar statistik ini,"katanya.

Program yang bakal dikendalikan oleh Kevin Zahri dan aktres Sharifah Sakinah itu terbuka kepada wanita yang berumur 18 hingga 45 tahun, sihat tubuh badan serta mempunyai BMI melebihi 25. Pemilihan peserta pula akan bermula pada 24 Ogos hingga 6 September ini.

"Seramai 25 peserta akan disenaraikan untuk melalui Sesi Boot Camp. Bagaimanapun, hanya 12 peserta akan dipilih untuk menyertai program realiti ini," katanya.

Maklumat lanjut layari www.astrogempak.com.my/astrobella.

Previous Post Next Post