Mia Sara Harap Rykarl Iskandar Menang


Pelakon cilik Mia Sara berharap rakan seperjuangannya, Rykarl Iskandar dipilih sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) yang bakal berlangsung pada 5 September depan.

Mia, atau nama sebenarnya, Mia Sara Nasuha, 10, yang turut tercalon dalam kategori sama menerusi lakonannya dalam filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah, berkata, Rykarl lebih layak menggondol trofi berkenaan kerana dia seorang pelakon kanak-kanak berbakat.

"Saya bersyukur dan gembira dengan pencalonan berkenaan tetapi saya mahu lihat Rykarl membawa pulang trofi bagi kategori itu.

"Bagi saya dia seorang pelakon berbakat dan layak menerima pengiktirafan tersebut," katanya.

Rykarl menerima dua pencalonan dalam kategori sama iaitu menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia dan Lelaki Harapan Dunia.




Mia Sara tidak mengharapkan kemenangan.

Tahun lalu, Rykarl membawa pulang trofi menerusi kategori berkenaan menerusi lakonannya dalam filem Aji Boy.

Malam perasmian FFM 27 akan diadakan pada 2 September depan di Symphony Lake Suite, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Manakala malam kemuncak Anugerah FFM 27 pula akan diadakan pada pada 5 September depan di Dewan Plenary, KLCC bermula pukul 9 malam.

Ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi siaran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (120).

Dalam pada itu, Rykarl berkata, pada dasarnya dia terkejut dengan dua pencalonan diterimanya pada FFM 27 tahun ini dan tidak mengharapkan kemenangan.

"Jujurnya saya terkejut dengan dua pencalonan itu kerana tahun lalu baharu sahaja memenangi dalam kategori sama.



Mia dan Rykarl saling menyokong kerjaya masing-masing.

"Seperti tahun lalu saya tidak mengharapkan kemenangan kerana persaingan tahun ini sengit dan serahkan rezeki kepada Allah," katanya.

Sementara itu, Rykarl berkata, dia terharu dengan sokongan Mia yang mengharapkan dia memenangi trofi berkenaan sekali lagi tahun ini.

Kata Rykarl, sebagai pelapis baharu dia juga sentiasa menyokong Mia dan turut mendoakan kejayaannya pada malam kemuncak FFM 27 nanti.

"Saya juga mendoakan yang terbaik untuk Mia dan turut gembira sekiranya kemenangan miliknya," jelasnya.

Antara calon lain dalam kategori tersebut adalah Eunos Madeonus (Dendam Orang Mati) dan Muhammad Farhan (Lelaki Harapan Dunia).

Previous Post Next Post